Monday, May 17, 2010

Gigi Untuk Kehidupan

Come In For A Great Smile

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sukar untuk melihat senyuman terukir pada raut wajah teman sebilik saya. Sakit gigi katanya. Azella yang baru sahaja menjadi roomate saya untuk 15 hari merupakan seorang yang agak ceria. Sunyi juga bilik ini apabila kami kurang berbual dan bersembang seperti biasanya. Mujur Azella masih dapat melelapkan mata. Dengan tidur, sekurang-kurangnya dapatlah juga dia 'lari' seketika daripada kesakitan itu.




"Jom lah La, kita pergi klinik gigi esok...malam nih awak makan ubat dulu eh...," saya menawarkan diri untuk menghantarnya ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan professional.

Keesokan harinya saya membonceng Azella menaiki Cik Oren, motorsikal kesayangan saya menuju ke klinik gigi di Seri Iskandar. Klinik milik orang Melayu Islam itu kelihatan begitu eksklusif. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika itu adalah kos rawatannya. Mudah-mudahkan tidak begitu mahal. Oleh kerana tiada pesakit lain ketika itu, Azella dapat berjumpa dengan doktor sejurus selepas pendaftaran. Saya meminta izin untuk menemankan Azella dengan niat mahu memberi sokongan moral (cewah...ye la tuh...hehe~).

"Cayok, cayok Azella!", saya menyokong daripada tepi. Seperti menyokong pasukan badminton kegemaran dalam Piala Thomas pula.

"Nanti dah dibius tak rasa sakit sangat pun...macam gigit semut api je...," saya menyedapkan hati Azella kerana dia kelihatan cemas sebelum pembedahan.

Itulah kata-kata 'semangat' yang saya pernah terima sewaktu doktor gigi mahu mencabut gigi geraham bongsu saya yang tumbuh memakan isi pipi suatu ketika dahulu. Azella memerlukan pembedahan kecil untuk mencabut gigi gerahamnya yang telah patah separuh. Gusinya perlu dipotong sedikit bagi membolehkan gigi itu dikeluarkan. Agak menyeramkan juga melihat percikan darah yang tersembur semasa pembedahan dijalankan.

Memandangkan bayaran untuk pemeriksaan biasa hanya rm20, saya mengambil peluang ini untuk memeriksa gigi. Kali terakhir saya membuat pemeriksaan adalah pada bulan Julai 2009. Hampir setahun yang lalu. Hasil pemeriksaan, tiga batang gigi saya berlubang sedikit dan saya disarankan untuk menampalnya bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Prevention is better than cure.

Sekilas pandang memang sukar untuk mengesan  masalah tersebut. Mujur diperiksa. Kebanyakan orang hanya akan berjumpa dengan doktor gigi apabila sudah berasa sakit. Begitu jugalah dengan saya pada awalnya. Jika tidak kerana menemankan kawan, mana mungkin saya akan ke klinik gigi. Doktor menampal gigi-gigi tersebut dan mencuci keseluruhan gigi. Kos pemeriksaan?? Azella dikenakan RM100 dan saya perlu membayar RM140.


 Teringat saya akan salah satu babak dalam Finding Nemo.
Darla berjumpa dengan bapa saudaranya, Dr. Sherman untuk memeriksa gigi

Allahurabbi, mahal sungguh...tetapi tidak mengapa...dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan saya rasa berbaloi membayar kos sebanyak itu. Duit boleh dicari. Tidak mengapa berhabisan duit sedikit untuk kesihatan. Come in For a Great Smile yang menjadi  tagline klinik ini benar-benar menjadi. Senyuman puas hati yang terukir menampakkan barisan gigi yang baru sahaja di'servis'.  Alhamdulillah...

Apabila difikirkan semula, sebelum ini saya merasakan bahawa saya menjaga gigi saya dengan baik. Dalam sehari, sekurang-kurangnya dua kali barisan gigi ini akan dibersihkan; bangun pagi, sebelum tidur dan tambahan: sebelum solat. Jika anda juga merasakan perkara yang sama, cuba cek semula. Adakah  anda benar-benar pasti anda telah membersihkan gigi dengan betul? Adakah gigi anda benar-benar sihat?



Penjagaan Gigi

Saya membuat sedikit research untuk menambah pengetahuan tentang penjagaan gigi yang betul. Daripada banyak-banyak tips ini mungkin ada yang kita lakukan dan mungkin ada yang kita terlepas pandang.




Membersihkan gigi
  1. Memberus gigi sekurang-kurangnya dua minit setiap kali.
  2. Memberus kesemua permukaan gigi dan juga gusi untuk membuang plak gigi.
  3. Memilih berus gigi yang sesuai dari segi bentuk, saiz dan jenis bristel (bulu berus).
  4. Menggantikan berus gigi sekurang-kurangnya setiap 3 bulan.
  5. Paling ideal, beruslah gigi setiap kali selepas makan tetapi jika tiak mampu, sekurang-kurangnya beruslah gigi anda sehari sekali dan sebelum tidur.
  6. Menggunakan cecair kumuran untuk pelindungan tambahan.
  7. Tambahan : flos gigi anda selalu.


Menggunakan ubat gigi berflorida
Selepas sesi rawatan, saya mengajukan satu soalan berkaitan dengan penggunaan ubat gigi kepada doktor. Adakah ubat gigi mempengaruhi kesihatan gigi? Doktor mengiyakan kenyataan bahawa ubat gigi berflorida baik untuk gigi. Namun, sekiranya kita was-was, tidak mengapa. Boleh sahaja menggunakan ubat gigi biasa asalkan kita membersihkan gigi dengan  betul. Lagipun, air yang kita minum sudah mengandungi florida.


Mengelakkan makanan ringan dan minuman bergula di perantaraan waktu makan.
Setiap kali gula dimasukkan ke dalam mulut, ia akan bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan asid yang akan menyerang permukaan gigi. Sekiranya proses ini kerap berulang, tindak balas kimia akan berlaku dan boleh merosakkan gigi.

 

Memeriksa gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.
Perasaan cemas setiap kali berjumpa doktor gigi adalah perkara normal. Walau bagaimanapun, teknik pergigian masa kini semakin canggih dan sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa sakit semasa rawatan. Doktor gigi juga lebih mesra dan mereka dilatih untuk sedaya-upaya mengurangkan ketidakselesaan pesakit. Sekiranya ada takut untuk membuat rawatan, berbincanglah dengan doktor gigi anda. Mereka tahu cara terbaik untuk membantu anda.
(Diadaptasi dari: General Information for Public, Malaysian Dental Association)



Bersugi (Menyucikan Gigi) Mendapat Redha Allah

Islam sentiasa mementingkan kebersihan dalam semua aspek termasuk kebersihan mulut dan gigi.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja).” 

Riwayat Muslim

Rasulullah s.a.w telah menyatakan dengan jelas dalam mafhum sabda Baginda bahawa, "Jika tidak menjadi satu kesusahan bagi umatku, pasti aku akan menyuruh mereka untuk bersugi setiap kali solat."
Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis ringkas ini kita dapati bersugi merupakan perkara yang mendapat perhatian Rasulullah s.a.w. Namun apabila mengenangkan bahawa arahan ini mungkin akan menimbulkan kesusahan atau kepayahan bagi umatnya, maka Rasulullah s.a.w tidak menjadikannya satu kemestian.

Dalam hadis lain daripada riwayat Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w dilihat bersugi apabila Baginda bangun dari tempat tidurnya.

Secara umumnya, para ulama menyatakan bahawa bersugi disunatkan ketika bau mulut kita berubah, tidak kira apa sebabnya. Di sini Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh terbaik iaitu bersugi apabila bangun tidur.

Hadis riwayat Muslim ini pula menceritakan bagaimana Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w pernah memberitahu bahawa dialah yang menyediakan kayu sugi untuk Rasulullah s.a.w. Bukan itu sahaja, dia turut menyediakan air untuk Baginda bersuci. Aisyah juga berkata bahawa kebiasaanya Rasulullah s.a.w apabila bangun tidur , Baginda akan bersugi, berwuduk seterusnya barulah Baginda bersolat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah berulang kali menganjurkan kalian semua untuk bersugi." Baginda kerap mengigatkan para sahabat tentang bersugi. Hal ini menunjukkan betapa bersugi  penting pada diri Baginda.

Aisyah r.ha ketika disoal oleh Syuraih bin Hani' tentang apakah perkara pertama yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w ketika masuk ke dalam rumah, dia menjawab, "Baginda mulakan dengan bersugi." Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w inginkan umatnya supaya bersih dari segenap segi dalam semua keadaan dan setiap masa. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bersugi itu adalah suatu penyuci kepada mulut dan mendapat keredhaan Tuhan."
Riwayat Al-Nasa'i dan Ibn Hibban

Mungkin ada di antara kita hanya memandang bersugi sebagai perkara remeh dalam kehidupan. Tetapi dalam hadis ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w mengaitkan keredaan Allah S.W.T dengan amalan bersugi.

(Diadaptasi dari: Kolum Hadis, Majalah Solusi Isu No. 14)

Gigi Untuk Kehidupan

Sebagai tanda kesyukuran, kita perlu menjaga gigi kurniaan Allah ini dengan lebih baik selepas ini. Teknik-teknik yang betul untuk membesihkan gigi perlu dipelajari. Kita juga perlu mengikuti tips-tips untuk mengekalkan gigi yang sihat. dan cantik. Tidak sanggup rasanya perlu menghabiskan begitu banyak duit untuk teeth maintenance sahaja. Dengan membersihkan gigi juga kita memperoleh redha Allah. So, we're not loosing anything plus we'll gain a great smile!

12 comments:

  1. POST YANG COMEL !!

    tukar berus gigi setiap 3 bulan
    >>ironinye..tuka bile berus gigi dah kembang seolah2 berus gigi tu dah sangat nazak @ berus dah botak

    berus 2 minit
    >>ironinye xsampai seminit sebab dah lambat nak pergi ke kelas @ tempat keje...

    ReplyDelete
  2. Hehe~ itulah kebiasaannya...

    ReplyDelete
  3. ramainye org sakit gigi lately..

    hadijah n nadiah pon aritu.. hehe

    ReplyDelete
  4. Selalunya jaga gigi ni sinonim ngan budak kecik...
    Org dah besar nih tak amik cakna sgt pasal gigi nih...
    Bile dah sakit baru nk jumpe dr...
    Lagi satu sebab org besar nk tumbuh gigi bongsu...
    Sakit tuh...

    ReplyDelete
  5. sya pun...!_!

    mungkinkah diri ini senasib dengan rumate akak....gigi~~

    ReplyDelete
  6. Erkk...
    Jgn tunggu lame2 cpt g jumpe dr gigi...
    Cayok, cayok Adik Manis!

    ReplyDelete
  7. tamau...saya sayang gigi saya

    ReplyDelete
  8. kak zila kalu sayang
    lepas cabut anta gigi
    gi kedai cenderahati
    framekn die..tulis kat frame tu
    "terima kasih gigi yang berjasa"
    :)

    ReplyDelete
  9. amatillah sakinah11:45 PM

    my mum always says..
    " org tu akn jdi cantek/ hensem bile giginye cantek.."
    hehe

    http://www.simplestepsdental.com/SS/ihtSS/r.WSIHW000/st.31819/t.31819/pr.3.html

    ReplyDelete
  10. Fruitful link...thanks Kinah :D

    ReplyDelete
  11. Pegi klinik gigi mana kat seri iskandar ni ye?

    ReplyDelete
  12. Anonymous12:04 PM

    Seri iskandar ade 2 klinik gigi kan. Yang mane satu eh awak pergi

    ReplyDelete