Tahniah diucapkan kepada dua pasangan pengantin yang baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinan pada 10 April 2010 : Kak Hafsah dan Abg Aizan , Kak Mai dan Abg Kucai. Tahniah juga kepada Abg Irfan dan Kak Ummu Aiman yang telah diijabkabulkan pada 20 Mac 2010. Maaf tidak dapat menghadirkan diri ke walimah antum. Hanya ucapan dan doa mampu dikirimkan. Semoga berbahagia hingga ke syurga :).
Kak Hafsah dan Abg Aizan di hari berbahagia mereka
Wajah gembira pasangan Raja Sehari, Abg Kucai dan Kak Mai
“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kamu.”
(Surah al-Nisa’ : 1)
Perkahwinan ialah perkongsian kehidupan yang harus dilalui oleh setiap manusia. Berkahwin adalah proses semulajadi yang diaturkan oleh Allah mengikut fitrah dalam diri manusia.
Hikmah Allah mensyariatkan PERKAHWINAN:
1. Sunnah para Nabi dan Rasul
“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa rasul sebelum kamu dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan”
(Surah al-Ra’d 13:38)
Daripada Aisyah r.ha. ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku, bukanlah dia tergolong dalam ummahku.’”
(Riwayat Ibn Majah)
2. Mewujudkan perasan tenang dan tenteram.
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang. ”
(Surah al-Rum 30:21)
3. Memelihara iman
Al-Baihaqi r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila berkahwin seorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh daripada agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”
Hadis ini menjelaskan bahawa apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara yang tidak elok yang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam kancah dosa dan noda.
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang mampu berumah-tangga, hendaklah ia berkahwin dengan demikian dapat menundukkan penglihatan dan dapat memelihara kehormatannya. Dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana dengan berpuasa dapat menghalang keinginan nafsunya.”
(Riwayat Ibn Mas’ud)
4. Penghalang maksiat
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu terpaut dengan seorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya, maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan ‘bersamanya’ kerana dengan itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya.”
(Riwayat Muslim)
5. Mengikis rasa bimbang akan rezeki
Sesungguhnya Allah s.w.t. menjamin rezeki setiap hamba-Nya.
Sabda Baginda bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut miskin maka dia bukanlah daripada golonganku.”
(Riwayat Abu Daud)
Salah satu usaha untuk mendapatkan rezeki adalah dengan mengerjakan solat Duha setiap hari. Allah akan mengurniakan rezeki kepadanya tanpa diduga dan disedari.
Daripada Aisyah r.ha. telah bersabda Rasulullah s.a.w mafhumnya: “Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta.”
(Riwayat al-Imam al-Bazzar)
6. Mengembangkan keturunan
Daripada Ma’qal bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.”
(Riwayat al-Imam Abu Daud)
7. Menwujudkan disiplin
• Akan berlaku pengagihan tugas antara suami, isteri dan anak-anak.
• Perkahwinan menjadikan cara hidup mereka kembali kepada fitrah, semuanya mengikut peraturan secara tersusun dan teratur.
• Disiplin tercetus hasil daripada rasa tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak, isteri terhadap suami dan anak-anak dan anak-anak terhadap ibu bapa.
Diekstrak daripada : Kolum Muslimah, Majalah Solusi Isu 16
No comments:
Post a Comment