Monday, May 03, 2010

Tekanan vs. Prestasi

Saya kangan bangat sama Ukhti Athirah! Kira-kiranya, inilah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya begitu merindui kelas Bahasa Arab muslimat anjuran  Islamica Resource Center yang sudah beberapa minggu dihentikan lantaran ketiadaan guru. Ukhti Athirah yang merupakan guru Bahasa Arab saya kini sedang dalam pantang. Wanita kelahiran Indonesia ini baru sahaja melahirkan seorang cahaya mata perempuan pada 18 April yang lalu. Jika tidak silap saya, bayinya lahir tidak cukup bulan.

Walaupun Ukhti Athirah lebih muda daripada saya, namun ilmu pengetahuannya dalam Bahasa Arab juga dalam bidang agama sudah cukup menjadikan beliau seorang guru yang amat saya hormati. Pembelajaran nahu yang dikendalikan oleh graduan Agriculture Engineering ini begitu menyeronokkan. Kelas yang mengambil masa lebih kurang dua jam untuk setiap sesi terasa berlalu begitu pantas. Sekiranya kelas habis awal, saya dan beberapa adik muslimat lain akan mengambil peluang untuk 'mengorek' ilmu dan pengalaman daripada beliau.

"Siapa pernah lihat graf ini?" Ukhti Athirah tiba-tiba bertanya usai pembelajaran kami pada hari itu. Tangannya pula sibuk melukis sebuah graf di papan putih.



"Siapa yang boleh terangkan kepada semua apa maksud graf ini?", beliau terus bertanya dalam loghat Indonesianya. Ukhti Athirah melukis sebuah graf ringkas berbentuk inverted-U dengan label Performance pada paksi y dan label Pressure pada paksi x.

"Semakin tinggi pressure, performance akan semakin meningkat. Tetapi apabila pressure meningkat hingga mencecah limitation point, performance akan jatuh semula...", saya cuba menjawab seringkas mungkin.

"Begitulah kehidupan kita...", Ukhti Athirah menyambung.

"Dalam konteks bekerja atau belajar, kebiasaannya kita memerlukan tekanan untuk memastikan kerja kita berjalan, performance  kita sentiasa baik. Tetapi sekiranya tekanan itu terlalu tinggi, kita akan tiba pada satu peak point di mana kita tidak mampu lagi menerima tekanan. Apabila situasi itu berlaku performance akan jatuh merudum..."

"Namun, bagaimana jika tiada pressure yang mendatang? Apa yang kita perlu lakukan untuk memastikan prestasi kita sentiasa meningkat? Di sini kita bermain dengan konsep external pressure dan internal pressure. Untuk memastikan kita sentiasa perform well, kita perlu sentiasa memastikan pressure itu wujud. Sekiranya tiada external pressure kita perlu wujudkan internal pressure dari dalam diri", Ukhti Athirah menghabiskan penjelasannya.

Hmm...situasi ini sememangnya wujud dalam kejadian alam hatta dalam kehidupan manusia. Namun, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya untuk menterjemahkannya dalam bentuk graf semudah ini. Perkongsian ini benar-benar membuka minda saya akan konsep tekanan vs. prestasi. Sekiranya tiada tekanan luaran, kita perlu wujudkan tekanan dalaman supaya prestasi sentiasa meningkat. Namun kita perlu bijak mengendalikan keadaan apabila tekanan mencapai tahap maksimum. Kita perlu bijak untuk bertindakbalas dalam apa juga situasi yang menimpa kita supaya kita tidak menghampiri peak point apabila menerima tekanan dan tidak lalai apabila tiada tekanan.

Ukthi Athirah menutup pekongsian kami dengan satu ungkapan hadith:

"Menakjubkan sungguh segala urusan orang yang beriman. Setiap perkara yang menimpanya adalah baik. Dan ini tidak akan terjadi kecuali pada seorang mukmin. Jika dia mendapat nikmat, dia akan bersyukur, maka kesyukurannya itu adalah baik untuknya. Akan tetapi jika dia ditimpa musibah, dia akan bersabar dan kesabarannya itu adalah baik untuknya".

Umat Islam diajar untuk bertindakbalas mengikut situasi. Bersabar apabila menerima tekanan berbentuk ujian dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat; bukan hanya berdiam diri apabila berada dalam comfort zone.

Fikir-fikirkanlah...



Just my two cents...wallahua'lam

No comments:

Post a Comment