Saturday, May 08, 2010

Membaca : Bukan Hanya Sekadar Hobi

Membaca Sebagai Hobi

"Cuba teka apa hobi Ina?",  sengaja saya ajukan soalan ini kepada seorang sahabat untuk menguji 'tahap ukhuwwahnya'.

"Membaca!", jawabnya pantas.

"Bila awak pergi mana-mana, awak selalu bawa buku dan awak ada mini library sendiri kat bilik...", sambungnya lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar jawapannya. Betul tidak, salah pun tidak. Mungkin menurut pemerhatiannya sepanjang bersahabat dengan saya, itulah jawapan yang paling tepat mampu diberikan tetapi saya tidak pernah 'mengisytiharkan' membaca sebagai hobi saya. Melukis dan mewarna merupakan hobi saya sejak tadika hingga kini. It's sounds like a kid right? But that is the fact!. Bagaimana pula dengan membaca?


Saya mempunyai pandangan sendiri tentang membaca sebagai hobi. Saya tidak begitu bersetuju jika aktiviti membaca dilabel sebagai hobi. Definisi hobi menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang. Jika membaca dijadikan sebagai hobi, aktiviti tersebut seolah-olah dianggap sebagai aktiviti sampingan; an optional activity in our daily life. Membaca hanya apabila kita mempunyai masa lapang. Hakikatnya, membaca adalah suatu keperluan.


Korelasi Antara Membaca dengan Akal, Hati dan Anggota
  


  1. Bahan bacaan adalah 'makanan' kepada akal. Jika bahan bacaan baik, maka meningkat dan sihatlah fikiran kita. Jika bahan bacaan buruk dan kotor, maka fikiran kita akan kotor dan diracuni.
  2. Apabila akal kotor, hati akan turut menjadi kotor kerana akal adalah 'penasihat' kepada hati. Hati diumpamakan sebagai raja, akal pula sebagai bendaharanya. Bendahara memberi nasihat kepada raja untuk memerintah rakyat jelata. Kalau bendahara seorang yang jahat, tentu nasihatnya penuh kejahatan. Raja yang dipengaruhi kejahatan akan memerintah dengan jahat, maka deritalah seluruh rakyat.
  3. Hati pula akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan manusia. Al-Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini, sesuai dengan maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: 
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati."
(Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim).

Daripada penjelasan ini, dapat disimpulkan bahawa membaca begitu signifikan dalam membentuk peribadi manusia. Korelasinya begitu jelas. Membaca umpama memberi 'makanan' kepada akal dan memberi 'cahaya' kepada hati. Hati pula 'membentuk' manusia.

 "Siapa diri kamu pada masa akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca hari ini"

Bangsa berjaya adalah bangsa yang membaca kerana dengan membaca kita telah komited untuk belajar. Reading is a lifelong learning. Learning that is not confined to childhood or the classroom, but takes place throughout life and in a range of situations.


Bukan Hanya Sekadar Hobi

Saya tidak menentang sekiranya anda mahu menjadikan membaca sebagai hobi tetapi hakikat yang perlu kita terima: membaca memberikan impak besar dalam kehidupan manusia sehingga kita tidak seharusnya menjadikan aktiviti ini hanya sekadar hobi. Membaca tidak sepatutnya dijadikan aktiviti sampingan yang  hanya akan dilakukan apabila kita mempunyai masa lapang. Jadikanlah membaca sebagai salah satu aktivti utama dalam hidup kita.

"Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu." 
(Imam Syafi'i)

Membaca adalah anak kunci ilmu pengetahuan. Dan ilmu pula adalah penggerak kepada setiap amalan. Untuk mendapat ilmu, membaca itu wajib.

Sumber Utama :Solusi Isu No. 18

Fikir-fikirkanlah...

Wallahua'lam



3 comments:

  1. kak ina, nice sharing :)

    p/s: figure kat atas tu lawa

    ReplyDelete
  2. Kak Mas: Hehe~ lancarkan kempen membaca kat AZ...

    Yan: Sekadar berkongsi pendapat...gambar:sentuhan teknologi mampu juga menghasilkan sst yang cantik...

    ReplyDelete