Tuesday, June 29, 2010

Jun 2010: Sepadat Tin Sardin!

Salam...

Baru sahaja selesai menyiapkan draft Symposium Paper sem Julai 2010. Lega rasanya walaupun agak lambat paper itu dihantar. Jadual saya begitu padat untuk bulan Jun 2010 sehingga saya jarang-jarang dapat menjenguk ke blog sendiri. Post terakhir dipaparkan pada 8 Jun yang lepas. Fokus selepas itu beralih kepada persiapan pembentangan conference paper ITSim 2010 di Kuala Lumpur.

Pada 11 Jun 2010, saya bertolak ke Kelantan untuk memenuhi undangan walimah perkahwinan Ziana dan pasangannya, Abg Afiq pada keesokkan harinya. Sebelum ke rumah Ziana di Bachok, saya berehat sebentar di rumah Adlina yang terletak di Kg. Sg. Satan, Jeli. Sempat juga saya singgah ke rumah teman sebilik, Azela di kampung bersebelahan, Kg. Air Lanas sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu untuk membeli hadiah perkahwainan dan akhirnya 'make gula' di Bachok.

Ziana dan Abg Afiq selepas diijabkabulkan

"Tahniah diucapkan kepada Ziana dan Abg Afiq. Semoga berbahagia hingga ke syurga!" Sebaris ucapan untuk pasangan raja sehari sebelum meneruskan perjalanan. Destinasi seterusnya ialah Melaka tetapi kami akan bermalam di Kuala Lumpur dahulu. Sebelum bertolak, saya dan beberapa sahabat lain bertandang ke rumah Syaza. Dekat sahaja dengan rumah 'bekwoh'. Lebih kurang selepas Asar 12 Jun 2010, kami bertolak ke Kuala Lumpur.

Kami tiba di Sungai Besi lebih kurang jam 1 pagi. Saya tidur di rumah abang sulung saya malam itu sebelum bertemu semula dengan sahabat-sahabat keesokkan harinya untuk ke Melaka. Pada hari Ahad, 13 Jun kami ke Melaka untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi sahabat, Abg Hafizee. Mempelai mengenakan pakaian bertemakan warna ungu pada hari itu. Bagai pinang di belah dua. Tahniah juga kepada Abg Hafizee dan Kak Hidayah atas baitul muslim yang dibina!

Abg Hafizee dan Kak Hidayah selepas diijabkabulkan

Kami pulang semula ke Kuala Lumpur selepas bersalaman dengan raja sehari. Saya menghabiskan masa selebihnya di rumah Sg. Besi bersama mak dan bapak. Letih juga berjalan dari Perak ke Kelantan. Kemudian ke Kuala Lumpur dan Melaka. Akhirnya kembali  semula ke Kuala Lumpur. Terasa tenang melihat raut wajah mak dan bapak walaupun seketika. Ketenangan  yang dirasai tidak lama kerana saya perlu bersiap-siap. Keesokan harinya saya perlu bertolak ke kota Kuala Lumpur untuk menghadiri conference.

 Banner ITSim '10

Conference tersebut bermula dengan pendaftaran pada 14 Jun 2010 dan berakhir pada hari Khamis, 17 Jun 2010. Saya dan Adlina menginap di sebuah hotel bersebelahan dengan Masjid India, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Menghadiri conference selama 4 hari itu, menyajikan sebuah 'hidup mewah' bagi saya lebih-lebih lagi selepas tamat pembentangan pada 15 Jun. Tempat tinggal (dengan bilik air) yang sangat selesa dan makanan yang enak-enak (dan eksklusif) belaka menyebabkan saya terasa ingin melanjutkan lagi 'percutian' saya di KL.

Sebagai Muslim full-time yang memikul banyak amanah, hidup bermewahan seperti itu tidak melalaikan saya daripada melaksanakan tugas yang sedia menanti. Perjalanan seterusnya ialah Pahang! Cuti-cuti Malaysia sungguh saya kali ini. Bercuti untuk memenuhkan 'periuk nasi' akhirat sebenarnya. Tiga hari menjadi tukang masak di Pahang, saya kembali semula ke Perak 'membawa' pulang selsema, batuk dan demam.

Sekembalinya di Perak, diri ini berehat sebentar bagi memberi peluang kepada sahabat-sahabat menggunakan laptop saya untuk menyiapkan FYP report. Saya mula menyambung kerja-kerja  yang terbengkalai. Sementara mereka menyiapkan kerja mereka, tugas-tugas housekeeping dijalankan. Setelah mereka usai menyiapkan laporan masing-masing, kini giliran saya pula untuk bersengkang mata. My next task is to complete my Symposium Paper before 30 Jun 2010. Saya menyambung karangan progress report yang pernah dimulakan sebelum ini.

Khamis, 24 Jun hadir. Tetapi hari itu tidak bertandang sendirian. Ia hadir bersama-sama serangan demam kedua dan tidak banyak progress yang dapat dilakukan. Kebetulan, info terbaru diterima: 25 Jun adalah due date untuk menghantar symposium paper kepada supervisor! Saya memang tidak mampu untuk menyiapkan paper itu dalam masa terdekat. Mengikut perkiraan, insyaAllah paper tersebut dapat disiapkan by hari Isnin minggu hadapan. Mudah-mudahan masih tersisa toleransi dalam diri supervisor saya.

Pada 25 Jun 2010, saya terjaga subuh itu dengan mata yang kemerah-merahan. Tidak disangka pula symptom itu adalah permulaan kepada sakit mata. Saya pulang ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan beberapa urusan selepas mendapatkan rawatan di klinik berhampiran. Sepanjang saya berada di KL, saya terpaksa mengenakan kaca mata hitam semasa berurusan dengan orang ramai. Sebab pertama, untuk melindungi mata daripada terkena cahaya matahari dan habuk. Sebab kedua, untuk mengelakkan jangkitan kepada orang sekeliling.

"Glamnyerr awak!", seorang sahabat menyapa. Nadanya seperti memerli. Mungkin mereka beranggapan saya sengaja 'menggayakan' kaca mata hitam sepanjang pertemuan kami. Kembali ke tempat kediaman, saya meneruskan usaha-usaha untuk menyiapkan paper. Dengan keadaan yang tidak begitu sihat, tidak banyak juga yang dapat dicoretkan.

Saya kembali semula ke Perak pada 27 Jun 2010. Saya bertekad juga untuk menyiapkan paper secepat mungkin. Usaha sehingga 29 Jun 2010 menghasilkan symposium paper sebanyak 5 muka surat. Terlebih pula. Page limitation is 4 pages only! Hmm...hantar sahajalah. Mungkin masih boleh ditimbangtara lagi kerana gambar rajah yang disertakan memerlukan ruang yang besar. Sejurus selepas paper diemelkan, ketenangan hadir membaluti hati. 

 Bukan sardin HPA yang dimasak tempoh hari...saja promote produk Islam

Alhamdulillah...terasa ingin melepaskan tekanan setelah melalui hari-hari yang sangat padat. Sepadat 4 ekor ikan sardin dalam sebuah tin kecil yang saya masak di Pahang tempoh hari...and this is the time for blogging!

Catatan:

Loghat Kelantan yang digunakan
1. make gula = makan gulai (pergi kenduri kahwin)
2. bekwoh = big work (majlis perkahwinan)

Tuesday, June 08, 2010

Maher Zain - Palestine Will Be Free

Sangat-sangat tersentuh apabila mendengar dan menonton video ini...
Kagum dengan kekuatan dan ketabahan penduduk Palestin...
Dan....
Bersyukur atas nikmat keamanan yang Allah kurniakan kepadaku selama ini...

Muhasabah diri...



Palestine Will Be Free
By: Maher Zain

Every day we tell each other
That this day will be the last
And tomorrow we all can go home free
And all this will finally end
Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

No mother no father to wipe away my tears
That’s why I won’t cry
I feel scared but I won’t show my fears
I keep my head high
Deep in my heart I never have any doubt
That Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

I saw those rockets and bombs shining in the sky
Like drops of rain in the sun’s light
Taking away everyone dear to my heart
Destroying my dreams in a blink of an eye
What happened to our human rights?
What happened to the sanctity of life?

And all those other lies?
I know that I’m only a child
But is your conscience still alive

I will caress with my bare hands
Every precious grain of sand
Every stone and every tree
‘Cause no matter what they do
They can never hurt you
Coz your soul will always be free

Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free


(Meminjam status gtalk seorang sahabat)
Pelestin bukan soal 'mereka' tetapi soal 'kita'...

Wallahua'lam

Friday, May 21, 2010

Seseorang dan Kebahagiaan

Siapakah Diriku Sebenarnya

"Wow...buku Membina Hati Bahagia...Motivasi Diri Wanita... ," secara spontan kata-kata ini meniti di bibir saya sejurus terpandang tajuk buku yang dipinjam oleh seorang sahabat saya di perpustakaan tempoh hari.

Buku siri Extra Mind yang ditulis oleh Dr. HM Tuah Iskandar itu agak catchy dengan pemilihan warna kegemaran majoriti wanita sebagai warna kulit bukunya dan judul yang straight-to-the-point. Daripada banyak-banyak koleksi buku saya, saya masih belum memiliki mana-mana hasil tulisan beliau. Namun, saya pernah menghadiri progam motivasi yang dikendalikan oleh beliau di UTP suatu ketika dahulu. Beliau gemar memakai pakaian yang berwarna terang sewaktu memberi ceramah motivasi. Seingat saya, beliau memakai kot berwarna kuning terang pada waktu itu. Itulah perkara yang paling diingati tentang diri beliau. Pengisiannya...wallahua'lam.

Sewaktu menanti sahabat saya menyelesaikan urusannya pada hari itu, saya sempat membelek buku tersebut. Penulis membahagikan cerita-ceritanya kepada tajuk-tajuk kecil. Satu demi satu tajuk saya baca pada halaman kandungan. Ada beberapa tajuk yang menarik tetapi saya lebih tertarik untuk menyelak halaman 304, Siapa Diriku Sebenarnya. Pada awalnya saya beranggapan yang tajuk itu menyediakan satu cerita motivasi tentang bagaimana mengenal diri tetapi penulis mengambil pendekatan yang berbeza. Terdapat 21 soalan yang perlu dijawab dalam menentukan sama ada kita seorang yang bahagia atau sebaliknya.

Menarik! Saya terus menjawab soalan-soalan yang tertera pada muka surat 304 hingga 311 tanpa berfikir panjang. Arahan untuk tidak memperuntukkan banyak masa untuk memilih jawapan saya patuhi untuk mengelakkan unsur-unsur tidak jujur dan mereka-mereka jawapan.
A  Saya seronok dengan kehidupan saya.
B  Saya agak seronok dengan kehidupan saya.
C  Saya tidak gembira dengan kehidupan saya.
D  Saya tidak lagi gembira dengan kehidupan saya.
E  Saya tidak gembira langsung dengan kehidupan saya.

A  Saya sentiasa menilai diri saya untuk meningkatkan motivasi diri
B  Kadang kala saya menilai diri saya.
C  Saya tidak begitu memikirkan diri saya.
D  Saya langsung tidak memikirkan tentang diri saya.
E  Saya tidak berguna.

A  Saya rasa sayang dan menghormati diri sendiri.
B  Saya sukakan diri saya.
C  Saya tidak puas hati dengan diri sendiri.
D  Saya tidak menyukai diri sendiri.
E  Saya amat menyampah dengan diri sendiri.

A  Saya puas hati dengan kehidupan saya.
B  Kehidupan saya agak memuaskan.
C  Saya rasa kehidupan saya sepatutnya lebih memuaskan.
D  Tiada apa yang boleh memuaskan hati saya.
E  Tiada suatupun di dunia ini yang boleh memuaskan hati saya lagi.
Antara 4 soalan yang menarik daripada 21 soalan yang perlu dijawab

Selepas menjawab kesemua soalan, saya perlu mengira markah yang saya perolehi. Setiap jawapan A akan mendapat 4 markah, jawapan B pula 3 markah, jawapan C; 2 markah, jawapan D; 1 markah dan jawapan E tidak akan mendapat apa-apa markah. Jumlah markah akan dibandingkan dengan peringkat-peringkat dibawah. Cuba teka markah saya berada dalam peringkat mana?

78-84
Hubungi saya dan nyatakan pencapaian anda itu. Saya juga ingin mengetahui bagaimana anda melakukannya

64-74
Anda seorang yang bahagia walaupun prestasi itu boleh ditingkatkan

54-64
Sedikit sebanyak anda hilang keceriaan

44-54
Anda mungkin seorang pemuram dan perlukan bantuan

20-44
Anda cukup tertekan dan kehilangan bahagia

0-20
Anda telah kehilangan sinar dalam hidup



Hakikat Bahagia

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki


Susunan lirik indah dalam alunan nasyid Hakikat Bahagia ini menerangkan sedikit sebanyak tentang  konsep kebahagiaan. Kebahagiaan itu adalah suatu kesyukuran dan hakikatnya, bahagia itu adalah ketenangan. Mungkin kita terlalu memikirkan kesusahan dan kepayahan hidup sehari-hari hingga kita terlupa untuk bersyukur. Mungkin juga benak fikiran kita terlalu kusut, tepu dengan permasalahan yang menyerang diri sehingga kita tidak mampu menenangkannya.  Pada hakikatnya kita mampu untuk hidup bahagia. Walau apa juga keadaan yang kita hadapi sama ada yang baik atau sebaliknya, senangkanlah hatimu sebagaimana yang tertulis dalam sebuah sajak daripada buku Tasawuf Moden oleh Prof. Dr. Hamka (klik di sini untuk ke halaman pautan sajak).



Terasa Bahagia

Selama ini saya tidak pernah terfikir bahawa saya adalah seorang yang bahagia. Mungkin kerana terlalu asyik meletakkan masalah di hadapan mata. Happiness...something that we decide ourselves. Skor yang saya perolehi untuk soalan-soalan yang dijawab berada di peringkat yang pertama. Tidak disangka! Hmm...saya baru tersedar. Apabila ditanyakan semula pada diri...sememangnya saya dapat merasai ketenangan dan kesyukuran dalam jiwa. And I just found it out!

Saya akhiri post kali ini dengan satu petikan ringkas daripada salah satu buku tulisan Ustaz Zahazan...


Jiwa Orang Yang Bahagia

Orang yang bahagia itu akan selalu meluangkan masanya untuk:
  1. MEMBACA kerana membaca itu sumber hikmah
  2. TERTAWA kerana ketawa itu muziknya jiwa
  3. BERFIKIR kerana berfikir itu pokok kemajuan
  4. BERAMAL kerana beramal itu pangkal kejayaan
  5. BERSENDA kerana bersenda itu akan membuatkannya muda selalu
  6. BERIBADAT kerana beribadat itu ialah ibu untuk segala ketenangan jiwa
Is'adul-Mar'ah, Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni

Monday, May 17, 2010

Gigi Untuk Kehidupan

Come In For A Great Smile

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sukar untuk melihat senyuman terukir pada raut wajah teman sebilik saya. Sakit gigi katanya. Azella yang baru sahaja menjadi roomate saya untuk 15 hari merupakan seorang yang agak ceria. Sunyi juga bilik ini apabila kami kurang berbual dan bersembang seperti biasanya. Mujur Azella masih dapat melelapkan mata. Dengan tidur, sekurang-kurangnya dapatlah juga dia 'lari' seketika daripada kesakitan itu.




"Jom lah La, kita pergi klinik gigi esok...malam nih awak makan ubat dulu eh...," saya menawarkan diri untuk menghantarnya ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan professional.

Keesokan harinya saya membonceng Azella menaiki Cik Oren, motorsikal kesayangan saya menuju ke klinik gigi di Seri Iskandar. Klinik milik orang Melayu Islam itu kelihatan begitu eksklusif. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika itu adalah kos rawatannya. Mudah-mudahkan tidak begitu mahal. Oleh kerana tiada pesakit lain ketika itu, Azella dapat berjumpa dengan doktor sejurus selepas pendaftaran. Saya meminta izin untuk menemankan Azella dengan niat mahu memberi sokongan moral (cewah...ye la tuh...hehe~).

"Cayok, cayok Azella!", saya menyokong daripada tepi. Seperti menyokong pasukan badminton kegemaran dalam Piala Thomas pula.

"Nanti dah dibius tak rasa sakit sangat pun...macam gigit semut api je...," saya menyedapkan hati Azella kerana dia kelihatan cemas sebelum pembedahan.

Itulah kata-kata 'semangat' yang saya pernah terima sewaktu doktor gigi mahu mencabut gigi geraham bongsu saya yang tumbuh memakan isi pipi suatu ketika dahulu. Azella memerlukan pembedahan kecil untuk mencabut gigi gerahamnya yang telah patah separuh. Gusinya perlu dipotong sedikit bagi membolehkan gigi itu dikeluarkan. Agak menyeramkan juga melihat percikan darah yang tersembur semasa pembedahan dijalankan.

Memandangkan bayaran untuk pemeriksaan biasa hanya rm20, saya mengambil peluang ini untuk memeriksa gigi. Kali terakhir saya membuat pemeriksaan adalah pada bulan Julai 2009. Hampir setahun yang lalu. Hasil pemeriksaan, tiga batang gigi saya berlubang sedikit dan saya disarankan untuk menampalnya bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Prevention is better than cure.

Sekilas pandang memang sukar untuk mengesan  masalah tersebut. Mujur diperiksa. Kebanyakan orang hanya akan berjumpa dengan doktor gigi apabila sudah berasa sakit. Begitu jugalah dengan saya pada awalnya. Jika tidak kerana menemankan kawan, mana mungkin saya akan ke klinik gigi. Doktor menampal gigi-gigi tersebut dan mencuci keseluruhan gigi. Kos pemeriksaan?? Azella dikenakan RM100 dan saya perlu membayar RM140.


 Teringat saya akan salah satu babak dalam Finding Nemo.
Darla berjumpa dengan bapa saudaranya, Dr. Sherman untuk memeriksa gigi

Allahurabbi, mahal sungguh...tetapi tidak mengapa...dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan saya rasa berbaloi membayar kos sebanyak itu. Duit boleh dicari. Tidak mengapa berhabisan duit sedikit untuk kesihatan. Come in For a Great Smile yang menjadi  tagline klinik ini benar-benar menjadi. Senyuman puas hati yang terukir menampakkan barisan gigi yang baru sahaja di'servis'.  Alhamdulillah...

Apabila difikirkan semula, sebelum ini saya merasakan bahawa saya menjaga gigi saya dengan baik. Dalam sehari, sekurang-kurangnya dua kali barisan gigi ini akan dibersihkan; bangun pagi, sebelum tidur dan tambahan: sebelum solat. Jika anda juga merasakan perkara yang sama, cuba cek semula. Adakah  anda benar-benar pasti anda telah membersihkan gigi dengan betul? Adakah gigi anda benar-benar sihat?



Penjagaan Gigi

Saya membuat sedikit research untuk menambah pengetahuan tentang penjagaan gigi yang betul. Daripada banyak-banyak tips ini mungkin ada yang kita lakukan dan mungkin ada yang kita terlepas pandang.




Membersihkan gigi
  1. Memberus gigi sekurang-kurangnya dua minit setiap kali.
  2. Memberus kesemua permukaan gigi dan juga gusi untuk membuang plak gigi.
  3. Memilih berus gigi yang sesuai dari segi bentuk, saiz dan jenis bristel (bulu berus).
  4. Menggantikan berus gigi sekurang-kurangnya setiap 3 bulan.
  5. Paling ideal, beruslah gigi setiap kali selepas makan tetapi jika tiak mampu, sekurang-kurangnya beruslah gigi anda sehari sekali dan sebelum tidur.
  6. Menggunakan cecair kumuran untuk pelindungan tambahan.
  7. Tambahan : flos gigi anda selalu.


Menggunakan ubat gigi berflorida
Selepas sesi rawatan, saya mengajukan satu soalan berkaitan dengan penggunaan ubat gigi kepada doktor. Adakah ubat gigi mempengaruhi kesihatan gigi? Doktor mengiyakan kenyataan bahawa ubat gigi berflorida baik untuk gigi. Namun, sekiranya kita was-was, tidak mengapa. Boleh sahaja menggunakan ubat gigi biasa asalkan kita membersihkan gigi dengan  betul. Lagipun, air yang kita minum sudah mengandungi florida.


Mengelakkan makanan ringan dan minuman bergula di perantaraan waktu makan.
Setiap kali gula dimasukkan ke dalam mulut, ia akan bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan asid yang akan menyerang permukaan gigi. Sekiranya proses ini kerap berulang, tindak balas kimia akan berlaku dan boleh merosakkan gigi.

 

Memeriksa gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.
Perasaan cemas setiap kali berjumpa doktor gigi adalah perkara normal. Walau bagaimanapun, teknik pergigian masa kini semakin canggih dan sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa sakit semasa rawatan. Doktor gigi juga lebih mesra dan mereka dilatih untuk sedaya-upaya mengurangkan ketidakselesaan pesakit. Sekiranya ada takut untuk membuat rawatan, berbincanglah dengan doktor gigi anda. Mereka tahu cara terbaik untuk membantu anda.
(Diadaptasi dari: General Information for Public, Malaysian Dental Association)



Bersugi (Menyucikan Gigi) Mendapat Redha Allah

Islam sentiasa mementingkan kebersihan dalam semua aspek termasuk kebersihan mulut dan gigi.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja).” 

Riwayat Muslim

Rasulullah s.a.w telah menyatakan dengan jelas dalam mafhum sabda Baginda bahawa, "Jika tidak menjadi satu kesusahan bagi umatku, pasti aku akan menyuruh mereka untuk bersugi setiap kali solat."
Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis ringkas ini kita dapati bersugi merupakan perkara yang mendapat perhatian Rasulullah s.a.w. Namun apabila mengenangkan bahawa arahan ini mungkin akan menimbulkan kesusahan atau kepayahan bagi umatnya, maka Rasulullah s.a.w tidak menjadikannya satu kemestian.

Dalam hadis lain daripada riwayat Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w dilihat bersugi apabila Baginda bangun dari tempat tidurnya.

Secara umumnya, para ulama menyatakan bahawa bersugi disunatkan ketika bau mulut kita berubah, tidak kira apa sebabnya. Di sini Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh terbaik iaitu bersugi apabila bangun tidur.

Hadis riwayat Muslim ini pula menceritakan bagaimana Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w pernah memberitahu bahawa dialah yang menyediakan kayu sugi untuk Rasulullah s.a.w. Bukan itu sahaja, dia turut menyediakan air untuk Baginda bersuci. Aisyah juga berkata bahawa kebiasaanya Rasulullah s.a.w apabila bangun tidur , Baginda akan bersugi, berwuduk seterusnya barulah Baginda bersolat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah berulang kali menganjurkan kalian semua untuk bersugi." Baginda kerap mengigatkan para sahabat tentang bersugi. Hal ini menunjukkan betapa bersugi  penting pada diri Baginda.

Aisyah r.ha ketika disoal oleh Syuraih bin Hani' tentang apakah perkara pertama yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w ketika masuk ke dalam rumah, dia menjawab, "Baginda mulakan dengan bersugi." Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w inginkan umatnya supaya bersih dari segenap segi dalam semua keadaan dan setiap masa. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bersugi itu adalah suatu penyuci kepada mulut dan mendapat keredhaan Tuhan."
Riwayat Al-Nasa'i dan Ibn Hibban

Mungkin ada di antara kita hanya memandang bersugi sebagai perkara remeh dalam kehidupan. Tetapi dalam hadis ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w mengaitkan keredaan Allah S.W.T dengan amalan bersugi.

(Diadaptasi dari: Kolum Hadis, Majalah Solusi Isu No. 14)

Gigi Untuk Kehidupan

Sebagai tanda kesyukuran, kita perlu menjaga gigi kurniaan Allah ini dengan lebih baik selepas ini. Teknik-teknik yang betul untuk membesihkan gigi perlu dipelajari. Kita juga perlu mengikuti tips-tips untuk mengekalkan gigi yang sihat. dan cantik. Tidak sanggup rasanya perlu menghabiskan begitu banyak duit untuk teeth maintenance sahaja. Dengan membersihkan gigi juga kita memperoleh redha Allah. So, we're not loosing anything plus we'll gain a great smile!

Saturday, May 08, 2010

Membaca : Bukan Hanya Sekadar Hobi

Membaca Sebagai Hobi

"Cuba teka apa hobi Ina?",  sengaja saya ajukan soalan ini kepada seorang sahabat untuk menguji 'tahap ukhuwwahnya'.

"Membaca!", jawabnya pantas.

"Bila awak pergi mana-mana, awak selalu bawa buku dan awak ada mini library sendiri kat bilik...", sambungnya lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar jawapannya. Betul tidak, salah pun tidak. Mungkin menurut pemerhatiannya sepanjang bersahabat dengan saya, itulah jawapan yang paling tepat mampu diberikan tetapi saya tidak pernah 'mengisytiharkan' membaca sebagai hobi saya. Melukis dan mewarna merupakan hobi saya sejak tadika hingga kini. It's sounds like a kid right? But that is the fact!. Bagaimana pula dengan membaca?


Saya mempunyai pandangan sendiri tentang membaca sebagai hobi. Saya tidak begitu bersetuju jika aktiviti membaca dilabel sebagai hobi. Definisi hobi menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang. Jika membaca dijadikan sebagai hobi, aktiviti tersebut seolah-olah dianggap sebagai aktiviti sampingan; an optional activity in our daily life. Membaca hanya apabila kita mempunyai masa lapang. Hakikatnya, membaca adalah suatu keperluan.


Korelasi Antara Membaca dengan Akal, Hati dan Anggota
  


  1. Bahan bacaan adalah 'makanan' kepada akal. Jika bahan bacaan baik, maka meningkat dan sihatlah fikiran kita. Jika bahan bacaan buruk dan kotor, maka fikiran kita akan kotor dan diracuni.
  2. Apabila akal kotor, hati akan turut menjadi kotor kerana akal adalah 'penasihat' kepada hati. Hati diumpamakan sebagai raja, akal pula sebagai bendaharanya. Bendahara memberi nasihat kepada raja untuk memerintah rakyat jelata. Kalau bendahara seorang yang jahat, tentu nasihatnya penuh kejahatan. Raja yang dipengaruhi kejahatan akan memerintah dengan jahat, maka deritalah seluruh rakyat.
  3. Hati pula akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan manusia. Al-Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini, sesuai dengan maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: 
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati."
(Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim).

Daripada penjelasan ini, dapat disimpulkan bahawa membaca begitu signifikan dalam membentuk peribadi manusia. Korelasinya begitu jelas. Membaca umpama memberi 'makanan' kepada akal dan memberi 'cahaya' kepada hati. Hati pula 'membentuk' manusia.

 "Siapa diri kamu pada masa akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca hari ini"

Bangsa berjaya adalah bangsa yang membaca kerana dengan membaca kita telah komited untuk belajar. Reading is a lifelong learning. Learning that is not confined to childhood or the classroom, but takes place throughout life and in a range of situations.


Bukan Hanya Sekadar Hobi

Saya tidak menentang sekiranya anda mahu menjadikan membaca sebagai hobi tetapi hakikat yang perlu kita terima: membaca memberikan impak besar dalam kehidupan manusia sehingga kita tidak seharusnya menjadikan aktiviti ini hanya sekadar hobi. Membaca tidak sepatutnya dijadikan aktiviti sampingan yang  hanya akan dilakukan apabila kita mempunyai masa lapang. Jadikanlah membaca sebagai salah satu aktivti utama dalam hidup kita.

"Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu." 
(Imam Syafi'i)

Membaca adalah anak kunci ilmu pengetahuan. Dan ilmu pula adalah penggerak kepada setiap amalan. Untuk mendapat ilmu, membaca itu wajib.

Sumber Utama :Solusi Isu No. 18

Fikir-fikirkanlah...

Wallahua'lam



Thursday, May 06, 2010

Sharing is Caring : Tips Akademik

There are butterflies in my stomach! Inilah favorite quote yang akan kedengaran setiap kali saya berasa gemuruh. Perasaan ini selalunya hadir apabila saya perlu bercakap di hadapan orang ramai. Situasi yang sama akan berlaku setiap kali saya menduduki peperiksaan atau ujian. Hmm...gemuruh merupakan perkara normal untuk makhluk yang bergelar manusia.Walaupun sudah banyak kali bercakap in public, sudah banyak peperiksaan yang telah saya ambil, namun setiap kali itu jugalah perasaan ini akan datang. But it's ok...as long as I'm normal!

Permintaan daripada seorang sahabat untuk memberikan perkongsian akademik baru-baru ini tidak mampu saya tolak. Saya bukanlah orang yang selayaknya untuk memberi motivasi kepada orang lain. Pengalaman yang ditimba pun masih cetek. Peluh gemuruh mula menitis. Hmm...saya perlu bercakap di hadapan adik-adik kampus yang mantap-mantap belaka! Namun azam yang saya pasakkan dalam diri untuk menjadi orang yang bermanfaat (salah satu ciri peribadi muslim) membuatkan saya menerima jemputan itu tanpa banyak soal. 

Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Hendaklah kamu sampai ajaran aku walaupun satu ayat" .
(Dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Al-Tirmidzi, daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash Radhiyallahu anhu). 
 
Dengan ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa, saya cuba mencari sesuatu yang mampu dikongsikan untuk manfaat bersama. Sepanjang hari saya memerah minda untuk mencari topik yang sesuai. Beberapa buah buku diselak kembali untuk mengambil dalil-dalil sebagai penguat hujah. Mujur juga saya masih menyimpan carta Final Examination Forecast based on Coursework Mark, bolehlah dibentangkan secara ringkas untuk persediaan minggu peperiksaan yang hampir tiba.

Untuk menjadikan perkongsian saya menarik, ringkas dan padat, tangan saya mula menari-nari di atas kertas membentuk beberapa karekter kartun Islamik bertemakan peperiksaan dan doa (dua tips saya untuk berjaya dalam akademik). Lama juga saya tidak menggunakan bakat kurniaan Allah ini. Sentuhan Adobe Photoshop CS3 menaikkan lagi seri lukisan-lukisan tadi. Dalam lebih kurang 30 minit sebelum sesi perkongsian bermula, akhirnya dua jenis wallpaper dapat disiapkan.

Wallpaper ini dibuat khas untuk sahabat-sahabat dan adik-adik kampus yang dikasihi. Semoga bermanfaat :D

Nota: Al-Farashah (butterfly) diletakkan sebagai  hiasan sahaja..hehe


All the best for the upcoming Final Examination!

Wallahua'lam

Monday, May 03, 2010

Tekanan vs. Prestasi

Saya kangan bangat sama Ukhti Athirah! Kira-kiranya, inilah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya begitu merindui kelas Bahasa Arab muslimat anjuran  Islamica Resource Center yang sudah beberapa minggu dihentikan lantaran ketiadaan guru. Ukhti Athirah yang merupakan guru Bahasa Arab saya kini sedang dalam pantang. Wanita kelahiran Indonesia ini baru sahaja melahirkan seorang cahaya mata perempuan pada 18 April yang lalu. Jika tidak silap saya, bayinya lahir tidak cukup bulan.

Walaupun Ukhti Athirah lebih muda daripada saya, namun ilmu pengetahuannya dalam Bahasa Arab juga dalam bidang agama sudah cukup menjadikan beliau seorang guru yang amat saya hormati. Pembelajaran nahu yang dikendalikan oleh graduan Agriculture Engineering ini begitu menyeronokkan. Kelas yang mengambil masa lebih kurang dua jam untuk setiap sesi terasa berlalu begitu pantas. Sekiranya kelas habis awal, saya dan beberapa adik muslimat lain akan mengambil peluang untuk 'mengorek' ilmu dan pengalaman daripada beliau.

"Siapa pernah lihat graf ini?" Ukhti Athirah tiba-tiba bertanya usai pembelajaran kami pada hari itu. Tangannya pula sibuk melukis sebuah graf di papan putih.



"Siapa yang boleh terangkan kepada semua apa maksud graf ini?", beliau terus bertanya dalam loghat Indonesianya. Ukhti Athirah melukis sebuah graf ringkas berbentuk inverted-U dengan label Performance pada paksi y dan label Pressure pada paksi x.

"Semakin tinggi pressure, performance akan semakin meningkat. Tetapi apabila pressure meningkat hingga mencecah limitation point, performance akan jatuh semula...", saya cuba menjawab seringkas mungkin.

"Begitulah kehidupan kita...", Ukhti Athirah menyambung.

"Dalam konteks bekerja atau belajar, kebiasaannya kita memerlukan tekanan untuk memastikan kerja kita berjalan, performance  kita sentiasa baik. Tetapi sekiranya tekanan itu terlalu tinggi, kita akan tiba pada satu peak point di mana kita tidak mampu lagi menerima tekanan. Apabila situasi itu berlaku performance akan jatuh merudum..."

"Namun, bagaimana jika tiada pressure yang mendatang? Apa yang kita perlu lakukan untuk memastikan prestasi kita sentiasa meningkat? Di sini kita bermain dengan konsep external pressure dan internal pressure. Untuk memastikan kita sentiasa perform well, kita perlu sentiasa memastikan pressure itu wujud. Sekiranya tiada external pressure kita perlu wujudkan internal pressure dari dalam diri", Ukhti Athirah menghabiskan penjelasannya.

Hmm...situasi ini sememangnya wujud dalam kejadian alam hatta dalam kehidupan manusia. Namun, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya untuk menterjemahkannya dalam bentuk graf semudah ini. Perkongsian ini benar-benar membuka minda saya akan konsep tekanan vs. prestasi. Sekiranya tiada tekanan luaran, kita perlu wujudkan tekanan dalaman supaya prestasi sentiasa meningkat. Namun kita perlu bijak mengendalikan keadaan apabila tekanan mencapai tahap maksimum. Kita perlu bijak untuk bertindakbalas dalam apa juga situasi yang menimpa kita supaya kita tidak menghampiri peak point apabila menerima tekanan dan tidak lalai apabila tiada tekanan.

Ukthi Athirah menutup pekongsian kami dengan satu ungkapan hadith:

"Menakjubkan sungguh segala urusan orang yang beriman. Setiap perkara yang menimpanya adalah baik. Dan ini tidak akan terjadi kecuali pada seorang mukmin. Jika dia mendapat nikmat, dia akan bersyukur, maka kesyukurannya itu adalah baik untuknya. Akan tetapi jika dia ditimpa musibah, dia akan bersabar dan kesabarannya itu adalah baik untuknya".

Umat Islam diajar untuk bertindakbalas mengikut situasi. Bersabar apabila menerima tekanan berbentuk ujian dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat; bukan hanya berdiam diri apabila berada dalam comfort zone.

Fikir-fikirkanlah...



Just my two cents...wallahua'lam

Thursday, April 29, 2010

It's In-campus Life (again)!

Packing dan unpacking sangat menguji kekuatan fizikal. Mujur rumah baru saya berada di tingkat bawah. Tidaklah perlu saya mengerah tulang empat kerat ini untuk memunggah barang-barang saya yang sangat banyak ke tingkat yang lebih tinggi. Barang yang saya simpan sejak tahun asas juga masih ditatang ke sana sini sehingga kini; memang tidak pernah dibawa pulang ke rumah pun.




Bulan November tahun lalu, saya dan tiga lagi sahabat master nekad untuk menyewa di luar UTP. Alasan : ingin lari dari suasana 'undergraduate' setelah lebih kurang lima tahun bertungkus-lumus mengejar sekeping skrol degree di tempat yang sama. Kami berpindah ke Bandar Universiti berempat. Tetapi setelah masing-masing mendapat tawaran kerja, seorang demi seorang meninggalkan saya disini. Setelah 6 bulan kami menyewa di luar kampus, akhirnya saya berpindah semula ke UTP (seorang diri).

Saya sangat suka tinggal dalam suasana 'rumah' dan mungkin saya tidak akan merasai suasana yang sama di hostel. But it's ok. Moving for good... :D

Friday, April 23, 2010

Autobiografi : Aku Sayang Kamu

Autobiografi 1 

Badan merahku dihiasi dengan pelbagai aksi karekter kartun Disney terkenal iaitu Mickey Mouse dan Minnie Mouse. Namun, semuanya sudah pudar tidak seperti dahulu. Besi-besi pada badanku juga semakin berkarat. Maklumlah, diriku kini sudah terlalu berusia. Namun dengan penjagaan rapi  dari Al-Farashah, diriku masih mampu memegang dan mencengkam kertas-kertas yang dimasukkan ke dalam badanku. 


Diriku menjadi milik Al-Farashah sejak tahun 1998. Pada waktu itu, aku telah dihadiahkan oleh Cikgu Rubiah kepada Al-Farashah sebagai tanda penghargaan kepadanya. Tanda penghargaan sebagai ketua kelas 5A rasanya. Ahh...aku tidak berapa ingat...semakin tua semakin banyak perkara yang sukar diingati. Mana tidaknya usiaku kini telah pun mencecah 12 tahun!

Kini aku diberikan amanah oleh Al-Farashah untuk menyimpan material subjek Structured Programming and Database (SPDB). Al-Farashah bertugas sebagai tutor untuk subjek ini selama hampir dua semester. Aku akan dibawa ke makmal komputer SPDB setiap 2 kali seminggu. Agak kerap juga aku digunakan lebih-lebih lagi apabila tiba minggu belajar. Letih tetap letih tetapi aku  berterima kasih kepada Al-Farashah kerana menjagaku dengan baik.


Autobiografi 2 

Aku dilahirkan sebagai sebuah beg berjenama Highpeak Design dan bukannya Scouts sepertimana yang tertera pada poketku. Al-Farashah telah menutup jenama sebenarku di sebalik tampalan sulaman Scouts yang telah dibelinya semasa menyertai Jambori Pengakap di Johor. Pada waktu itu, Al-Farashah merupakan seorang pelajar yang sangat aktif dengan aktiviti berpengakap terutama dalam skuad 128JB. 


Aku telah berkhidmat untuk Al-Farashah selama lebih kurang 9 tahun iaitu sejak dia masih di bangku sekolah. Sejak di tingkatan 3 jika aku tidak silap. Dalam usiaku yang sudah lanjut, kebanyakan bahagian tubuhku  sudah rapuh. Banyak juga safety pin disemat pada badanku. Jahitan tambahan juga berselirat-selirat untuk memastikan diriku sentiasa dalam keadaan baik. Aku bersyukur kerana Al-Farashah masih sudi menggunakan aku sehingga kini.


Autobiografi 3

I love money! Ya, aku sangat menyukai wang dan kerana itulah aku diciptakan. Namaku Milk Teddy. Aku pasti terlalu banyak dompet yang bernama Milk Teddy dalam dunia ini. Oleh sebab Al-Farashah tidak pernah memberikan nama baru kepadaku, jadi namaku kekal begitu. Aku telah dibeli oleh Al-Farashah ketika dia sedang meningkat dewasa; zaman Al-Farashah masih remaja dan masih bersekolah. 

Jika hendak diikutkan, akulah dompet girlish pertama Al-Farashah. Sebelum itu, kesemua dompet  yang pernah dimiliknya pasti keanak-anakan atau menyerupai dompet milik abang-abangnya. Mungkin kerana pada waktu itu Al-Farashah terpengaruh dengan lifestyle kedua-dua abangnya itu. Namun, sejak dia mula tinggal di asrama, citarasanya berubah. Pada ketika itutlah aku menjadi pilihannya.


Aku bersyukur kerana aku masih belum 'ditamatkan perkhidmatan'. Untuk pengetahuan semua, sejak Al-Farashah membeliku, dia tidak pernah lagi membeli dompet lain walaupun aku tahu dia kini sedang merancang untuk memiliki dompet yang baru. Namun, tidaklah aku terasa hati atau merajuk. Aku tidak kisah kerana selama ini dia begitu menyayangiku dan menjagaku dengan baik.

Aku berbangga kerana  aku telah berkhidmat untuknya sejak dia masih bersekolah sehingga Al-Farashah melanjutkan pengajiannya di peringkat  sarjana (master). Sudah lebih tujuh tahun aku digunakan. Sekarang ini aku hanya menunggu masa untuk diganti dengan yang baru. Aku yakin masanya pasti tiba tetapi bukan dalam jangka masa terdekat kerana Al-Farashah seorang yang bercitarasa tinggi dan kini dia sangat berjimat-cermat kerana perlu membayar hutang motorsikal setiap bulan. Aku masih 'selamat'...

Wednesday, April 14, 2010

KRONIK : Kes Anak Luar Nikah dan Buang Bayi

Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai bagi insan yang bergelar ibu dan bapa. Namun, saban hari kita sering digemparkan dengan laporan kes pembuangan bayi yang begitu menyayat hati. Baru-baru ini pula statistik pendaftaran anak luar nikah didedahkan. Analisa yang diperincikan dengan bilangan anak luar nikah mengikut tahun dan kaum ini jelas menggambarkan betapa kroniknya krisis sosial yang berlaku di Negara kita.

Statistik Pendaftaran Anak Luar Nikah di Malaysia

Diadaptasi daripada: Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Bilangan anak luar nikah Melayu yang didaftarkan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim ini menunjukkan bilangan anak luar nikah dari kaum Melayu meningkat sebanyak 441 orang pada tahun 2008 dan meningkat lagi sebanyak 762 orang pada tahun 2009. Adakah nilai ini akan terus meningkat untuk tahun 2010 pula?

Diadaptasi daripada : Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Daripada statistik pendaftaran anak luar nikah yang dianalisa untuk tempoh lima tahun (2005 - 2009) ini pula, kaum Melayu/Islam menduduki tempat kedua sebanyak 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes). Kedudukan nombor dua dengan angka 5 digit untuk jangka masa 5 tahun ini sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya pegangan agama Islam dalam kalangan orang Melayu.
Angka yang dikira ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jumlah kes buang bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi. Bilangan kes ini meningkat saban tahun di mana sebanyak 65 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006.

Fakta yang diekstrak daripada arkib Utusan Online ini hanya memaparkan jumlah kes setakat tahun 2006 sahaja. Namun, hal ini tidak sepatutnya diambil mudah memandangkan kes pembuangan bayi masih tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini malahan semakin serius. Tahun ini sahaja kita sudah menyaksikan beberapa lagi kes pembuangan bayi yang tidak berperikemanusiaan dan semalam, 13 April 2010, seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.

















Banyak faktor yang boleh disenaraikan dalam menyelidiki punca berlakunya kelahiran anak hasil persetubuhan tanpa nikah atau lebih tepat lagi disebut ZINA. Namun, perkara pokok yang perlu ditekankan ialah pegangan agama itu sendiri. Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta telah menggariskan panduan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Hanya Dia mengetahui kesan dan akibat daripada setiap tindak-tanduk manusia. Begitu juga dalam hal ini.

Allah S.W.T telah berfirman:


“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)”
[Surah al-Israa' 17: 32]

Perbuatan ZINA merupakan perbuatan keji dan satu jalan yang jahat. Firman Allah dalam Surah al-Israa' : 32 melarang umat Islam untuk menghampiri ZINA apatah lagi melakukannya dan kita sebagai hamba yang beriman dengan kitab-Nya perlu sedaya-upaya mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan Allah.

Ketempangan akhlak yang semakin meruncing ini benar-benar menggerunkan. Introspeksilah diri kita adakah kita tergolong dalam golongan yang melakukan ZINA atau golongan yang menghampiri ZINA. Alhamdulillah jika kita tidak tergolong dalam mana-mana golongan ini. Sekiranya ya, bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita nyawa untuk kita bertaubat.

Muhasabahlah juga wahai diri...adakah kita mengambil berat tentang masalah yang melanda negara kita ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:


“ Barangsiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam, maka ia bukanlah dari golongan mereka .”
 
Dan cuba tanyakan pada diri...berapa banyakkah usaha yang kita telah lakukan agar gejala ini tidak berlaku disekeliling kita.
 
Wallahua'lam

Tuesday, April 13, 2010

Hikmah Perkahwinan

Tahniah diucapkan kepada dua pasangan pengantin yang baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinan pada 10 April 2010 : Kak Hafsah dan Abg Aizan , Kak Mai dan Abg Kucai. Tahniah juga kepada Abg Irfan dan Kak Ummu Aiman yang telah diijabkabulkan pada 20 Mac 2010. Maaf tidak dapat menghadirkan diri ke walimah antum. Hanya ucapan dan doa mampu dikirimkan. Semoga berbahagia hingga ke syurga :).


Kak Hafsah dan Abg Aizan di hari berbahagia mereka


Wajah gembira pasangan Raja Sehari, Abg Kucai dan Kak Mai

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kamu.”
(Surah al-Nisa’ : 1)

Perkahwinan ialah perkongsian kehidupan yang harus dilalui oleh setiap manusia. Berkahwin adalah proses semulajadi yang diaturkan oleh Allah mengikut fitrah dalam diri manusia.

Hikmah Allah mensyariatkan PERKAHWINAN:

1. Sunnah para Nabi dan Rasul

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa rasul sebelum kamu dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan”
(Surah al-Ra’d 13:38)

Daripada Aisyah r.ha. ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku, bukanlah dia tergolong dalam ummahku.’”
(Riwayat Ibn Majah)

 
2. Mewujudkan perasan tenang dan tenteram.
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang. ”

(Surah al-Rum 30:21)

 
3. Memelihara iman
Al-Baihaqi r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila berkahwin seorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh daripada agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

 
Hadis ini menjelaskan bahawa apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara yang tidak elok yang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam kancah dosa dan noda.
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang mampu berumah-tangga, hendaklah ia berkahwin dengan demikian dapat menundukkan penglihatan dan dapat memelihara kehormatannya. Dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana dengan berpuasa dapat menghalang keinginan nafsunya.”

(Riwayat Ibn Mas’ud)

 
4. Penghalang maksiat
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu terpaut dengan seorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya, maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan ‘bersamanya’ kerana dengan itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya.”

(Riwayat Muslim)

 
5. Mengikis rasa bimbang akan rezeki
Sesungguhnya Allah s.w.t. menjamin rezeki setiap hamba-Nya.
Sabda Baginda bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut miskin maka dia bukanlah daripada golonganku.”
(Riwayat Abu Daud)
Salah satu usaha untuk mendapatkan rezeki adalah dengan mengerjakan solat Duha setiap hari. Allah akan mengurniakan rezeki kepadanya tanpa diduga dan disedari.
Daripada Aisyah r.ha. telah bersabda Rasulullah s.a.w mafhumnya: “Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta.”

(Riwayat al-Imam al-Bazzar)

 
6. Mengembangkan keturunan
Daripada Ma’qal bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.”

(Riwayat al-Imam Abu Daud)

7. Menwujudkan disiplin

• Akan berlaku pengagihan tugas antara suami, isteri dan anak-anak.

• Perkahwinan menjadikan cara hidup mereka kembali kepada fitrah, semuanya mengikut peraturan secara tersusun dan teratur.

• Disiplin tercetus hasil daripada rasa tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak, isteri terhadap suami dan anak-anak dan anak-anak terhadap ibu bapa.

Diekstrak daripada : Kolum Muslimah, Majalah Solusi Isu 16

Monday, April 05, 2010

Dan Akhirnya...External Hard Discku Crash!

Assalamualaikum w.b.t

Menjadi seorang pencatat minit mesyuarat untuk mesyuarat agung tahunan benar-benar menguji kemahiran saya dalam mendengar dan mencatat (juga menaip!). Mujur saya tidak keseorangan. Rakan setugas, Kak Izzah menjadi teman setia saya sepanjang mesyuarat berlangsung. Seperti biasa, komputer riba saya digunakan untuk menyiapkan minit mesyuarat dalam bentuk softcopy. Berjasa sungguh komputer yang ‘diberi’ oleh abang saya ini.

Perjalanan mesyuarat berjalan agak hambar dek kurang mendapat respon daripada para perwakilan. Dalam bahasa mudah, they just follow the flow. Mungkin masing-masing segan dan malu untuk menyuarakan pendapat. Mujur pengerusi tetap menjalankan peranannya dengan baik. Keputusan-keputusan yang diperlukan dalam mesyuarat dapat dibincangkan dan sekali-sekala, bergegarlah juga dewan mesyuarat dengan gelak-tawa perwakilan.

Mesyuarat tamat lebih kurang jam 1.30 petang. Para perwakilan dan ajk asyik menjamu selera dengan juadah tengah hari yang disediakan. Namun, saya masih menumpukan perhatian pada minit menyuarat yang perlu diserahkan segera kepada setiausaha organisasi. Masih terdapat beberapa maklumat yang perlu dilengkapkan. Nota catatan Kak Izzah saya rujuk supaya tiada kesilapan maklumat.

Saya memasukkan thumbdrive milik setiausaha organisasi pada komputer saya dengan berhati-hati. Takut juga jika terdapat virus-virus bahaya menjangkiti komputer riba saya. Tenyata thumbdrive itu benar-benar dijangkiti virus. Mujur Encik Kaspersky berjaya mengesan dan membuangnya. Seperti biasa komputer akan dihidupkan semula selepas proses disinfection. Dokumen berjaya dipindahkan. Alhamdulillah. Lega rasanya. Selesai tugas untuk kali ini.

Saya cuba mengakses external hard disc saya sebelum menutup komputer. Percubaan tidak berjaya. Selepas beberapa kali saya cuba mengakses cakera keras tersebut, komputer memaparkan window yang memerlukan hardware itu diformat. Saya pernah mendapat window yang sama sebelum ini. Namun perasaan saya berbeza kali ini. Resah dan gelisah.




Akses tetap memaparkan hasil yang sama pada dua komputer lain. Dan kali ini saya benar-benar pasrah. HARD DISC saya CRASH!! Akhirnya perkara ini benar-benar berlaku. Cakera keras yang mengumpulkan data sejak awal tahun 2008 hingga kini hanya tunggu diformat dan TIADA BACK UP! Allahurabbi...tabahkanlah hati hamba-Mu ini. Kehilangan data sebanyak lebih kurang 80 GB bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Hal ini tiba tanpa sempat data back up dibuat.

Perkara yang paling dibimbangkan ialah dokumentasi penyelidikan master. Mudah-mudahan masih tersimpan salinan dokumentasi tersebut dalam komputer saya. Jauh disudut hati, saya berharap semoga data-data dalam hard disc ini masih dapat diselamatkan. Terlalu banyak maklumat berharga disimpan di dalamnya. Terasa seperti sebahagian hidupku hilang dalam sekelip mata.Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini ya Allah…

Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”

(Al-Mu’min : 60)

Ujian…ujian. Bersangka baik dengan Allah. Mungkin juga ini adalah kifarah dosa untuk diri saya. InsyaAllah ada hikmah disebalik perkara ini. Hmm... it’s not the end of the world (yet!). Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Saya akan mencari ikhtiar supaya data-data yang hilang dapat dikembalikan.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

(Al-Insyirah: 5-6)

Tuesday, March 30, 2010

Jika Terakhir Buatku

Oh Tuhan
Hamba-Mu ini kekeliruan
Sukar mencari jalan yang benar
Kerana dipaut hasut dunia

Oh Tuhan
Hidayah-Mu pernah hadir
Hingga kering air mataku menitis
Namun terkadang aku berpaling
Kerana mengejar nikmat dunia sementara

Hari ini kubimbangi
Jika terakhir hidup
Adakah lagi subuh esok
Untukku bernafas
Dan sujud mengabdi
Pada-Mu oh Tuhan

Berikan daku kesempatan menebus kesalahan
Lantaran dosa dan noda
Dan sengaja melupakan-Mu
Hadirkan damai sebelum di hujung nafasku

Oh Tuhan
Berikan daku petunjuk-Mu
Untuk ku meniti ke jalan redha-Mu
Izinkan daku mengulangi janji-janji yang baru
Kutaubat nasuha setulus untuk-Mu

Oh Tuhan...

Munsyid: Saujana
Album: Nota Cinta



Jika terakhir hidupku...adakah lagi subuh esok...untukku bernafas dan sujud mengabdi pada-Mu oh Tuhan...
Kematian adalah perkara normal dalam hidup, namun kehadirannya amat digeruni.
Gambar jenazah arwah Nur Fatimah yang telah dikapankan saya tatap setiap hari.
Sengaja diri ini menjadikan gambar yang dimmskan oleh Kak Faiz sewaktu upacara pengebumian arwah sebagai penghias screen saver telefon bimbit saya.
Alasan utama : untuk mengingatkan diri ini tentang mati.
Terasa baru sahaja memangkunya tempoh hari (semasa umurnya dua hari).
Waktu itu nama pun masih belum ditentukan lagi.
Namun, arwah Nur Fatimah pulang ke rahmatullah dalam usia yang tidak sampai setahun.
Bagaimana pula dengan diri ini??
Hmm...ajal itu pasti akan datang apabila tiba masa yang telah ditetapkan...BERSEDIA!


-Seseorang dengan Sesuatu-

Monday, March 01, 2010

Penghujung Febuari 2010

Salam'alaik...

26 Febuari 2010

Hari ini ulangtahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Jauh di sudut hati…saya merenung kembali, bermuhasabah diri. Sejauh mana saya mengenali kekasih Allah ini...sejauh mana saya mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda...sedalam mana diri ini mencintai baginda…segan rasanya ingin mengaku sebagai umat baginda jika sekelumit kalimah selawat pun berat untuk dilafazkan…

Sempena dengan bulan Rabiul Awal ini…saya menukar nada dering telefon bimbit saya. Lagu terbaru Mirwana, The Arrival menjadi pilihan. Selawat ke atas baginda akan bebunyi setiap kali sms diterima. Alunan 'tola al badru alaina' pula akan berkumandang apabila panggilan diterima. Semoga hati ini sentiasa mencintai dan merindui baginda dan semoga diri ini mampu memperbaiki amalan seharian dengan menerapkan sunnah-sunnah baginda.

Hari ini cuti diberikan sempena Maulidur Rasul. Tiada apa-apa aktiviti menarik untuk dilakukan di kala hari cuti-cuti begini. Kebiasaannya hari cuti akan dipenuhi dengan aktiviti housekeeping. Namun saya berkesempatan menyertai program ziarah pada petang harinya. Ziarah kebajikan ke dua buah rumah kenalan sahabat saya begitu menyentuh hati.

Rumah Pertama : Puan Asmah (bukan nama sebenar), pesakit Kanser Payu Dara yang baru sahaja keluar dari hospital. Pada mulanya saya tidak mengetahui penyakit Puan Asmah kerana beliau kelihatan begitu ceria dan bersemangat. Usai membaca Yassin, beliau berkongsi pengalaman sepanjang menghidapi penyakit yang memerlukan beliau menjalani pembedahan untuk membuang sebelah payu daranya. Sebagai rawatan susulan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi yang menyakitkan. Namun, Puan Asmah begitu tabah dan masih bersemangat untuk meneruskan hidup walaupun diduga begitu sekali.

Rumah Kedua : Mak Andak yang mempunyai seorang cucu istimewa bernama Safwan. Melihat pada raut wajah dan fizikal Mak Andak, saya menganggarkan umurnya dalam lingkuan 80-an. Namun Mak Andak masih mampu mendukung Safwan yang berumur 4 tahun. Safwan kelihatan begitu comel dalam dakapan Mak Andak. Kasihan…Safwan asyik menggaru-garu matanya yang ditumbuhi ketumbit. Fizikal Safwan tidak begitu sempurna dan dia tidak mampu memahami mahupun berkata-kata. Namun, Mak Andak tidak jemu melayan kerenah Safwan sepanjang kunjungan kami ke rumahnya.

Dugaan dan ujian yang mereka terima jauh lebih berat daripada diri ini, namun mereka tetap tabah dan bersemangat untuk meneruskan hidup.



27 Febuari 2010

Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap-siap untuk menghadiri Bengkel Kerjaya yang dianjurkan oleh junior-junior kampus. Kehadiran saya dan beberapa sahabat lain sebagai speaker memerlukan kami hadir lebih awal supaya sedikit masa dapat diperuntukkan untuk perbincangan pre-program. Program bermula lebih kurang jam 9.30 pagi. Slot demi slot silih berganti sebelum tiba giliran saya untuk berkongsi maklumat tentang Postgraduate Studies: An Option after Graduation.

Selesai pembentangan, saya bergegas pula ke Parit Buntar untuk memenuhi jemputan walimah housemate saya semasa praktikal dahulu. Syukran jazilan ya Ukhti Syaza kerana menemani saya ke sana. Memandu kereta manual Proton Saga BLM milik seorang sahabat untuk perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu agak memenatkan. Lebih-lebih lagi saya hanya dapat melelapkan mata untuk 3 jam sahaja malam tadi kerana menyiapkan slide presentation untuk Bengkel Kerjaya.

Alhamdulillah…walaupun kehadiran kami sudah lewat petang dan orang-orang di situ sedang sibuk mengemas, namun kehadiran kami diraikan dengan begitu mesra. Kami sempat bertemu seketika dengan pasangan raja sehari yang kebetulan mahu keluar mengambil gambar di tempat lain. Lebih kurang jam 5.45 petang kami bertolak pulang. Berhenti seketika di R&R Gunung Semanggol untuk menunaikan solat Asar sebelum meneruskan perjalanan.

Jam 8.45 malam kami tiba di UTP. Saya memulangkan kereta dan kami bergegas ke Dewan Utama UTP untuk menyaksikan Malam Inspirasi Seni (MIS) peringkat saringan. Mujur majlis baru sahaja bermula sewaktu kami melangkahkan kaki ke dewan tersebut. Dalam keadaan yang begitu letih, terhibur juga diri ini mendengar alunan suara dan gelagat para peserta. Tahniah saya ucapkan kepada sahabat-sahabat / adik-adik yang berpeluang ke peringkat akhir MIS.


28 Febuari 2010

Aktiviti hari ini : bermesra dengan alam! Jam 8.50 pagi, saya dan beberapa sahabat bertolak ke Air Terjun Lata Kinjang. Saya begitu teruja sekali kerana sepanjang saya tinggal di Perak saya masih belum berkesempatan untuk ke sana. Sebelum ini, saya hanya mampu menyaksikan air terjun Lata Kinjang jauh dari lebuhraya semasa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perak. Namun hari ini saya dapat merasai kesejukan airnya dan keindahan ciptaan Allah ini.

Aktiviti utama di sana tentulah bermandi-manda. Sangat menakjubkan! Lata Kinjang sememangnya destinasi percutian yang begitu menyeronokkan. Mujur tidak begitu ramai orang di sekitar port yang kami pilih. Suasana begitu tenang dan damai. Dapatlah juga kiranya saya menenangkan fikiran dari kesibukan yang sememangnya tiada noktah. Jangan lupa untuk memberi hak kepada badan! Lebih kurang jam 12.30 tengah hari kami berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami sempat menikmati cendol yang dijual di situ.

Letih tetapi seronok! InsyaAllah Bukit Larut akan menjadi destinati cuti-cuti Malaysia selepas Lata Kinjang. Saya berniat untuk menyambung research apabila tiba di rumah tetapi tertidur juga akhirnya. Namun, sempat jugalah saya menonton drama khas sempena Maulidur Rasul di kaca televisyen dan membelek bahan-bahan research. Pada malamnya pula saya menghadiri kelas Bahasa Arab anjuran Islamica Resource Centre. Nampaknya esok jugalah saya dapat menyambung research saya. :D