Saya tidak begitu pasti bagaimana ia bermula tetapi tahun ini adalah tahun ke-4 saya berpergian membawa emak berjalan-jalan sempena menyambut ulang tahun kelahiran saya atau lebih tepat lagi, menyambut hari ulang tahun emak melahirkan saya.
Saya membesar dalam keluarga yang tidak menyambut hari jadi. Tidak dalam ingatan saya. Barangkali kerana trait keturunan Jawa, kami jarang menonjolkan affection sesama ahli keluarga. Saya tidak pernah melihat sesiapa dalam ahli keluarga saya meluahkan perasaan dan sejak kecil saya hanya akan menangis menekap bantal atau semasa mandi.
Berbeza pula di luar rumah. Semasa kecil saya gemar 'melepak' di sebuah kedai cenderahati di Taman Istimewa, Pandan, JB untuk membeli hadiah setiap kali ada keraian dan belajar pelbagai gaya menarik untuk membungkus hadiah.
Saya juga kuat mengumpul biodata kenalan dan kawan-kawan saya yang menyimpan tarikh lahir mereka. Saya menulis tarikh lahir semua kenalan mengikut bulan dan tarikh sebagai nota rujukan dan tidak lupa mengucapkan selamat, setiap kali.
Menyediakan majlis surprise atau apa-apa keraian juga sudah menjadi 'kepakaran' saya. Walau bagaimanapun, saya mengaku yang saya masih lagi kekok setiap kali menyanyikan lagu hari jadi. Saya juga masih lagi tidak biasa diraikan terutama sekali jika menyambut hari jadi diri sendiri.
Seronok sebenarnya meraikan hari istimewa orang-orang di sekeliling saya tetapi untuk diri sendiri, saya selalu tercari-cari makna sebenar sebuah hari jadi. Ah, what a complex person I am. Bagi saya orang yang lebih utama diraikan pada hari jadi adalah si ibu. Pengorbanan dan kejayaan seorang ibu mengandung dan melahirkan seorang anak terlalu besar.
Dengan alahan sedari trimester pertama, menjaga dan mengusung kandungan selama lebih 9 bulan, menanggung sakit contraction menjelang saat-saat melahirkan dan akhirnya memeras sepenuh tenaga yang tersisa sehingga lahirlah seorang bayi yang belum mengerti apa-apa tentang dunia. Bukankah kejayaan itu lebih manis setelah kepayahan?
Hari jadi juga adalah hati pertama perkenalan antara dua insan, si ibu dan bayinya walaupun hanya si ibu yang dapat mengenang saat-saat indah pertemuan itu. Bagi pasangan bercinta, sudah pasti dengan teliti akan mengira tempoh perkenalan. Every second counts. Mengapa tidak dengan ibu?
Bagi si anak pula, ulang tahun kelahiran menjadi tanda aras peningkatan usia diri, meraikan kejayaan menempuh satu tahun lagi kehidupan. Saban tahun semakin berkuranglah tempoh hayat hidupnya. Mungkin sebab itu, walaupun sudah menempuh kehidupan lebih beberapa dekad, tetapi yang diraikan tetap sahaja Sweet 17.
"Semoga dipanjangkan umur dalam keberkatan", juga adalah doa popular yang diterima selain limpahan ucapan selamat yang lain. Dalam kita menerima perhatian luar biasa sepanjang satu hari berbanding 364 hari yang lain, apa kata kita beri satu bentuk penghargaan kepada orang yang berjasa melahirkan kita ke dunia.
Selamat Ulangtahun Melahirkan!
No comments:
Post a Comment