Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

Tuesday, February 24, 2015

Khatam Al-Quran : Sudah Berapa Kali Eh?

Salam'alaik

Seorang senior menyuarakan keresahan tentang anaknya yang masih belum mengkhatamkan Al-Quran dalam salah satu kumpulan WhatsApp saya pagi ini. Luahan hati ini mendapat respon yang sangat positif daripada ahli-ahli lain. Notification WhatsApp tidak henti-henti berbunyi di pejabat sehingga saya terpaksa menukar mute setting untuk kumpulan ini. Masing-masing melontarkan idea dan saranan bagaimana caranya untuk memudahkan dan mempercepatkan anak-anak untuk mengkhatamkan Al-Quran.

Secara jujurnya, saya kagum dengan kesungguhan dan keprihatinan kakak-kakak ini dalam memastikan anak-anak mereka dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam usia yang sangat muda. Mungkin inilah hasil persekitaran baitul muslim yang mereka bina. Tidak pernah terlintas di fikiran saya yang perkara ini menjadi salah satu 'KPI' dalam membesarkan anak-anak. Bagi saya, memperlajari Al-Quran sedari kecil itu penting tetapi saya agak bertoleransi dalam menjadikan khatam Al-Quran itu sesuatu yang wajib dalam usia semuda itu.

Mungkin disebabkan sejarah hidup saya begitu. Sejak kecil saya juga diajar untuk mengaji muqaddam dan kemudiannya Al-Quran. Setiap petang saya akan disuruh untuk pergi ke salah sebuah rumah dalam kampung tempat saya dibesarkan untuk belajar mengaji. Guru mengaji saya adalah seorang nenek dan rumahnya berdekatan dengan masjid Kampung Melayu Pandan. Seingat saya, ramai kawan-kawan sekampung saya yang menyertai sesi mengaji tersebut. Gementar rasa hati setiap kali menghadiri sesi mengaji kerana nenek itu seorang yang tegas dan garang. Rotan sentiasa ada ditangannya bagi mendisiplin kami yang masih keanak-anakan waktu itu.

Di sekolah agama juga saya belajar tentang tajwid, makhraj dan tafsir. Ya, waktu itu saya masih terlalu muda. Belajar kerana disuruh. Belajar kerana kawan-kawan lain juga melakukan perkara yang sama. Belajar kerana ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Saya tidak pasti bagaimana dan mengapa saya tidak lagi mengaji dengan nenek itu. Seingat saya, saya tidak sempat mengkhatamkan Al-Quran dengannya. Mungkin kerana sibuk dengan persekolahan agaknya. Pagi ke sekolah agama, Petang ke sekolah menengah.


Buku-buku subjek Tajwid yang digunakan sejak 19 tahun yang lalu

Namun, apa yang bermain-main di fikiran saya ketika ini adalah dalam usia 28 tahun ketika ini, berapa kali Al-Quran, kitab Allah ini sudah saya khatamkan? Susah untuk saya menjawab persoalan ini. Saya sendiri tidak pasti dan tidak mengira. Apa yang pasti, saya tidak pernah khatam secara rasmi dengan berguru. Saya terasa malu sendiri kerana tidak mengambil berat tentang perkara ini walaupun bacaan saya agak lancar. Sedangkan kakak-kakak itu memberi perhatian tentang pencapaian anak-anak mereka yang masih kecil. Owh terasa sangat down.


Buku asas tahsin tilawah yang digunakan kini. Kandungannya lebih kurang sama dengan buku-buku subjek tajwid di atas.

Semoga tindakan saya menyertai kelas mengaji orang dewasa di Tahsin Tilawah Teras Jernang sejak 2 tahun yang lepas tetap istiqamah sehingga saya mampu mengkhatamkan Al-Quran bersama guru di sana. Alhamudillah pengajian Al-Quran kali ini lebih bermanfaat kerana dapat mempelajari dan mempraktikkan tajwid, makhraj dan sifat huruf dengan betul. Tidak seperti belajar ketika kecil -kecil dahulu.Walaupun sibuk dengan pekerjaan yang hampir setiap malam pulang lebih daripada pukul 10 malam, saya menharapkan semoga Allah mempermudahkan urusan saya dan kawan-kawan saya untuk mempelajari dan insyaAllah mengajar Al-Quran kelak.

Wallahua'alam.

P/s: Saya sangat menggalakkan bagi sesiapa yang ingin menyertai kelas mengaji dewasa walaupun sudah lancar bacaan kerana melalui kelas seperti ini, kita dapat memyempurnakan lagi tajwid, makhraj dan sifar huruf dalam bacaan kita.

Friday, January 06, 2012

Ketidakpastian Masa Hadapan

Salam'alaik

Kadang-kala manusia terlalu risau akan masa hadapan terutama tentang rezeki dan jodoh. Ya, masa hadapan adalah sesuatu yang penuh dengan kebarangkalian dan ketidakpastian. Kita merancang. Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Bersangka-baiklah dengan Allah. Yakinlah...apa juga yang Allah sediakan untuk kita adalah yang terbaik dan dikurniakan pada waktu, ketika dan detik yang tepat. Jangan pernah putus harapan. Teruskan berusaha dan berdoa. Allah knows BEST!

Hakcipta terpelihara~

"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik." 29:69


Friday, September 30, 2011

Ada Cuti Ke Jadi Manusia?


Alhamdulillah...hari ini genap 2 bulan 12 hari saya bergelar Software Design Engineer di Sony EMCS (M) Sdn. Bhd. Walaupun sebelum ini saya penah menjadi Graduate Assistant/Tutor selama lebih kurang 2 tahun, namun pekerjaan sekarang ini boleh saya katakan sebagai pekerjaan industri pertama saya. Ya, saya pernah menjalani latihan industri selama 8 bulan sebelum ini, juga di sebuah kilang. Namun, pengalamannya cukup berbeza!

Dari segi suasana kilang, saya sudah terbiasa dengan pakaian informal, makanan di kantin yang murah dan juga bersesak-sesak dengan pekerja kilang yang sangat ramai. Pengalaman berbeza yang saya maksudkan ialah dari segi budaya kerja, tanggungjawab dan expectation yang diberikan. Latar belakang saya yang pernah menjadi tutor untuk subject C++ menjadikan expectation daripada orang atasan pada saya lebih tinggi. Lebih-lebih lagi untuk cepat belajar dan melaksanakan tugas.

Ternyata, setelah lebih kurang 2 bulan bekerja, saya merasakan pengalaman 2 tahun sebagai tutor masih belum cukup membantu. Terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari dan terokai. Ilmu di dada ini masih terlalu sedikit untuk dijadikan bekalan dalam menjalankan tugas menyediakan sistem pemeriksaan televisyen di sana. Dengan bantuan teman-teman sekerja yang sangat supportive, hari-hari dilalui dengan lancar walaupun sangat sibuk.

Pakaian kerja Sony EMCS

Jika dapat digambarkan perasaan ini dengan satu perkataan, saya konklusikannya sebagai CABARAN! Selain dapat merasai pengalaman mengaturcara sistem serumit dan sekompleks di kilang ini, banyak lagi cabaran lain yang menyebabkan otot-otot di muka ini selalu sahaja berkerut dan neuron-neuron di otak ini tidak berhenti-henti bekerja. Kekangan masa untuk menyiapkan master yang kini dijalani secara sambilan; pembahagian masa untuk diri, keluarga (baca: emak), sahabat serta amal Islami; penjagaan ibadah saban hari; dan juga terdedahnya diri kepada dosa dan ketidakredhaan Allah. Point terakhir begitu meresahkan hati ini. Yang paling ketara, ikhtilat semasa bekerja agak mencabar untuk dijaga. Begitu juga dalam menjaga waktu solat.

Perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah yang mengambil masa lebih kurang 15 minit ke 20 minit dengan menunggang motorsikal selalunya akan menjadi medan muhasabah bagi diri ini. Berhadapan dengan risiko kemalangan yang tinggi saban hari menyebabkan saya sentiasa mengingati mati. Sudahlah amal ibadah kurang, dosa pula bertambah. Astaghfirullah! Semoga diri ini dapat menjaga keberkatan hidup dan rezeki yang diterima. Doakan diri ini  sentiasa dipelihara dan dirahmati Allah dunia dan akhirat ya.

Wallahua'lam

P/s: Disertakan sedikit perkongsian dan peringatan ringkas sebagai muhasabah diri ini sebagai seorang pekerja.

Intipati Kuliah Subuh 17 Ramadhan:
1. Kerja bukan untuk cari REZEKI, tapi sebagai IBADAH kepada illahi.
2. Rezeki tak boleh dicari, tapi hanya boleh diperolehi dengan bertaqwa kepada Allah.
3. Rezeki bukan hanya duit semata, tapi duit itu salah satu drpd berbagai rezeki yang Allah beri.
(Kupasan Ayat Seribu Dinar)

Sumber: Facebook Wall Abg Firdaus Azizi
Petikan dialog yang diadaptasi dari sebuah novel:

Ismail     : "Banyak kerja ya encik?"
Saifullah : "Hidup manusia, memang setiap masa kena bekerja Ismail."
Ismail     : "Walaupun masa cuti ke?"
Saifullah : "Menjadi hamba itu sendiri satu kerja Ismail."
Ismail     : "Ha? Encik ni, saya tak fahamlah. Menjadi manusia itu sendiri satu kerja?"
Saifullah : "Em, manusia diciptakan dengan tanggungjawab sebagai khalifah kepada bumi ini,
                dan sebagai hamba kepada Illahi.
                Justeru, dia hidup untuk menyelasaikan kerjanya atas dua perkara ini.
                Ada cuti ke jadi manusia?"
Ismail     : "Mana ada."
Saifullah : "Jadi, setiap masa hidup kita ini bekerja untuk-Nya.
               Walaupun sekarang ni nampak macam kita bekerja untuk Institut Perguruan,
               tetapi sebenarnya ini pun kerja kepada-Nya.
               Sebab ini semua adalah ibadah, selagi mana berada di atas jalan yang Allah suka, 
               dan kita pula ikhlas melakukannya."

Sumber : Novel Terasing karya Saudara Hilal Asyraf 

Semoga bermanfaat

Saturday, April 09, 2011

Disiplin Diri : Mulakan Dengan Menjaga Waktu Solat

Assalamualaikum w.b.t

Di saat teman-teman seangkatan yang lain sedang sibuk menyiapkan tesis sarjana mereka, saya pula masih belum mampu memahamkan supervisor saya tentang penyelidikan yang telah dan sedang saya lakukan. Konflik yang bermula sejak semester pertama pengajian lagi masih berlarutan. Sudut pandangan seorang engineer dan seorang technologist memang benar-benar berbeza. Menjadi orang tengah di antara keduanya juga merupakan cabaran yang perlu saya hadapi untuk menyelesaikan pengajian saya di sini kerana saya perlu menepati expectation yang berbeza daripada kedua-dua supervisor saya. Namun, tidak seharusnya saya menjadikan situasi ini sebagai alasan mengapa penyelidikan saya kurang berhasil.

Menguruskan permohonan untuk memanjangkan lagi tempoh pemberian skim Graduate Assistanship membuatkan saya terfikir betapa saya sudah membazirkan masa selama hampir empat semester (hampir 2 tahun!) di sini untuk perkembangan yang sangat sedikit seperti sekarang ini. Rugi rugi...sangat rugi. Namun, masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali. Apa yang pasti, saya perlu meningkatkan daya dan usaha untuk memastikan diri ini dapat bergraduasi pada tahun ini juga. Not more than that! I need to be productive enough so that I can achieve the aim. Oleh kerana pemboleh ubah tetapnya ialah masa, maka saya perlu lebih berdisiplin dengan masa. Thanks to Didi, my usrahmate as she had gave me a great tip on how to be more discipline. The tip is I need to start by praying on time!


Semoga Allah mempermudahkan urusan....aminnn. Doakan saya berjaya menghabiskan pengajian saya bulan 9 ini ye sahabat-sahabat ^_______^

Tuesday, January 11, 2011

Mengapa MALAS!!!

Ditangkap buaya, nampak riaknya; ditangkap malas, tidak bertanda



Baru-baru ini saya sempat berbual secara online dengan seorang sahabat yang jauh di mata tetapi sentiasa diingati dalam doa. Banyak juga yang kami bualkan. Bermula dengan jual-beli majalah Solusi, perbualan tentang program terdekat, update tentang sahabat-sahabat yang berkahwin dan mengandung dan akhirnya tentang perkahwinan sahabat itu sendiri. Sempat juga sahabat itu menempah sekeping lukisan kartun kahwin untuk diletakkan dalam bunting perkahwinannya nanti.

"Eh, akak tak busy ke nih? Panjang kita chat nih.", soal saya kepada sahabat yang sedang bekerja di Kuala Lumpur itu setelah hampir 30 minit kami berbual. 

"Akak banyak kerja tapi malas buat. Macam mana ye?" jawab sahabat itu.

"Aha~ yang itu tidak boleh ditolong. Saya pun sedang bermalas-malasan membuat research nih :P", balas saya selamba.


Mengapa MALAS?

Masa itu emas.
(Pepatah Melayu)

Masa itu ibarat pedang. Jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu.
(Pepatah Arab)

Kewajipan itu lebih banyak daripada masa yang kita ada.
(Imam Hassan al-Banna)

Tetapi mengapa masih malas dan membuang masa?!


Maksudnya: "Ya Allah ya Tuhan Kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan duka cita, aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia."


Zikir al-mathurat tidak lekang dibibir saban hari. Pagi dan petang. Setiap kali itu jugalah keratan doa meminta diperlihara diri daripada sifat malas di atas pasti dipanjatkan kepada Allah SWT. Namun, mengapa masih wujud sifat malas dalam diri? Mengapa masih lemah kemahuan? Mungkin doa yang dipinta itu sekadar lafaz mainan bibir. Mungkin doa itu dilafazkan oleh minda separa sedar dan bukannya doa yang lahir tulus daripada hati. Mungkin juga doa itu sekadar hafalan tanpa penghayatan.

Muhasabah diri!!!


Bertindak Segera

1. Menghargai umur
Jadikanlah umurmu ibarat wang yang diberikan kepadamu. Sekiranya engkau tidak suka apa yang engkau belanjakan hilang begitu sahaja, maka hendaklah engkau tidak menghabiskan umurmu dengan sia-sia.
(Saidina Ali bin Abi Talib)

2. Tidak menunggu masa akan datang untuk bekerja
Seorang ulama' menasihati seorang pemuda: "Bekerjalah sebelum tiba suatu hari yang kamu tidak mampu bekerja. saya suka bekerja pada hari ini tetapi saya tiada upaya!"
(Dr Yusuf al-Qaradawi, Detik-detik Masa dalam Kehidupan Muslim, 1986)

3. Menjadikan diri orang mukmin yang kuat.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya). Oleh itu hendaklah engkau berusaha bersungguh-sungguh memperoleh apa yang memberikan manfaat kepadamu serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika ditimpa sesuatu, janganlah engkau berkata: 'Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini'. Tetapi katakanlah: 'Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan', kerana perkataan 'kalau' itu membuka kepada hasutan syaitan."
(Riwayat Muslim)
4. Lakukannya hari ini, bukannya kemudian hari


Abdul Qais berpesan : "Awas dari perkataan 'nanti dulu'".
Orang lain ada berkata: "Perkataan 'nanti dulu' adalah anak cucu iblis".
Al-Imam Al-Hassan Al-Basri berpesan: "Awas dari tempoh menempoh! Hari esok belum tentu! Jika besok harimu, jadilah esok seperti hari ini. Jika esok bukan harimu, usah menyesal kerana kecuaianmu di hari ini." 
(Dr Yusuf al-Qaradawi, Detik-detik Masa dalam Kehidupan Muslim, 1986)

Sunday, November 21, 2010

Carilah Hatimu

Hati ini terasa kosong dan membatu. Kekotoran dan kekusaman hati ini seolah-olah tidak mampu disembunyikan lagi. Ya, mungkin kerana sudah lama tidak mendapat makanan berkhasiat. Tahap kesihatannya juga sudah jarang diperiksa lantaran kesibukan yang berpanjangan.

Bertafakur seketika. Merenung jauh ke lubuk hati yang kian berdebu. Sentuhan amal ibadah yang selalu membersihkan hati ini sudah berkurangan tampaknya. Palit-palit dosa pula semakin mengotorinya. Kata-kata hikmah yang pernah diterima suatu ketika dahulu kembali berngiang-ngiang di telinga.

"Akhirat dijunjung, dunia dipegang. Jika goyah akhirat itu, letakkanlah seketika dunia dan perbetulkanlah kedudukan akhiratmu."



"Carilah hatimu pada tiga tempat.
Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati.
Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kpd Allah,
pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Imam al-Ghazali

Muhasabah diri!

Saturday, October 23, 2010

Long Live Yourself!

Umur dan Analogi


Keberkatan Umur


Usia umpama harta. Bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpah kebaktian.


Pembaziran Umur
Apabila bil air bulanan tiba-tiba melambung tinggi tidak seperti biasanya, pasti kita akan merasa begitu berat  untuk melangsaikan pembayaran bil tersebut. Harga barang semakin hari semakin naik. Kali ini, bil air pula meningkat. Pastinya kita akan tertanya-tanya, "Siapalah yang membazir air nih?" atau "Ada kebocoran di mana-manakah?" Seluruh isi rumah pasti akan diingatkan supaya berjimat cermat menggunakan air agar bil berikutnya tidak lagi menjengkelkan seperti ini. Begitu juga halnya dengan penggunaan elektrik. Jenuh juga jika perlu mengingatkan setiap ahli keluarga untuk memastikan suis lampu, kipas, televisyen  dan peralatan elektrik lain ditutup jika tidak digunakan. Namun itulah yang perlu dilakukan supaya wang ringgit kita tidak melayang akibat pembaziran.

Namun, pembaziran masa jarang-jarang sekali dititik-beratkan sepertimana pembaziran air dan elektrik tadi. Ya, mungkin disebabkan tiada bil khusus untuk merekod sebanyak mana masa yang telah digunakan, maka tiada satu tanda aras yang mampu menunjukkan sama ada kita berjaya menggunakan masa sebaik-baiknya atau sebenarnya kita telah banyak membazir masa sepanjang hidup kita. Pembaziran masa mungkin tidak perlu dibayar dengan wang ringgit. Namun pada hakikatnya, masa jauh lebih berharga daripada emas permata. Pembaziran masa menyebabkan kita kehilangan sesuatu yang apabila hilang tidak akan pernah berganti dan apabila patah, tidak akan pernah tumbuh kembali iaitu UMUR! 


Aliran Umur
Aliran umur diumpamakan oleh hukama seperti memijak air di sungai. Kaki kita tidak boleh memijak air yang sama pada air sungai yang mengalir. Sekali dipijak, air yang kita pijak itu akan terus mengalir ke hilir tanpa dapat dipijak lagi buat kali keduanya. Begitu jugalah usia yang berlalu. Kita tidak akan pernah dapat mengembalikan masa lalu. Jika masa lalu itu kita manfaatkannya dengan baik, kita pasti merelakan pemergiannya. Namun jika sebaliknya, susah tentu kita mengharapkan masa itu kembali semula ke sisi kita dengan harapan kita dapat memperoleh maanfaat daripadanya. Walau bagaimanapun, masa tidak akan pernah menunggu kita. Kitalah yang perlu berusaha bergerak bersama-sama dengan masa yang pastinya tidak akan lelah dari terus berlari sehingga tiba ketentuan Allah.


Panjang Pendek Umur


Manusia yang dilahirkan ke dunia boleh diibaratkan seperti manusia yang menaik bas atau tren. Tidak semestinya individu yang naik terlebih dahulu ke dalam bas atau tren akan turun dahulu. Tidak semestinya individu yang naik kemudian akan turun lebih lambat. Ada masanya individu yang naik kemudian akan turun terlebih dahulu dan sebaliknya. Begitulah panjang pendeknya umur kita di dunia. Tidak semestinya individu yang dilahirkan ke dunia terlebih dahulu akan meninggal dunia dahulu. Tidak semestinya individu yang lahir kemudian, ajalnya akan tiba kemudian. Namun, bezanya dengan menaiki bas atau tren tadi, kita mengetahui tempat dan masa untuk berhenti dan turun tetapi kita tidak akan tahu masa dan tempat kita perlu pulang ke rahmatullah. Ajal seorang hamba Allah telah ditetapkan sejak manusia dia alam rahim lagi. Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui bila akan tibanya ajal kita. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa bersedia bila-bila masa untuk bertemu Illahi.



Umur Dunia di Akhirat

Rasulullah s.a.w bersabda "Umur-umur umatku berkisar antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu." (Riwayat Tirmizi). 

Boleh disimpulkan di sini bahawa jangka hayat umat Nabi Muhamad adalah lebih kurang 63 tahun sahaja. Mereka yang ajalnya sampai lewat daripada jangka hayat ini dikira beruntung kerana dikurniakan lebih masa untuk mengumpul pahala. Namun, ada juga yang ditamatkan hayatnya lebih awal. Jika dibandingkan dengan peredaran masa dunia dengan akhirat iaitu 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di dunia, dengan berbekalkan usia 63 tahun kita hanya hidup selama 1 1/2 jam sahaja di akhirat. Sangat singkat!

Bagi saya sendiri, 1 1/2 jam hanyalah tempoh optimum yang saya peruntukan untuk memeriksa dan membalas 4 akaun emel, membaca akhbar-akhbar online (harakahdaily, malaysiakini, berita harian) dan membaca update di facebook atau blog setiap hari. Aktiviti-aktiviti ini hanyalah sekadar warming up sebelum memulakan aktiviti utama yang lain. Tetapi kita hanya mempunyai 1 1/2 jam ini sahaja untuk mengumpulkan bekalan menuju ke alam yang kekal abadi. 1 1/2 jam ini sahaja yang kita ada untuk menentukan sama ada kita berbahagia atau merana di akhirat kelak.



Peperiksaan


"Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Mulk: 2)

Allah menjelaskan dalam ayat 2 surah al-Mulk bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menghadapi ujian. Hidup di dunia ini boleh diumpamakan seperti menduduki peperiksaan di sekolah atau institusi pengajian lain. Umur sesingkat 1 1/2 jam itu pula adalah tempoh yang diberikan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Individu yang menduduki peperiksaan itu pastinya akan menggunakan masa yang diberikan dengan begitu cermat sebaik sahaja dibenarkan membuka kertas peperiksaan. Satu demi satu soalan dibaca dengan teliti supaya dapat dijawab dengan tepat. Masa seolah-seolah menjadi musuh ketatnya pada waktu itu, berlumba siapakah yang lebih laju.

Jika kita mempunyai mindset bahawa dalam hidup ini kita akan diuji dan tempoh masanya hanyalah sesingkat 1 1/2 jam, maka seharusnya kita mengambil ikhtibar daripada senario menjawab peperiksaan tadi. Seharusnya usia yang dikurniakan kepada kita perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita juga perlu sedar bahawa umur kita akan sentiasa akan bertambah dan pastikan umur kita tidak disia-siakan begitu sahaja.

Modal Perniagaan


"Wahai orang yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah as-Saff : 10-11)

Oleh kerana usia yang dikurniakan kepada kita hanyalah 1 1/2 jam sahaja, maka kita perlu memastikan tempoh sesingkat ini dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya kita tergolong sebagai ahli syurga di akhirat nanti. Dalam ayat ke-10 dan 11 surah as-Saff yang dinyatakan di atas, Allah memberikan tawaran perniagaan yang hebat! Keuntungan daripada perniagaan ini adalah keselamatan daripada azab neraka yang pedih; aktiviti perniagaannya ialah keimanan kepada Allah dan rasul serta berjihad dengan harta dan jiwa kita di jalan Allah; dan modalnya ialah UMUR kita!

Kaedah Memanjangkan Umur

Sila klik gambar untuk baca~

Jadilah Mukmin yang Bijak

Rasulullah s.a.w menerusi sabda baginda yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar "Aku bersama dengan Rasulullah. Kemudian datang kepada baginda seorang lelaki daripada kalangan Ansar dan memberi salam ke atas Nabi s.a.w kemudian berkata, 'Wahai Rasulullah, siapakah Mukmin yang terbaik?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling baik akhlaknya.' Dia bertanya lagi, 'Maka siapakah Mukmin yang paling bijak?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling bijak.'" (Riwayat al-Baihaqi no. 10550)

Setiap hari adalah penghidupan yang baru bagi orang bijak. Belajarlah melupakan kelmarin. Jangan khuatir tentang hari esok dengan berfikir serta bekerja untuk hari ini. Katakan pada diri, seolah-olah tidak ada esok bagi kita maka tidak ada kata tangguh. Kenapa manusia suka bertangguh? Kerana dirasakannya esok masih ada, lalu apa katanya? Tunggulah nanti! Padahal memanjangkan umur bukan dengan bertangguh tetapi dengan  memanfaatkan sepenuhnya masa yang sedang berada dalam genggaman. Hari ini ialah masa yang hendak dipanjangkan. Bukan hari esok!

Adaptasi daripada: Pahrol Mohamad Juoi, artikel "Orang Bijak Panjang Umur" dan "Ya Allah Panjangkan Usiaku", kolum ISU, Majalah Solusi 24, 2010.

Thursday, August 19, 2010

Ramadhan : Mengajar Erti Kesabaran dan Kesetiaan

Salam...

Hari ini merupakan hari ke-9 dalam bulan Ramadhan tahun 1431 hijrah. Cepat sungguh masa berlalu. Walaupun sudah menempuh hampir 1/3 bulan mulia penuh keberkatan ini, terasa diri ini masih tidak dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang hadir hanya lebih kurang 8% daripada hari-hari kita dalam setahun. Kita telah dipelihara daripada gangguan dan hasutan syaitan. Yang tinggal menjadi seteru kepada al-quran dan aqal saat ini hanyalah nafsu.

"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)"

Ali-Imran:135

Perlu bermujahadah melawan nafsu! Berkatalah "Sesungguhnya aku sedang berpuasa..." ketika perasaan tidak sabar membaluti hati. Setialah melakukan ibadah dan berdoa , meninggalkan larangan Allah untuk merebut rahmat dan keberkatan Ramadhan Karim ini.

Wallahua'lam

Salam Ramadhan untuk semua.
(P/s: Just wanna dedicate my fav Ramadhan song to my dear readers...)

Lagu : Ramadhan
Munsyid : Brothers



Bertemu kembali dengan Ramadhan
Kurasakan bahagia menyelubungi
Ya Allah daku bersyukur
Kau pertemukanku semula
Ramadhan yang mulia

Di Ramadhan ya Allah
Rahmat-Mu kurasa
Kubanyakkan beribadah
Kutahu pengampunan-Mu melangit tinggi

Ramadhan rahmat dari Illahi
Bannyakkan ibadah dan berdoa
Hapuskan dosa dan tingkatkan pahala
Semoga beroleh maghfirah
Moga kita akan jadi hamba yang setia

Ramadhan menyedarkan aku
Kesusahan yang dialami oleh insan lain
Ramadhan ujian Illahi
Mengajar erti kesabaran dan kesetiaan

Di Ramadhan ya Allah
Rahmat-Mu kurasa
Kubanyakkan beribadah
Kutahu pengampunan-Mu melangit tinggi

Ramadhan rahmat dari Illahi
Banyakkan ibadah dan berdoa
Hapuskan dosa dan tinggatkan pahala
Semoga beroleh maghfirah
Moga kita akan jadi hamba yang setia

Andainya ini Ramadhan terakhir bagiku
Kuharap ianya akan membelaku
Di akhirat nanti 

Thursday, July 15, 2010

Nyawa Bergantung di Hujung Rambut

Salam...

Seluar slek yang tercarik akibat kemalangan petang tadi saya tatap. Masih jelas tergambar bagaimana tayar-tayar besar trailer hijau tadi menghimpit motorsikal kami. Allahurabbi...mujur tayar-tayar itu tidak menggilis tubuh kami berdua. Mujur juga lapisan stokin yang saya pakai cukup tebal  dan panjang untuk melindungi kulit saya daripada menjadi mangsa geselan kenderaan berat itu. Seluar sahaja yang terkesan.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati..."
(Ali-Imran:185)

Saat itu terasa bagai nyawa bergantung dihujung rambut. Ya, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Namun, hanya Allah Maha Mengetahui tanggal, masa dan detik sampainya ajal kita. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang kepada kami untuk terus hidup, terus berjuang mengumpulkan bekalan menuju ke akhirat. Mungkin ini merupakan teguran Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Syukur sekiranya apa yang berlaku merupakan kifarah dosa. Semoga dosa itu tidak akan mengheret diri ini ke neraka kelak.

Istighfar!


P/s: Kepada my dear pembonceng...maaf atas kelalaian diri ini.


Saturday, July 10, 2010

Wujudkan Budaya Menyumbang

Assalamualaikum w.b.t

Mendidik Sifat Pemurah Dalam Diri

Tabung As-Siddiq

Setiap kali saya melangkahkan kaki ke Baitul Makmur, bilik mesyuarat milik Rakan Masjid di Masjid Lama, setiap kali itu jugalah saya akan 'bertemu' dengan sebuah kotak yang sangat istimewa. Hiasan bulan dan tulisan Tabung As-Siddiq yang membaluti kotak itu kelihatan agak lusuh. Warnanya begitu pudar. Itulah kotak kasut yang telah ditukar fungsinya menjadi sebuah tabung yang digunakan untuk mengutip hasil infaq setiap kali mesyuarat MTME dan liqa' Rakan Masjid diadakan lebih kurang dua tahun yang lalu. Teringat kenangan pahit manis sewaktu saya memegang jawatan bendahari 2 Rakan Masjid Sesi 2008/2009.

Tabung itu merupakan satu inisiatif untuk mendidik ahli-ahli Rakan Masjid untuk menyumbang, untuk memberi infaq. Hasil kutipan tabung itu kemudiannya digunakan untuk menyokong perbelanjaan Rakan Masjid dalam menggerakkan agenda 'Membina Bi-ah Solaheh' di bumi UTP dan qariah sekitarnya. Pada waktu itu, saya tidak begitu mahir dalam menguruskan hal ehwal kewangan persatuan. Berkat bimbingan daripada rakan setugas, banyak perkara yang dapat saya pelajari sepanjang memegang peranan sebagai bendahari termasuklah kepentingan mewujudkan budaya menyumbang/infaq dalam sebuah badan Islam!


Pada peringkat awal tabung ini dicadangkan, kami  begitu ketandusan idea hendak memilih nama yang sesuai untuk menggambarkan peranannya sehinggalah rakan setugas saya menceritakan kisah Saidina Abu Bakar dalam perang Tabuk. As-Siddiq akhirnya dipilih sebagai nama tabung bersempena dengan nama gelaran sahabat Nabi Muhammad s.a.w ini. Kisah pengorbanan Saidina Abu Bakar yang sanggup menyerahkan keseluruhan harta yang dimiliki beliau untuk perang Tabuk diambil sebagai sumber inspirasi dan motivasi dalam mendidik sifat pemurah dalam diri setiap ahli.

Pengorbanan As-Siddiq

Dalam perang Tabuk, apabila Nabi Muhammad s.a.w melancarkan tabung bantuan perang untuk persediaan angkatan perang. Para sahabat menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Saidina Uhtman dan Abdul Rahman bin Auf menyumbang sejumlah yang besar. Begitu juga  dengan Saidina Umar yang menyumbangkan separuh daripada hartanya.

Saidina Abu Bakar juga tidak ketinggalan untuk menyumbang. Setelah mendengar kekasih Allah itu mengumumkan tentang bantuan perang yang diperlukan, beliau pulang menemui isteri beliau dan memintanya mengumpulkan semua harta yang ada tanpa meninggalkan sedikitpun.

Apabila Saidina Abu Bakar berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w, baginda bertanya, "Apakah sumbangan kamu wahai Abu Bakar?"

Saidina Abu Bakar menyerahkan sumbangan beliau dan menjawab, "Inilah semua harta yang ada pada saya." 

Baginda bertanya lagi, "Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?" 

"Saya tinggalkan untuk mereka, Allah dan Rasul", Saidina Abu Bakar menjawab dengan tegas. Hal ini membawa erti, selagi Allah ada dan selagi Rasul ada, tidak mungkin keluarga beliau akan berhadapan dengan masalah.

Sejak itu, Saidina Umar menekad tidak akan bersaing lagi dengan Saidina Abu Bakar. Walaupun jumlah sumbangan beliau jauh lebih banyak daripada Saidina Abu Bakar, namun  Saidina Abu Bakar menyumbang keseluruhan harta yang dimiliki beliau. Begitu besar pengorbanan Saidina Abu Bakar.

Begitu hebat sahabat-sahabat yang mendapat tarbiyah secara langsung daripada Nabi Muhammad s.a.w. Masing-masing bersaing dalam melakukan kebaikan. Dan sungguh tahap pengorbanan yang ditunjukkan dalam kisah ini seharusnya menjadi satu suntikan semangat kepada kita untuk  sentiasa menyumbang dan memberi!

Rasulullah Paling Banyak Memberi!

Kebiasaanya, ramai yang agak berat untuk menyumbang lebih-lebih lagi tatkala diri sendiri dalam kekurangan. Namun, Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh terbaik apabila baginda sendiri menyumbang semasa baginda susah atau senang.

Rasulullah s.a.w sumber motivasi terbaik!

Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w merakamkan baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah s.a.w memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi penuh kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima pemberiannya penah berkata: "Dia memberi tanpa takut kepada kekurangan."

Sebuah
hadis daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, "Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, 'Ya Allah berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau mensedekahkan) hartanya.' Sedangkan malaikat yang kedua berdoa 'Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.'" (Riwayat Bukhari no. 2383)
.

Jom Menyumbang!


Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 261: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Yakinlah bahawa Allah akan melipatgandakan pahala setiap apa yang kita sumbangkan pada jalan-Nya. Jom menyumbang!

Sumber : 
  1. Solusi Isu No.14
  2. Jejak Rasul 13
P/s: Baru-baru ini, saya menghadiri ceramah Palestin dan penceramah, Ustaz Imran Al-Malizi menekankan bahawa jihad bagi umat Islam yang berada di luar Palestin adalah fardu ain dengan harta-bendanya berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Yusof Al-Qaradawi. Hukum bersedeqah untuk Palestin adalah fardu ain dan bukannya sunat.

Tuesday, June 08, 2010

Maher Zain - Palestine Will Be Free

Sangat-sangat tersentuh apabila mendengar dan menonton video ini...
Kagum dengan kekuatan dan ketabahan penduduk Palestin...
Dan....
Bersyukur atas nikmat keamanan yang Allah kurniakan kepadaku selama ini...

Muhasabah diri...



Palestine Will Be Free
By: Maher Zain

Every day we tell each other
That this day will be the last
And tomorrow we all can go home free
And all this will finally end
Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

No mother no father to wipe away my tears
That’s why I won’t cry
I feel scared but I won’t show my fears
I keep my head high
Deep in my heart I never have any doubt
That Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free

I saw those rockets and bombs shining in the sky
Like drops of rain in the sun’s light
Taking away everyone dear to my heart
Destroying my dreams in a blink of an eye
What happened to our human rights?
What happened to the sanctity of life?

And all those other lies?
I know that I’m only a child
But is your conscience still alive

I will caress with my bare hands
Every precious grain of sand
Every stone and every tree
‘Cause no matter what they do
They can never hurt you
Coz your soul will always be free

Palestine tomorrow will be free
Palestine tomorrow will be free


(Meminjam status gtalk seorang sahabat)
Pelestin bukan soal 'mereka' tetapi soal 'kita'...

Wallahua'lam

Friday, May 21, 2010

Seseorang dan Kebahagiaan

Siapakah Diriku Sebenarnya

"Wow...buku Membina Hati Bahagia...Motivasi Diri Wanita... ," secara spontan kata-kata ini meniti di bibir saya sejurus terpandang tajuk buku yang dipinjam oleh seorang sahabat saya di perpustakaan tempoh hari.

Buku siri Extra Mind yang ditulis oleh Dr. HM Tuah Iskandar itu agak catchy dengan pemilihan warna kegemaran majoriti wanita sebagai warna kulit bukunya dan judul yang straight-to-the-point. Daripada banyak-banyak koleksi buku saya, saya masih belum memiliki mana-mana hasil tulisan beliau. Namun, saya pernah menghadiri progam motivasi yang dikendalikan oleh beliau di UTP suatu ketika dahulu. Beliau gemar memakai pakaian yang berwarna terang sewaktu memberi ceramah motivasi. Seingat saya, beliau memakai kot berwarna kuning terang pada waktu itu. Itulah perkara yang paling diingati tentang diri beliau. Pengisiannya...wallahua'lam.

Sewaktu menanti sahabat saya menyelesaikan urusannya pada hari itu, saya sempat membelek buku tersebut. Penulis membahagikan cerita-ceritanya kepada tajuk-tajuk kecil. Satu demi satu tajuk saya baca pada halaman kandungan. Ada beberapa tajuk yang menarik tetapi saya lebih tertarik untuk menyelak halaman 304, Siapa Diriku Sebenarnya. Pada awalnya saya beranggapan yang tajuk itu menyediakan satu cerita motivasi tentang bagaimana mengenal diri tetapi penulis mengambil pendekatan yang berbeza. Terdapat 21 soalan yang perlu dijawab dalam menentukan sama ada kita seorang yang bahagia atau sebaliknya.

Menarik! Saya terus menjawab soalan-soalan yang tertera pada muka surat 304 hingga 311 tanpa berfikir panjang. Arahan untuk tidak memperuntukkan banyak masa untuk memilih jawapan saya patuhi untuk mengelakkan unsur-unsur tidak jujur dan mereka-mereka jawapan.
A  Saya seronok dengan kehidupan saya.
B  Saya agak seronok dengan kehidupan saya.
C  Saya tidak gembira dengan kehidupan saya.
D  Saya tidak lagi gembira dengan kehidupan saya.
E  Saya tidak gembira langsung dengan kehidupan saya.

A  Saya sentiasa menilai diri saya untuk meningkatkan motivasi diri
B  Kadang kala saya menilai diri saya.
C  Saya tidak begitu memikirkan diri saya.
D  Saya langsung tidak memikirkan tentang diri saya.
E  Saya tidak berguna.

A  Saya rasa sayang dan menghormati diri sendiri.
B  Saya sukakan diri saya.
C  Saya tidak puas hati dengan diri sendiri.
D  Saya tidak menyukai diri sendiri.
E  Saya amat menyampah dengan diri sendiri.

A  Saya puas hati dengan kehidupan saya.
B  Kehidupan saya agak memuaskan.
C  Saya rasa kehidupan saya sepatutnya lebih memuaskan.
D  Tiada apa yang boleh memuaskan hati saya.
E  Tiada suatupun di dunia ini yang boleh memuaskan hati saya lagi.
Antara 4 soalan yang menarik daripada 21 soalan yang perlu dijawab

Selepas menjawab kesemua soalan, saya perlu mengira markah yang saya perolehi. Setiap jawapan A akan mendapat 4 markah, jawapan B pula 3 markah, jawapan C; 2 markah, jawapan D; 1 markah dan jawapan E tidak akan mendapat apa-apa markah. Jumlah markah akan dibandingkan dengan peringkat-peringkat dibawah. Cuba teka markah saya berada dalam peringkat mana?

78-84
Hubungi saya dan nyatakan pencapaian anda itu. Saya juga ingin mengetahui bagaimana anda melakukannya

64-74
Anda seorang yang bahagia walaupun prestasi itu boleh ditingkatkan

54-64
Sedikit sebanyak anda hilang keceriaan

44-54
Anda mungkin seorang pemuram dan perlukan bantuan

20-44
Anda cukup tertekan dan kehilangan bahagia

0-20
Anda telah kehilangan sinar dalam hidup



Hakikat Bahagia

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki


Susunan lirik indah dalam alunan nasyid Hakikat Bahagia ini menerangkan sedikit sebanyak tentang  konsep kebahagiaan. Kebahagiaan itu adalah suatu kesyukuran dan hakikatnya, bahagia itu adalah ketenangan. Mungkin kita terlalu memikirkan kesusahan dan kepayahan hidup sehari-hari hingga kita terlupa untuk bersyukur. Mungkin juga benak fikiran kita terlalu kusut, tepu dengan permasalahan yang menyerang diri sehingga kita tidak mampu menenangkannya.  Pada hakikatnya kita mampu untuk hidup bahagia. Walau apa juga keadaan yang kita hadapi sama ada yang baik atau sebaliknya, senangkanlah hatimu sebagaimana yang tertulis dalam sebuah sajak daripada buku Tasawuf Moden oleh Prof. Dr. Hamka (klik di sini untuk ke halaman pautan sajak).



Terasa Bahagia

Selama ini saya tidak pernah terfikir bahawa saya adalah seorang yang bahagia. Mungkin kerana terlalu asyik meletakkan masalah di hadapan mata. Happiness...something that we decide ourselves. Skor yang saya perolehi untuk soalan-soalan yang dijawab berada di peringkat yang pertama. Tidak disangka! Hmm...saya baru tersedar. Apabila ditanyakan semula pada diri...sememangnya saya dapat merasai ketenangan dan kesyukuran dalam jiwa. And I just found it out!

Saya akhiri post kali ini dengan satu petikan ringkas daripada salah satu buku tulisan Ustaz Zahazan...


Jiwa Orang Yang Bahagia

Orang yang bahagia itu akan selalu meluangkan masanya untuk:
  1. MEMBACA kerana membaca itu sumber hikmah
  2. TERTAWA kerana ketawa itu muziknya jiwa
  3. BERFIKIR kerana berfikir itu pokok kemajuan
  4. BERAMAL kerana beramal itu pangkal kejayaan
  5. BERSENDA kerana bersenda itu akan membuatkannya muda selalu
  6. BERIBADAT kerana beribadat itu ialah ibu untuk segala ketenangan jiwa
Is'adul-Mar'ah, Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni

Wednesday, April 14, 2010

KRONIK : Kes Anak Luar Nikah dan Buang Bayi

Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai bagi insan yang bergelar ibu dan bapa. Namun, saban hari kita sering digemparkan dengan laporan kes pembuangan bayi yang begitu menyayat hati. Baru-baru ini pula statistik pendaftaran anak luar nikah didedahkan. Analisa yang diperincikan dengan bilangan anak luar nikah mengikut tahun dan kaum ini jelas menggambarkan betapa kroniknya krisis sosial yang berlaku di Negara kita.

Statistik Pendaftaran Anak Luar Nikah di Malaysia

Diadaptasi daripada: Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Bilangan anak luar nikah Melayu yang didaftarkan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim ini menunjukkan bilangan anak luar nikah dari kaum Melayu meningkat sebanyak 441 orang pada tahun 2008 dan meningkat lagi sebanyak 762 orang pada tahun 2009. Adakah nilai ini akan terus meningkat untuk tahun 2010 pula?

Diadaptasi daripada : Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Daripada statistik pendaftaran anak luar nikah yang dianalisa untuk tempoh lima tahun (2005 - 2009) ini pula, kaum Melayu/Islam menduduki tempat kedua sebanyak 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes). Kedudukan nombor dua dengan angka 5 digit untuk jangka masa 5 tahun ini sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya pegangan agama Islam dalam kalangan orang Melayu.
Angka yang dikira ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jumlah kes buang bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi. Bilangan kes ini meningkat saban tahun di mana sebanyak 65 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006.

Fakta yang diekstrak daripada arkib Utusan Online ini hanya memaparkan jumlah kes setakat tahun 2006 sahaja. Namun, hal ini tidak sepatutnya diambil mudah memandangkan kes pembuangan bayi masih tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini malahan semakin serius. Tahun ini sahaja kita sudah menyaksikan beberapa lagi kes pembuangan bayi yang tidak berperikemanusiaan dan semalam, 13 April 2010, seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.

















Banyak faktor yang boleh disenaraikan dalam menyelidiki punca berlakunya kelahiran anak hasil persetubuhan tanpa nikah atau lebih tepat lagi disebut ZINA. Namun, perkara pokok yang perlu ditekankan ialah pegangan agama itu sendiri. Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta telah menggariskan panduan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Hanya Dia mengetahui kesan dan akibat daripada setiap tindak-tanduk manusia. Begitu juga dalam hal ini.

Allah S.W.T telah berfirman:


“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)”
[Surah al-Israa' 17: 32]

Perbuatan ZINA merupakan perbuatan keji dan satu jalan yang jahat. Firman Allah dalam Surah al-Israa' : 32 melarang umat Islam untuk menghampiri ZINA apatah lagi melakukannya dan kita sebagai hamba yang beriman dengan kitab-Nya perlu sedaya-upaya mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan Allah.

Ketempangan akhlak yang semakin meruncing ini benar-benar menggerunkan. Introspeksilah diri kita adakah kita tergolong dalam golongan yang melakukan ZINA atau golongan yang menghampiri ZINA. Alhamdulillah jika kita tidak tergolong dalam mana-mana golongan ini. Sekiranya ya, bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita nyawa untuk kita bertaubat.

Muhasabahlah juga wahai diri...adakah kita mengambil berat tentang masalah yang melanda negara kita ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:


“ Barangsiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam, maka ia bukanlah dari golongan mereka .”
 
Dan cuba tanyakan pada diri...berapa banyakkah usaha yang kita telah lakukan agar gejala ini tidak berlaku disekeliling kita.
 
Wallahua'lam