Salam'alaik...
26 Febuari 2010
Hari ini ulangtahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Jauh di sudut hati…saya merenung kembali, bermuhasabah diri. Sejauh mana saya mengenali kekasih Allah ini...sejauh mana saya mengamalkan sunnah yang ditinggalkan baginda...sedalam mana diri ini mencintai baginda…segan rasanya ingin mengaku sebagai umat baginda jika sekelumit kalimah selawat pun berat untuk dilafazkan…
Sempena dengan bulan Rabiul Awal ini…saya menukar nada dering telefon bimbit saya. Lagu terbaru Mirwana, The Arrival menjadi pilihan. Selawat ke atas baginda akan bebunyi setiap kali sms diterima. Alunan 'tola al badru alaina' pula akan berkumandang apabila panggilan diterima. Semoga hati ini sentiasa mencintai dan merindui baginda dan semoga diri ini mampu memperbaiki amalan seharian dengan menerapkan sunnah-sunnah baginda.
Hari ini cuti diberikan sempena Maulidur Rasul. Tiada apa-apa aktiviti menarik untuk dilakukan di kala hari cuti-cuti begini. Kebiasaannya hari cuti akan dipenuhi dengan aktiviti housekeeping. Namun saya berkesempatan menyertai program ziarah pada petang harinya. Ziarah kebajikan ke dua buah rumah kenalan sahabat saya begitu menyentuh hati.
Rumah Pertama : Puan Asmah (bukan nama sebenar), pesakit Kanser Payu Dara yang baru sahaja keluar dari hospital. Pada mulanya saya tidak mengetahui penyakit Puan Asmah kerana beliau kelihatan begitu ceria dan bersemangat. Usai membaca Yassin, beliau berkongsi pengalaman sepanjang menghidapi penyakit yang memerlukan beliau menjalani pembedahan untuk membuang sebelah payu daranya. Sebagai rawatan susulan beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi yang menyakitkan. Namun, Puan Asmah begitu tabah dan masih bersemangat untuk meneruskan hidup walaupun diduga begitu sekali.
Rumah Kedua : Mak Andak yang mempunyai seorang cucu istimewa bernama Safwan. Melihat pada raut wajah dan fizikal Mak Andak, saya menganggarkan umurnya dalam lingkuan 80-an. Namun Mak Andak masih mampu mendukung Safwan yang berumur 4 tahun. Safwan kelihatan begitu comel dalam dakapan Mak Andak. Kasihan…Safwan asyik menggaru-garu matanya yang ditumbuhi ketumbit. Fizikal Safwan tidak begitu sempurna dan dia tidak mampu memahami mahupun berkata-kata. Namun, Mak Andak tidak jemu melayan kerenah Safwan sepanjang kunjungan kami ke rumahnya.
Dugaan dan ujian yang mereka terima jauh lebih berat daripada diri ini, namun mereka tetap tabah dan bersemangat untuk meneruskan hidup.
27 Febuari 2010
Pagi-pagi lagi saya sudah bersiap-siap untuk menghadiri Bengkel Kerjaya yang dianjurkan oleh junior-junior kampus. Kehadiran saya dan beberapa sahabat lain sebagai speaker memerlukan kami hadir lebih awal supaya sedikit masa dapat diperuntukkan untuk perbincangan pre-program. Program bermula lebih kurang jam 9.30 pagi. Slot demi slot silih berganti sebelum tiba giliran saya untuk berkongsi maklumat tentang Postgraduate Studies: An Option after Graduation.
Selesai pembentangan, saya bergegas pula ke Parit Buntar untuk memenuhi jemputan walimah housemate saya semasa praktikal dahulu. Syukran jazilan ya Ukhti Syaza kerana menemani saya ke sana. Memandu kereta manual Proton Saga BLM milik seorang sahabat untuk perjalanan yang mengambil masa lebih kurang dua jam itu agak memenatkan. Lebih-lebih lagi saya hanya dapat melelapkan mata untuk 3 jam sahaja malam tadi kerana menyiapkan slide presentation untuk Bengkel Kerjaya.
Alhamdulillah…walaupun kehadiran kami sudah lewat petang dan orang-orang di situ sedang sibuk mengemas, namun kehadiran kami diraikan dengan begitu mesra. Kami sempat bertemu seketika dengan pasangan raja sehari yang kebetulan mahu keluar mengambil gambar di tempat lain. Lebih kurang jam 5.45 petang kami bertolak pulang. Berhenti seketika di R&R Gunung Semanggol untuk menunaikan solat Asar sebelum meneruskan perjalanan.
Jam 8.45 malam kami tiba di UTP. Saya memulangkan kereta dan kami bergegas ke Dewan Utama UTP untuk menyaksikan Malam Inspirasi Seni (MIS) peringkat saringan. Mujur majlis baru sahaja bermula sewaktu kami melangkahkan kaki ke dewan tersebut. Dalam keadaan yang begitu letih, terhibur juga diri ini mendengar alunan suara dan gelagat para peserta. Tahniah saya ucapkan kepada sahabat-sahabat / adik-adik yang berpeluang ke peringkat akhir MIS.
28 Febuari 2010
Aktiviti hari ini : bermesra dengan alam! Jam 8.50 pagi, saya dan beberapa sahabat bertolak ke Air Terjun Lata Kinjang. Saya begitu teruja sekali kerana sepanjang saya tinggal di Perak saya masih belum berkesempatan untuk ke sana. Sebelum ini, saya hanya mampu menyaksikan air terjun Lata Kinjang jauh dari lebuhraya semasa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perak. Namun hari ini saya dapat merasai kesejukan airnya dan keindahan ciptaan Allah ini.
Aktiviti utama di sana tentulah bermandi-manda. Sangat menakjubkan! Lata Kinjang sememangnya destinasi percutian yang begitu menyeronokkan. Mujur tidak begitu ramai orang di sekitar port yang kami pilih. Suasana begitu tenang dan damai. Dapatlah juga kiranya saya menenangkan fikiran dari kesibukan yang sememangnya tiada noktah. Jangan lupa untuk memberi hak kepada badan! Lebih kurang jam 12.30 tengah hari kami berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami sempat menikmati cendol yang dijual di situ.
Letih tetapi seronok! InsyaAllah Bukit Larut akan menjadi destinati cuti-cuti Malaysia selepas Lata Kinjang. Saya berniat untuk menyambung research apabila tiba di rumah tetapi tertidur juga akhirnya. Namun, sempat jugalah saya menonton drama khas sempena Maulidur Rasul di kaca televisyen dan membelek bahan-bahan research. Pada malamnya pula saya menghadiri kelas Bahasa Arab anjuran Islamica Resource Centre. Nampaknya esok jugalah saya dapat menyambung research saya. :D
No comments:
Post a Comment