Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai bagi insan yang bergelar ibu dan bapa. Namun, saban hari kita sering digemparkan dengan laporan kes pembuangan bayi yang begitu menyayat hati. Baru-baru ini pula statistik pendaftaran anak luar nikah didedahkan. Analisa yang diperincikan dengan bilangan anak luar nikah mengikut tahun dan kaum ini jelas menggambarkan betapa kroniknya krisis sosial yang berlaku di Negara kita.
Statistik Pendaftaran Anak Luar Nikah di Malaysia
Diadaptasi daripada: Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010
Bilangan anak luar nikah Melayu yang didaftarkan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim ini menunjukkan bilangan anak luar nikah dari kaum Melayu meningkat sebanyak 441 orang pada tahun 2008 dan meningkat lagi sebanyak 762 orang pada tahun 2009. Adakah nilai ini akan terus meningkat untuk tahun 2010 pula?
Diadaptasi daripada : Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010
Daripada statistik pendaftaran anak luar nikah yang dianalisa untuk tempoh lima tahun (2005 - 2009) ini pula, kaum Melayu/Islam menduduki tempat kedua sebanyak 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes). Kedudukan nombor dua dengan angka 5 digit untuk jangka masa 5 tahun ini sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya pegangan agama Islam dalam kalangan orang Melayu.
Angka yang dikira ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jumlah kes buang bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi. Bilangan kes ini meningkat saban tahun di mana sebanyak 65 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006.
Fakta yang diekstrak daripada arkib Utusan Online ini hanya memaparkan jumlah kes setakat tahun 2006 sahaja. Namun, hal ini tidak sepatutnya diambil mudah memandangkan kes pembuangan bayi masih tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini malahan semakin serius. Tahun ini sahaja kita sudah menyaksikan beberapa lagi kes pembuangan bayi yang tidak berperikemanusiaan dan semalam, 13 April 2010, seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.
Banyak faktor yang boleh disenaraikan dalam menyelidiki punca berlakunya kelahiran anak hasil persetubuhan tanpa nikah atau lebih tepat lagi disebut ZINA. Namun, perkara pokok yang perlu ditekankan ialah pegangan agama itu sendiri. Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta telah menggariskan panduan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Hanya Dia mengetahui kesan dan akibat daripada setiap tindak-tanduk manusia. Begitu juga dalam hal ini.
Allah S.W.T telah berfirman:
[Surah al-Israa' 17: 32]
Perbuatan ZINA merupakan perbuatan keji dan satu jalan yang jahat. Firman Allah dalam Surah al-Israa' : 32 melarang umat Islam untuk menghampiri ZINA apatah lagi melakukannya dan kita sebagai hamba yang beriman dengan kitab-Nya perlu sedaya-upaya mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan Allah.
Ketempangan akhlak yang semakin meruncing ini benar-benar menggerunkan. Introspeksilah diri kita adakah kita tergolong dalam golongan yang melakukan ZINA atau golongan yang menghampiri ZINA. Alhamdulillah jika kita tidak tergolong dalam mana-mana golongan ini. Sekiranya ya, bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita nyawa untuk kita bertaubat.
Muhasabahlah juga wahai diri...adakah kita mengambil berat tentang masalah yang melanda negara kita ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
“ Barangsiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam, maka ia bukanlah dari golongan mereka .”
Dan cuba tanyakan pada diri...berapa banyakkah usaha yang kita telah lakukan agar gejala ini tidak berlaku disekeliling kita.
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment