Monday, April 05, 2010

Dan Akhirnya...External Hard Discku Crash!

Assalamualaikum w.b.t

Menjadi seorang pencatat minit mesyuarat untuk mesyuarat agung tahunan benar-benar menguji kemahiran saya dalam mendengar dan mencatat (juga menaip!). Mujur saya tidak keseorangan. Rakan setugas, Kak Izzah menjadi teman setia saya sepanjang mesyuarat berlangsung. Seperti biasa, komputer riba saya digunakan untuk menyiapkan minit mesyuarat dalam bentuk softcopy. Berjasa sungguh komputer yang ‘diberi’ oleh abang saya ini.

Perjalanan mesyuarat berjalan agak hambar dek kurang mendapat respon daripada para perwakilan. Dalam bahasa mudah, they just follow the flow. Mungkin masing-masing segan dan malu untuk menyuarakan pendapat. Mujur pengerusi tetap menjalankan peranannya dengan baik. Keputusan-keputusan yang diperlukan dalam mesyuarat dapat dibincangkan dan sekali-sekala, bergegarlah juga dewan mesyuarat dengan gelak-tawa perwakilan.

Mesyuarat tamat lebih kurang jam 1.30 petang. Para perwakilan dan ajk asyik menjamu selera dengan juadah tengah hari yang disediakan. Namun, saya masih menumpukan perhatian pada minit menyuarat yang perlu diserahkan segera kepada setiausaha organisasi. Masih terdapat beberapa maklumat yang perlu dilengkapkan. Nota catatan Kak Izzah saya rujuk supaya tiada kesilapan maklumat.

Saya memasukkan thumbdrive milik setiausaha organisasi pada komputer saya dengan berhati-hati. Takut juga jika terdapat virus-virus bahaya menjangkiti komputer riba saya. Tenyata thumbdrive itu benar-benar dijangkiti virus. Mujur Encik Kaspersky berjaya mengesan dan membuangnya. Seperti biasa komputer akan dihidupkan semula selepas proses disinfection. Dokumen berjaya dipindahkan. Alhamdulillah. Lega rasanya. Selesai tugas untuk kali ini.

Saya cuba mengakses external hard disc saya sebelum menutup komputer. Percubaan tidak berjaya. Selepas beberapa kali saya cuba mengakses cakera keras tersebut, komputer memaparkan window yang memerlukan hardware itu diformat. Saya pernah mendapat window yang sama sebelum ini. Namun perasaan saya berbeza kali ini. Resah dan gelisah.




Akses tetap memaparkan hasil yang sama pada dua komputer lain. Dan kali ini saya benar-benar pasrah. HARD DISC saya CRASH!! Akhirnya perkara ini benar-benar berlaku. Cakera keras yang mengumpulkan data sejak awal tahun 2008 hingga kini hanya tunggu diformat dan TIADA BACK UP! Allahurabbi...tabahkanlah hati hamba-Mu ini. Kehilangan data sebanyak lebih kurang 80 GB bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Hal ini tiba tanpa sempat data back up dibuat.

Perkara yang paling dibimbangkan ialah dokumentasi penyelidikan master. Mudah-mudahan masih tersimpan salinan dokumentasi tersebut dalam komputer saya. Jauh disudut hati, saya berharap semoga data-data dalam hard disc ini masih dapat diselamatkan. Terlalu banyak maklumat berharga disimpan di dalamnya. Terasa seperti sebahagian hidupku hilang dalam sekelip mata.Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini ya Allah…

Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”

(Al-Mu’min : 60)

Ujian…ujian. Bersangka baik dengan Allah. Mungkin juga ini adalah kifarah dosa untuk diri saya. InsyaAllah ada hikmah disebalik perkara ini. Hmm... it’s not the end of the world (yet!). Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Saya akan mencari ikhtiar supaya data-data yang hilang dapat dikembalikan.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

(Al-Insyirah: 5-6)

1 comment:

  1. Kalau keluar macam tu, just cucuk hard disk sebelum on, n, perform disk checking, die ley rebuild blk partition table@file system tuk hard disk tu, biasanya berkesan kalo gune windows xp, windows yang lain, macam x, insyaAllah, kalo ade rezeki, boley dapat blk file2 tu..

    ReplyDelete