Tuesday, February 24, 2015

Khatam Al-Quran : Sudah Berapa Kali Eh?

Salam'alaik

Seorang senior menyuarakan keresahan tentang anaknya yang masih belum mengkhatamkan Al-Quran dalam salah satu kumpulan WhatsApp saya pagi ini. Luahan hati ini mendapat respon yang sangat positif daripada ahli-ahli lain. Notification WhatsApp tidak henti-henti berbunyi di pejabat sehingga saya terpaksa menukar mute setting untuk kumpulan ini. Masing-masing melontarkan idea dan saranan bagaimana caranya untuk memudahkan dan mempercepatkan anak-anak untuk mengkhatamkan Al-Quran.

Secara jujurnya, saya kagum dengan kesungguhan dan keprihatinan kakak-kakak ini dalam memastikan anak-anak mereka dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam usia yang sangat muda. Mungkin inilah hasil persekitaran baitul muslim yang mereka bina. Tidak pernah terlintas di fikiran saya yang perkara ini menjadi salah satu 'KPI' dalam membesarkan anak-anak. Bagi saya, memperlajari Al-Quran sedari kecil itu penting tetapi saya agak bertoleransi dalam menjadikan khatam Al-Quran itu sesuatu yang wajib dalam usia semuda itu.

Mungkin disebabkan sejarah hidup saya begitu. Sejak kecil saya juga diajar untuk mengaji muqaddam dan kemudiannya Al-Quran. Setiap petang saya akan disuruh untuk pergi ke salah sebuah rumah dalam kampung tempat saya dibesarkan untuk belajar mengaji. Guru mengaji saya adalah seorang nenek dan rumahnya berdekatan dengan masjid Kampung Melayu Pandan. Seingat saya, ramai kawan-kawan sekampung saya yang menyertai sesi mengaji tersebut. Gementar rasa hati setiap kali menghadiri sesi mengaji kerana nenek itu seorang yang tegas dan garang. Rotan sentiasa ada ditangannya bagi mendisiplin kami yang masih keanak-anakan waktu itu.

Di sekolah agama juga saya belajar tentang tajwid, makhraj dan tafsir. Ya, waktu itu saya masih terlalu muda. Belajar kerana disuruh. Belajar kerana kawan-kawan lain juga melakukan perkara yang sama. Belajar kerana ingin mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Saya tidak pasti bagaimana dan mengapa saya tidak lagi mengaji dengan nenek itu. Seingat saya, saya tidak sempat mengkhatamkan Al-Quran dengannya. Mungkin kerana sibuk dengan persekolahan agaknya. Pagi ke sekolah agama, Petang ke sekolah menengah.


Buku-buku subjek Tajwid yang digunakan sejak 19 tahun yang lalu

Namun, apa yang bermain-main di fikiran saya ketika ini adalah dalam usia 28 tahun ketika ini, berapa kali Al-Quran, kitab Allah ini sudah saya khatamkan? Susah untuk saya menjawab persoalan ini. Saya sendiri tidak pasti dan tidak mengira. Apa yang pasti, saya tidak pernah khatam secara rasmi dengan berguru. Saya terasa malu sendiri kerana tidak mengambil berat tentang perkara ini walaupun bacaan saya agak lancar. Sedangkan kakak-kakak itu memberi perhatian tentang pencapaian anak-anak mereka yang masih kecil. Owh terasa sangat down.


Buku asas tahsin tilawah yang digunakan kini. Kandungannya lebih kurang sama dengan buku-buku subjek tajwid di atas.

Semoga tindakan saya menyertai kelas mengaji orang dewasa di Tahsin Tilawah Teras Jernang sejak 2 tahun yang lepas tetap istiqamah sehingga saya mampu mengkhatamkan Al-Quran bersama guru di sana. Alhamudillah pengajian Al-Quran kali ini lebih bermanfaat kerana dapat mempelajari dan mempraktikkan tajwid, makhraj dan sifat huruf dengan betul. Tidak seperti belajar ketika kecil -kecil dahulu.Walaupun sibuk dengan pekerjaan yang hampir setiap malam pulang lebih daripada pukul 10 malam, saya menharapkan semoga Allah mempermudahkan urusan saya dan kawan-kawan saya untuk mempelajari dan insyaAllah mengajar Al-Quran kelak.

Wallahua'alam.

P/s: Saya sangat menggalakkan bagi sesiapa yang ingin menyertai kelas mengaji dewasa walaupun sudah lancar bacaan kerana melalui kelas seperti ini, kita dapat memyempurnakan lagi tajwid, makhraj dan sifar huruf dalam bacaan kita.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, ina...pekaba? akak ada hal nak minta tolong ni, boleh tolong whatsap akak kat 0133988942? Maaf nombor awk dah terhilang, henpon problem aritu..TQ ina..

    ReplyDelete