Monday, December 13, 2010

Keutamaan Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Letih sungguh rasanya walaupun hanya berjaya menyiapkan beberapa design poster dan banner untuk Program Kem Remaja Unggul yang akan diadakan pada hujung bulan ini. Setelah sekian lama meninggalkan portfolio Promosi dan Penerbitan, kali ini saya ditugaskan untuk mempromosikan program tersebut dalam masa lebih kurang dua minggu. Seingat saya terakhir kali saya terlibat dalam bidang ini...semasa memegang jawatan Head Assistant Promotion and PublicationCareer Development Carnival anjuran Syntech Club pada tahun 2007. Terasa 'tepu' juga sebenarnya tetapi tugas ini sangat menarik walaupun mencabar. Software Photoshop yang digunakan benar-benar hebat! Semakin banyak dijelajahi dan didalami, semakin saya mengagumi kelebihan software ini. I've fallen in love with it~


Apabila berbicara soal fallen in love, teringat pula saya pada seorang kawan lama. Lelaki. Jangan salah faham pula, bukan bekas kekasih. Hanya seorang teman biasa. Selepas 10 tahun tidak bertemu, kami berjumpa kembali di Facebook. Bertanya khabar secara online sahaja dan salah satu soalan yang diajukannya ialah tentang teman lelaki, soalan yang tiada kepentingan untuk ditanyakan. Haha~ tidak sangka pula dia menganggap diri saya sebagai seorang gadis yang anti-lelaki hanya kerana tidak pernah keluar dengan mana-mana lelaki atau dengan kata lain tidak pernah ber'couple' sejak dilahirkan. Jawapan saya kepadanya mudah. Bercinta selepas kahwin. Saya tidak menidakkan bahawa pernah wujud perasaan suka pada seseorang. Namun, tidak tenang rasanya diri ini  selagi tidak mampu mencintai Maha Pencipta dengan sepenuh hati. Tidak tenteram rasanya jiwa ini selagi keutamaan cinta dalam diri saya masih kucar-kacir.

Cinta itu merupakan anugerah istimewa yang Allah kurniakan kepada hamba-hambanya. Sebagai seorang Muslim, kita perlu tahu tentang keutamaan cinta kita pada Allah, Rasul dan manusia di sekeliling kita. Apa yang pasti cinta Allah SWT adalah cinta teragung. Sesama manusia, bercintalah kerana Allah. Jangan pula disebabkan kehilangan cinta manusia menyebabkan kita mengabaikan cinta kepada Yang Maha Esa. Satu perkara penting yang perlu kita sedari...sesungguhnya mencintai seseorang tidak semestinya kita akan memilikinya! Sekadar perkongsian...hayatilah kisah-kisah dibawah...



Kisah 1

Lelaki ini adalah think tank di dalam Perang Khandaq.  Di Madinah, seorang muslimah telah mengambil hatinya…

Bukan sebagai kekasih..tetapi sebagai pilihan hati.  Pilihan menurut perasaan yang halus dan suci..pilihan untuk dinikahinya.

Tetapi Madinah adalah tempat yang asing baginya.  Madinah memiliki adat, bahasa, dan wajah-wajah yang belum begitu dikenalinya.  Pemuda itu berfikir, melamar seorang gadis tempatan tentu menjadi urusan yang pelik bagi seorang pendatang.
Mestilah perlu ada seorang yang akrab dengan tradisi di Madinah berbicara untuknya dalam khithbah…

Maka pemuda ini menyampaikan isi hatinya kepada sahabat Ansar yang dipersaudarakan kepadanya, Abu Dharda’.

“Subhanallah, walhamdulillah ..”, girang Abu Dharda’ mendengarnya.
Maka setelah dilakukan segala persiapan, beriringanlah kedua sahabat itu menuju ke sebuah rumah di penjuru kota Madinah.

Rumah seorang wanita yang solehah lagi bertaqwa.

“Saya adalah Abu Dharda’ dan ini adalah saudara saya, Salman seorang Parsi.  Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya.  Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah SAW, sehingga baginda menyebut beliau sebagai ahli baitnya.  Saya datang untuk mewakilisaudara saya ini melamar puteri anda untuk disunting”, fasih Abu Dharda’ menutur bicaranya.

“Adalah satu penghormatan bagi kami menerima anda berdua, sahabat Rasulullah yang mulia.  Dan adalah penghormatan bagi keluarga ini bermenantukan seorang sahabat Rasulullah yang utama.  Akan tetapi hak menerima ini sepenuhnya saya serahkan pada puteri kami”.  Tuan rumah memberi isyarat kea rah hijab yang di belakangnya sang puteri menanti dengan penuh debaran.

“Maafkan kami kerana terpaksa berterus terang”, kata suara lembut itu.  Ternyata sang ibu yang berbicara mewakili puterinya.  “Tetapi kerana anda berdua yang datang, maka dengan mengharap redha Allah saya menjawab bahawa puteri kami menolak pinangan Salman.  Namun jika Abu Dharda’ juga memiliki urusan yang sama, maka puteri kami telah menerima pinangan itu.”

Jelas sekali.  Sikap terus terang yang begitu mengejutkan, ironi dan indah! Sang puteri lebih tertarik kepada pengantar daripada pelamarnya!

Ya, memang mengejutkan dan ironi.  Apa yang indahnya?? Yang indahnya adalah reaksi Salman.  Bayagkan sebuah perasaan, di mana cinta dan persaudaraan bergejolak berebut tempat di dalam hati.

“Allahu Akbar!!” seru Salman.  “Semua mahar dan nafkah yang telah ku sediakan akan aku serahkan kepada Abu Dharda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian!”
Cinta memang tak harus memiliki…



Kisah 2

Lelaki ini adalah sebaik-baik raja.  Pemerintah selepas Khalifah Ali bin Abu Talib…

Hatinya bergetar dan ia tahu dia telah jatuh cinta.. Pada seorang muslimah solehah, iaitu rakyatnya sendiri

Tiada ada yang istimewa pada wanita itu dari segi kecantikannya. Namun itu lah yang membuatnya jatuh cinta.

Maka dengan kekuasaanya ia menikahi wanita itu…

Tapi dia tidak tahu yang dia tak pernah mampu menikahi hati wanita itu.

Wanita itu telah melatakan hatinya pada pemuda desanya….

Hingga di keheningan malam di 1/3 terakhir, terdengarlah olehnya bait-bait puisi dalam lantunan doa…. Tentang kerinduannya pada pemuda desa itu…

Dia sedar. Ini adalah deklarasi jiwa isterinya. “Aku Tak Mencintaimu”

Maka dengan berat hati. Dia menceraikan isterinya.

Lelaki ini adalah Muawiyyah bin Abu Sufyan. Duta pertama dari Rasulullah SAW yang datang dan melaporkan keadaan Kepulauan Nusantara kepada Nabi SAW

Cinta memang tak harus memiliki…



Kisah 3

Lelaki ini adalah ideologi Ikhwanul Muslimin. Orang nombor dua yang sangat berpengaruh setelah Hasan Al-Banna, pada harakah itu..

Ia adalah lelaki soleh. Dulu dia pernah jatuh cinta pada gadis desanya. Namun gadis desa itu menikah.. 3 tahun setelah lelaki ini pergi belajar ke luar negeri untuk belajar. Hal ini membuat ia sedih namun ia tidak mahu larut dalam kesedihannya.

Kisah cintanya mulai dari awal lagi. Ia kemudian jatuh hati pada wanita Cairo. Meskipun tidak terlalu cantik, ia tertarik pada gelombang unik yang keluar dari sorot mata wanita tersebut.
Tapi pengakuan bahawa gadis tersebut pernah menjalin cinta dengan lelaki lain, membuat runtuh cinta lelaki ini.

Ia hanya ingin wanita yang benar-benar perawan, baik fizikal mahupun hatinya. Akhirnya ia membatalkan niatnya menikahi gadis tersebut. Hal ini membuat lelaki itu sedih cukup lama….
Sampai kemudian ia putuskan untuk menerima kembali wanita tersebut. Namun apa yang terjadi? Ditolak. Inilah yang kemudian membuat lelaki itu menulis roman-roman kesedihannya.
Yang luar biasa adalah, lelaki ini sedar dirinya berada dalam alam realiti. Bukan dalam dunia ideal yang indah dan ideal.

Kalau cinta tidak mahu menerimanya, biarlah ia mencari sumber kekuatan lain yang lebih hebat dari cinta. “Allah”.

Kekuatan itulah yang kemudian membawanya ke penjara selama 15 tahun. Menulis karya agungya Tafsir “Fi Zilaalil Qur’an”

Dan syahid di tiang gantungan. Sendiri!!! Tidak ada air mata, tidak ada kecupan, tidak ada sentuhan wanita. Benar-benar sendirian!!

Lelaki ini adalah Sayyid Qutb.

Lelaki yang Allah Maha Tahu… Bahawa dirinya lebih dihajatkan langit… Daripada wanita bumi….

Cinta memang tak harus memiliki…



Kisah 4

Lelaki ini adalah Khalifah ke empat, setelah Usman bin Affan…

Dia memandang seorang budak perempuan. Di pelataran rumah seorang sahabatnya…

‘Aisyah binti Thalhah, nama gadis itu…

Maka teringatlah kembali kenangan tentang sahabatnya itu ….Thalhah..

Thalhah lah lelaki yang mengatakan pada perang Uhud..

“Khudz bidaamii hadzal yauum, hattaa tardhaa…”.“ Ya Allah, ambil darahku hari ini sekehendakMu hingga Engkau redha.” Tombak, pedang, dan panah yang menyerpih tubuh dibiarkannya, dipeluknya badan sang Nabi seolah tak rela seujung bulu pun terkena.

Tapi ia juga yang membuat Arasy Allah bergetar dengan perkataannya. Maka Allah menurunkan firmanNya kepada Sang Nabi dalam ayat 53 surat Al Ahzab.

Ini di sebabkan ketika Thalhah berbincang dengan ‘Aisyah, isteri sang Nabi, yang masih terhitung sepupunya.

Rasulullah datang, dan wajah beliau seperti tidak suka. Dengan isyarat, baginda SAW meminta ‘Aisyah masuk ke dalam bilik.

Wajah Thalhah merah. Ia undur diri bersama gumam dalam hati, “Beliau melarangku berbincang dengan ‘Aisyah. Tunggu saja, jika beliau telah diwafatkan Allah, takkan kubiarkan orang lain mendahuluiku melamar ‘Aisyah.”

Maka bergetarlah langit..

“Dan apabila kalian meminta suatu hajat kepada isteri Nabi itu, maka mintalah pada mereka dari balik hijab. Demikian itu lebih suci bagi hati kalian dan hati mereka. Kalian tiada boleh menyakiti Rasulullah dan tidak boleh menikahi isteri-isterinya sesudah wafatnya selama-lamanya.”
(QS Al Azhab 53)

Ketika ayat itu dibacakan padanya, Thalhah menangis. Dia lalu memerdekakan hambanya, menyumbangkan 10 untanya untuk jalan Allah, dan menunaikan haji dengan berjalan kaki sebagai taubat dari ucapannya.

Kelak, tetap dengan penuh cinta dinamainya putri kecil yang disayanginya dengan nama ‘Aisyah.
‘Aisyah binti Thalhah. Wanita jelita yang kelak menjadi permata zamannya dengan kecantikan, kecerdasan, dan kecemerlangannya. Persis seperti ‘Aisyah binti Abu Bakar yang pernah dicintai Thalhah.

Cinta memang tak harus memiliki…

Pada Salman..
Pada Mu’awiyyah
Pada Sayyid Qutb
Pada Thalhah

Kita belajar bahawa cinta itu harus diletakkan di tangan, bukan di hati kerana sebelum akad diucapkan, tidak ada hak pada dirimu akan wanita yang engkau cintai itu…..!!

Engkau hanya punya doa dan ikhtiar. Selanjutnya biarlah Allah yang menentukan akhir kisah kita…..

Tiada air mata untuk mengenang kegagalan cinta mereka..

Yang ada hanyalah air mata dalam doa-doa mereka. Semoga Allah memberikan gantinya yang lebih baik.. Lebih dari segala-galanya. .Dibanding wanita itu…..



P/s: Credit to Ammira Azmi yang melanjutkan cerita ini kepada saya. Akak sayang kamu juga fillah~

Sunday, November 21, 2010

Belajar Daripada Keldai Berserban

Assalamualaikum w.b.t.

Jom angguk-angguk dan geleng-geleng sebentar~ hayati dua kisah di bawah:

Keldai yang Memakai Serban

Seorang ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin istirahat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya.

Gambar sekadar hiasan

Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu segera menyambutnya.

"Assalamualaikum orang alim," sapa seorang lelaki.

"Selamat datang tuan," sapa seorang yang lain.

Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut.

"Tolong ajarkan kami..." pinta mereka.

"Jadilah guru kepada kami semua."

"Syukur tuan datang. Jika tidak jahillah kami."

Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, "Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?"

Orang-orang kampung pun menjawab, hampir serentak, "Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami."

Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya.

"Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar! Sila kamu semua belajar daripadanya."

Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat "pelajaran pertama" daripada ahli hikmah itu dengan cara yang bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.

Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.

Pengajaran
Ramai antara kita masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau meterial, adalah tidak tepat. Pakaian hanyalah umpama "topeng" yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber: Angguk Geleng, Majalah Solusi Isu No. 4

Gadis Bertudung Labuh Bulat


Kisah keldai tadi mengingatkan saya akan pemakaian tudung labuh bulat dan expectation orang disekeliling terhadapnya.

Memakai tudung labuh bulat sudah menjadi kebiasaan saya sewaktu bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor dahulu. Namun, pemakaiannya saya hadkan hanya untuk sesi pembelajaran di sekolah agama sahaja. Walaupun tidak diwajibkan, namun entah mengapa saya merasakan, pelajar sekolah agama sepatutnya memakai tudung sedemikian lebih-lebih lagi diri saya sebagai seorang pengawas. Namun, lain pula di sekolah menengah. Saya akan mengenakan tudung tiga segi (lerang 40), kemeja dan skirt labuh sebagai pakaian rasmi pengawas di situ. Terasa seperti gipang (gila pangkat) pula menjadi pengawas di kedua-dua sekolah.

Apabila dibandingkan kedua-dua fesyen yang diselang-selikan dalam satu tempoh pembelajaran yang sama, saya menjadi malu dan segan sendiri. Malu pernah mengotorkan kesucian tudung labuh kerana keratan kain itu hanya menjadi 'topeng' seorang pengawas sekolah agama. Tidak langsung terkesan di hati akan hakikat aurat yang sebenar. Jauh benar perbezaanya memakai tudung labuh bulat dengan tudung tiga segi yang hanya berlerang 40! Tamat darjah khas, peringkat tertinggi di Sekolah Agama Johor, tamatlah tempoh pemakaian tudung labuh bulat. Setelah itu, tudung labuh sekolah berwarna putih dan hijau itu hanya menjadi perhiasan almari di rumah. Masih memakai tudung namun hanya tudung-tudung berlerang kecil menjadi pilihan.

Alhamdulillah. Allah Taala mengurniakan saya peluang untuk menghayati erti sebenar penutupan aurat beberapa tahun selepas itu. Syukur atas kurniaan teman-teman yang solehah dan biah yang baik di bumi Tronoh. Saya mula mengenakan pakaian yang lebih sempurna. Hari demi hari, ada kemajuan dalam diri ini terutama dari segi pemilihan saiz tudung. Dari tudung berlerang 40 ke tudung berlerang 50. Dari lerang 55 ke lerang 60. Dan terdetik pula selepas itu untuk memakai kembali tudung labuh bulat. Tudung sekolah agama berwarna hijau tidak lagi dijadikan perhiasan di dalam almari tetapi kembali digunakan seperti sebelumnya. Yang berwarna putih pastinya sudah lusuh ditelan usia.


Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk membawa watak seorang gadis bertudung labuh bulat! Pernah juga ditanyakan perkara ini pada kakak-kakak usrah yang juga menyimpan keinginan untuk memakainya. Namun, masing-masing masih belum bersedia lantaran takut tidak mampu untuk istiqamah untuk membawa watak berilmu dan warak dalam masyarakat. Terdapat juga sesetengah golongan yang menganggap fesyen tudung seperti itu agak kolot dan ketinggalan zaman. Pernah saya tanyakan pada seorang sahabat yang menggalakkan pemakaian tudung labuh bulat semasa kami sama-sama menuntut di sebuah sekolah pondok untuk dua minggu. Menurutnya, menutup aurat dengan sempurna merupakan salah satu tanda penghormatan kepada tempat atau program ilmu seperti itu. Percubaan pertama sememangnya sukar. Namun, alah bisa tegal biasa. Setelah berulang-kali memakainya, akan terbiasa juga. 

Gambar sekadar hiasan

Hati ini pada mulanya ragu-ragu untuk mengenakan tudung labuh bulat sebagai pakaian harian. Namun, saya mengambil pendekatan 'pakaian sebagai pendorong untuk menjaga akhlak'. Pemakaian tudung labuh bulat itu menjadi pendorong untuk menjadi insan yang solehah walaupun diri ini sebenarnya bukanlah begitu. Untuk beberapa ketika saya mampu istiqamah dan ternyata benar membawa watak bertudung labuh bulat bukannya mudah. Lebih-lebih lagi apabila perlu menerima expectation sebagai orang yang berilmu dan warak dalam keadaan diri ini masih lemah dalam penguasaan ilmu agama. Saya masih belum kuat dan layak untuk meneruskannya.

Secara peribadi, saya sangat bersetuju dengan pengajaran kisah ahli hikmah dan keldai bahawa tidak salah memakai topeng yang baik tetapi perlu dipastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai. Saya sangat mengagumi mereka yang mampu untuk istiqamah memakai tudung labuh bulat kerana ia menggambarkan ketinggian ilmu agama dan peribadi serta kekuatan seseorang. Walau bagaimanapun, jangan pula kita memandang rendah pada mereka yang bertudung biasa kerana tafsiran lahiriah belum tentu dapat menilai diri seseorang dengan tepat. Boleh jadi mereka yang hebat dari apa yang kita sangkakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Wallahua'lam.

Mungkin anda ada pendapat berbeza yang mahu dikongsikan disini? Let's discuss~

Carilah Hatimu

Hati ini terasa kosong dan membatu. Kekotoran dan kekusaman hati ini seolah-olah tidak mampu disembunyikan lagi. Ya, mungkin kerana sudah lama tidak mendapat makanan berkhasiat. Tahap kesihatannya juga sudah jarang diperiksa lantaran kesibukan yang berpanjangan.

Bertafakur seketika. Merenung jauh ke lubuk hati yang kian berdebu. Sentuhan amal ibadah yang selalu membersihkan hati ini sudah berkurangan tampaknya. Palit-palit dosa pula semakin mengotorinya. Kata-kata hikmah yang pernah diterima suatu ketika dahulu kembali berngiang-ngiang di telinga.

"Akhirat dijunjung, dunia dipegang. Jika goyah akhirat itu, letakkanlah seketika dunia dan perbetulkanlah kedudukan akhiratmu."



"Carilah hatimu pada tiga tempat.
Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati.
Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kpd Allah,
pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Imam al-Ghazali

Muhasabah diri!

Saturday, October 23, 2010

Long Live Yourself!

Umur dan Analogi


Keberkatan Umur


Usia umpama harta. Bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpah kebaktian.


Pembaziran Umur
Apabila bil air bulanan tiba-tiba melambung tinggi tidak seperti biasanya, pasti kita akan merasa begitu berat  untuk melangsaikan pembayaran bil tersebut. Harga barang semakin hari semakin naik. Kali ini, bil air pula meningkat. Pastinya kita akan tertanya-tanya, "Siapalah yang membazir air nih?" atau "Ada kebocoran di mana-manakah?" Seluruh isi rumah pasti akan diingatkan supaya berjimat cermat menggunakan air agar bil berikutnya tidak lagi menjengkelkan seperti ini. Begitu juga halnya dengan penggunaan elektrik. Jenuh juga jika perlu mengingatkan setiap ahli keluarga untuk memastikan suis lampu, kipas, televisyen  dan peralatan elektrik lain ditutup jika tidak digunakan. Namun itulah yang perlu dilakukan supaya wang ringgit kita tidak melayang akibat pembaziran.

Namun, pembaziran masa jarang-jarang sekali dititik-beratkan sepertimana pembaziran air dan elektrik tadi. Ya, mungkin disebabkan tiada bil khusus untuk merekod sebanyak mana masa yang telah digunakan, maka tiada satu tanda aras yang mampu menunjukkan sama ada kita berjaya menggunakan masa sebaik-baiknya atau sebenarnya kita telah banyak membazir masa sepanjang hidup kita. Pembaziran masa mungkin tidak perlu dibayar dengan wang ringgit. Namun pada hakikatnya, masa jauh lebih berharga daripada emas permata. Pembaziran masa menyebabkan kita kehilangan sesuatu yang apabila hilang tidak akan pernah berganti dan apabila patah, tidak akan pernah tumbuh kembali iaitu UMUR! 


Aliran Umur
Aliran umur diumpamakan oleh hukama seperti memijak air di sungai. Kaki kita tidak boleh memijak air yang sama pada air sungai yang mengalir. Sekali dipijak, air yang kita pijak itu akan terus mengalir ke hilir tanpa dapat dipijak lagi buat kali keduanya. Begitu jugalah usia yang berlalu. Kita tidak akan pernah dapat mengembalikan masa lalu. Jika masa lalu itu kita manfaatkannya dengan baik, kita pasti merelakan pemergiannya. Namun jika sebaliknya, susah tentu kita mengharapkan masa itu kembali semula ke sisi kita dengan harapan kita dapat memperoleh maanfaat daripadanya. Walau bagaimanapun, masa tidak akan pernah menunggu kita. Kitalah yang perlu berusaha bergerak bersama-sama dengan masa yang pastinya tidak akan lelah dari terus berlari sehingga tiba ketentuan Allah.


Panjang Pendek Umur


Manusia yang dilahirkan ke dunia boleh diibaratkan seperti manusia yang menaik bas atau tren. Tidak semestinya individu yang naik terlebih dahulu ke dalam bas atau tren akan turun dahulu. Tidak semestinya individu yang naik kemudian akan turun lebih lambat. Ada masanya individu yang naik kemudian akan turun terlebih dahulu dan sebaliknya. Begitulah panjang pendeknya umur kita di dunia. Tidak semestinya individu yang dilahirkan ke dunia terlebih dahulu akan meninggal dunia dahulu. Tidak semestinya individu yang lahir kemudian, ajalnya akan tiba kemudian. Namun, bezanya dengan menaiki bas atau tren tadi, kita mengetahui tempat dan masa untuk berhenti dan turun tetapi kita tidak akan tahu masa dan tempat kita perlu pulang ke rahmatullah. Ajal seorang hamba Allah telah ditetapkan sejak manusia dia alam rahim lagi. Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui bila akan tibanya ajal kita. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa bersedia bila-bila masa untuk bertemu Illahi.



Umur Dunia di Akhirat

Rasulullah s.a.w bersabda "Umur-umur umatku berkisar antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu." (Riwayat Tirmizi). 

Boleh disimpulkan di sini bahawa jangka hayat umat Nabi Muhamad adalah lebih kurang 63 tahun sahaja. Mereka yang ajalnya sampai lewat daripada jangka hayat ini dikira beruntung kerana dikurniakan lebih masa untuk mengumpul pahala. Namun, ada juga yang ditamatkan hayatnya lebih awal. Jika dibandingkan dengan peredaran masa dunia dengan akhirat iaitu 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di dunia, dengan berbekalkan usia 63 tahun kita hanya hidup selama 1 1/2 jam sahaja di akhirat. Sangat singkat!

Bagi saya sendiri, 1 1/2 jam hanyalah tempoh optimum yang saya peruntukan untuk memeriksa dan membalas 4 akaun emel, membaca akhbar-akhbar online (harakahdaily, malaysiakini, berita harian) dan membaca update di facebook atau blog setiap hari. Aktiviti-aktiviti ini hanyalah sekadar warming up sebelum memulakan aktiviti utama yang lain. Tetapi kita hanya mempunyai 1 1/2 jam ini sahaja untuk mengumpulkan bekalan menuju ke alam yang kekal abadi. 1 1/2 jam ini sahaja yang kita ada untuk menentukan sama ada kita berbahagia atau merana di akhirat kelak.



Peperiksaan


"Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Mulk: 2)

Allah menjelaskan dalam ayat 2 surah al-Mulk bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menghadapi ujian. Hidup di dunia ini boleh diumpamakan seperti menduduki peperiksaan di sekolah atau institusi pengajian lain. Umur sesingkat 1 1/2 jam itu pula adalah tempoh yang diberikan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Individu yang menduduki peperiksaan itu pastinya akan menggunakan masa yang diberikan dengan begitu cermat sebaik sahaja dibenarkan membuka kertas peperiksaan. Satu demi satu soalan dibaca dengan teliti supaya dapat dijawab dengan tepat. Masa seolah-seolah menjadi musuh ketatnya pada waktu itu, berlumba siapakah yang lebih laju.

Jika kita mempunyai mindset bahawa dalam hidup ini kita akan diuji dan tempoh masanya hanyalah sesingkat 1 1/2 jam, maka seharusnya kita mengambil ikhtibar daripada senario menjawab peperiksaan tadi. Seharusnya usia yang dikurniakan kepada kita perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita juga perlu sedar bahawa umur kita akan sentiasa akan bertambah dan pastikan umur kita tidak disia-siakan begitu sahaja.

Modal Perniagaan


"Wahai orang yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah as-Saff : 10-11)

Oleh kerana usia yang dikurniakan kepada kita hanyalah 1 1/2 jam sahaja, maka kita perlu memastikan tempoh sesingkat ini dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya kita tergolong sebagai ahli syurga di akhirat nanti. Dalam ayat ke-10 dan 11 surah as-Saff yang dinyatakan di atas, Allah memberikan tawaran perniagaan yang hebat! Keuntungan daripada perniagaan ini adalah keselamatan daripada azab neraka yang pedih; aktiviti perniagaannya ialah keimanan kepada Allah dan rasul serta berjihad dengan harta dan jiwa kita di jalan Allah; dan modalnya ialah UMUR kita!

Kaedah Memanjangkan Umur

Sila klik gambar untuk baca~

Jadilah Mukmin yang Bijak

Rasulullah s.a.w menerusi sabda baginda yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar "Aku bersama dengan Rasulullah. Kemudian datang kepada baginda seorang lelaki daripada kalangan Ansar dan memberi salam ke atas Nabi s.a.w kemudian berkata, 'Wahai Rasulullah, siapakah Mukmin yang terbaik?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling baik akhlaknya.' Dia bertanya lagi, 'Maka siapakah Mukmin yang paling bijak?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling bijak.'" (Riwayat al-Baihaqi no. 10550)

Setiap hari adalah penghidupan yang baru bagi orang bijak. Belajarlah melupakan kelmarin. Jangan khuatir tentang hari esok dengan berfikir serta bekerja untuk hari ini. Katakan pada diri, seolah-olah tidak ada esok bagi kita maka tidak ada kata tangguh. Kenapa manusia suka bertangguh? Kerana dirasakannya esok masih ada, lalu apa katanya? Tunggulah nanti! Padahal memanjangkan umur bukan dengan bertangguh tetapi dengan  memanfaatkan sepenuhnya masa yang sedang berada dalam genggaman. Hari ini ialah masa yang hendak dipanjangkan. Bukan hari esok!

Adaptasi daripada: Pahrol Mohamad Juoi, artikel "Orang Bijak Panjang Umur" dan "Ya Allah Panjangkan Usiaku", kolum ISU, Majalah Solusi 24, 2010.

Tuesday, October 12, 2010

Berhijrah Menghindar Fitnah

Assalamualaikum wbt...

Sekadar mengambil sedikit masa untuk mengemaskini blog yang agak lama saya tinggalkan lantaran kerja-kerja Graduate Assistant dan Master yang agak banyak sejak kebelakangan ini.

Kali ini seseorang mahu berkongsi sesuatu...

Untuk tatapan pembaca sekalian, saya titipkan sekeping karya usang yang diberi 'nafas' baru. Komik berjudul Hijrah ini merupakan komik pertama saya di kampus UTP sempena menyertai pertandingan melukis komik Maal Hijrah anjuran Rakan Masjid pada tahun 2005 yang lalu. Walaupun karya ini disiapkan pada saat-saat akhir sebelum dihantar kepada pihak penganjur, tetapi alhamdulillah...komik ini mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut.  

Semoga bermanfaat untuk semua...



Huraian hadith:

Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.


Diadaptasi daripada:
1. Aurat: Apa Sudah Jadi?, www.zaharuddin.net
2. Fitnah Terbesar, Himpunan Hadith Harian JAKIM

Monday, September 06, 2010

Eid Mubarak 1431

Salam...



Dear all,

Eid Mubarak 1431

Mohon maaf atas segala salah dan silap

Taqabalallahu Minnaa Wa Minkum

Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua sepanjang Ramadhan

Minal Aidin wal Faizin

Take Care ye!


(dedicate this raya song to all)



Salam Kemaafan



Yang jauh dirindu
Berkirim salam berpesan selalu
Tersemat di hati
Pahit manis hidup yang dilalui

Saling bermaafan
Bersama eratkan silaturrahim
Bersyukur kita atas rahmat-Nya
Di hari mulia

Salam kemaafan
Diiringi salam kerinduan
Bagaikan cahaya
Menerangi alam kegelapan

Lama sudah tidak berpandangan
Terasa rindu kian mencengkam
Biarlah di hari mulia ini
Bertemu kembali

Di pagi Syawal penuh mulia
Ku dengar suara takbir bergema
Memuji Allah yang Maha Esa
Hingga berlinangan airmata

Salam dihulur maaf dipinta
Moga terlerai segala dosa
Biarlah tersambung semula
Ikatan kita

Ku bersyukur di atas rahmat-Nya
Ku bersyukur di atas nikmat-Nya
Agar menjadi keberkatan
Di Syawal mulia

Monday, August 30, 2010

Be Yourself But A Better One~

Assalamualaikum w.b.t

Evolusi Diri

 " Hye~ "
" How'z life "
" Hope fine "
" Fren 4 eva "
" B . S . U . R . S . I . C . U . B . 4 "
" All the best! "
" C . U Soon "
" Bye "

Sewaktu zaman sekolah rendah dahulu, saya dan teman-teman sekelas sering memberi dan menerima ucapan seperti kata-kata di atas. Just a simple, touching English wishes. Ucapan seperti ini selalunya dititipkan bersama hiasan-hiasan comel sebagai tanda cinta kasih kepada seorang teman. Saya masih menyimpan warkah penuh dengan ucapan seperti ini hingga kini. Kadang-kala saya tersenyum sendirian mengenangkan kenangan pahit manis bersama mereka tika itu.

Gambar kenangan Darjah 5 Anugerah. Saya berada di barisan belakang sekali, 5 dari kanan.

Dahulu, saya pernah digelar kera sumbang kerana tidak pandai bersosial. Saya pernah juga dianggap memilih-milih kawan kerana selalu berkawan dengan orang-orang pandai sahaja. Bukan niat saya untuk bersikap kera sumbang atau memilih-milih kawan. Saya seorang yang sangat (sangat) pemalu pada waktu itu sehingga tidak pandai bergaul.Guru kelas pula gemar membahagikan kumpulan meja mengikut pencapaian akademik. Maka saya lebih rapat dengan teman-teman sekumpulan.

Sikap sangat (sangat) pemalu itu sedikit sebanyak dapat diatasi sejak menyertai badan beruniform Pengakap JB128 sewaktu di sekolah menengah rendah. Hmm...tetapi terlebih sosial pula waktu itu kerana badan beruniform ini sudah pasti lebih ramai lelaki berbanding perempuan. Dalam pada masa yang sama, saya juga mempunyai 'geng' sendiri. Salah seorang daripada mereka pernah mengatakan bahawa dia tidak suka dengan sikap saya yang terlalu naif. Terpengaruh dengan kritikan ini menyebabkan saya mengubah diri ke arah yang diharapkannya.

Namun, betapa sayangnya Allah pada diri ini, Allah telah mengurniakan saya roomates muslimah sewaktu menyambung pengajian di MRSM. Saya mula mengenali handsock melalui mereka. Saya mula terdetik untuk memakai kembali tudung labuh dan stokin ketika itu. Sebelum ini tudung labuh dan stokin hanya dipakai semasa bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor sahaja. Melalui mereka juga saya mengetahui apa itu Qiamulail walaupun saya hanya menjadi peneman setia untuk mengambil wuduk setiap kali teman saya mahu mengerjakan Qiamulail.

Tidak pernah berqiamulail menjadi pendorong untuk saya menyertai Lajnah Tarbiyah Rakan Masjid di kampus. Lajnah yang diketuai oleh Akhi Amir Fadhli ketika itu dipilih kerana saya bertekad untuk memperbaiki diri. Memang benar lajnah ini mampu mentarbiyah ahli-ahlinya. Namun, satu tugas berat yang perlu juga digalas sebagai ahli ialah mentarbiyah warga kampus. Hari demi hari, minggu demi minggu, tahun berganti tahun...dengan Rakan Masjid saya bermula, hidup saya sebagai mahasiswa sarjana muda juga berakhir dengan Rakan Masjid.

Kini, kira-kira hampir 6 tahun saya bermastautin di bumi Tronoh. Bumi ini terlalu istimewa untuk ditinggalkan. Terlalu banyak kisah suka duka, naik turun hidup saya berlaku di sini. Bumi Toronto Malaysia ini juga telah menyaksikan 'evolusi' diri saya sejak tahun 2005. Hebat sungguh hikmah yang tersirat disebalik Allah mentakdirkan saya untuk terus berada di sini dan bukannya UIA - pernah menolak tawaran belajar di sana. Begitu halus dan telitinya perancangan yang disusun oleh Yang Maha Esa menyediakan diri saya yang sekarang. Maaf kepada teman-teman lama, saya tidak mampu untuk be as i am as you see me before~

Berubah : Sifat Orang Berjaya

Apabila kita berada dalam kedaan comfort zone, merasai kehidupan yang tenang tanpa sebarang masalah yang menyesakkan minda, kadang-kala menyebabkan kita hanya berada di takuk yang sama. Seruan 'ayuh berubah' tidak terkesan. Hanya meraka yang bermasalah, yang merasa tiada jalan lain untuk memperbaiki kehidupan akan menyahut seruan tersebut. Namun, perlukah semua orang berubah? Perlukah berubah? Untuk menjawab persoalan ini, sekurang-kurangnya ada dua sebab yang memerlukan kita berbuat demikian. Yang pertama ialah sunnatullah dan yang kedua ialah syariatullah [1].

Sunnatullah atau hukum alam (law of nature) menetapkan bahawa semua makhluk berubah. Yang tidak berubah hanya Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk yang lemah tidak dapat mengelak daripada perubahan [1]. Namun perubahan apa yang kita perlu lakukan? Ada dua bentuk perubahan, ke arah yang lebih baik atau ke arah yang lebih buruk.

Cerdik pandai pernah mengungkapkan," Orang yang beruntung adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang  yang rugi adalah orang yang hari ini sama seperti semalam. Dan orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam" [1]. Kita sendirilah yang perlu memilih arah perubahan diri kita sama ada mahu menjadi orang yang beruntung, rugi ataupun celaka. 

Dari sudut syariatullah pula, Allah dan Rasul-Nya menuntut kita berubah malah kita diwajibkan berubah daripada jahat kepada baik. Selepas pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Tiada hijrah selepas pembukaan Kota Makkah tetapi (yang masih berterusan) ialah jihad dan niat." (Riwayat Muslim no 4938) [1].


Tiada insan yang sempurna di muka bumi ini. Jika kita merasakan kita sudah menjadi yang terbaik, akan sentiasa wujud room of improvement dalam diri kita. Dan perubahan tidak harus terhenti dengan 'tahu' dan 'mahu' berubah sahaja. Kita perlu berusaha sehingga berjaya dalam 'perjuangan' merubah diri. Orang yang berjaya ialah yang berubah dengan pilihan (by choice) iaitu memilih dan mengawal arah perubahan. Mereka tidak berubah kerana paksaan (by chance) iaitu terpaksa berubah. BERUBAH adalah sifat orang BERJAYA! [1].




Menjadi Diri Sendiri atau Orang Lain





"Kenapa saya perlu berubah menjadi orang lain?! Biarlah saya jadi diri saya sendiri!"

Mungkin anda juga pernah mendengar dialog seperti di atas sebelum ini. Ya, perkataan 'jadi diri sendiri' atau 'be your self' selalu bermain-main di benak mereka yang sedang di persimpangan antara ingin mengubah diri atau tidak. Hehe~ saya sendiri juga pernah menyatakan persoalan yang sama apabila ada yang menegur tentang sikap, perwatakan atau tingkah laku saya. Selalunya, saya akan lebih berang apabila diri ini dibanding-bandingkan dengan orang lain. Lantas menjawab dalam hati, "Dia lain, aku lain...kenapa mesti compare diriku dengan orang itu..."

Benarkah dengan kita mengubah diri akan menghilangkan identiti diri kita?
Adakah dengan kita mengubah sikap, perwatakan atau tingkah laku menjadikan kita insan lain?


Benar Allah mengurniakan kemampuan yang berbeza-beza untuk setiap hamba-Nya. Namun, tidak salah sekiranya kita mengambil contoh, teladan dan ikhtibar daripada orang lain yang hakikatnya lebih baik daripada kita. Jika kita merasakan diri kita mulia, merasakan diri kita hebat, keegoan akan menghalang kita daripada melihat hikmah di sebalik perbandingan itu.





Mengambil contoh daripada orang lain untuk berubah, bukanlah bermaksud kita menjadi orang lain. Sifat-sifat  seorang manusia boleh dimiliki oleh sesiapapun. Tiada copyrighted dalam pemilikan sifat-sifat seorang manusia. Cuma, sebagai hamba Allah yang beragama Islam, kita perlu memiliki sifat-sifat seorang Muslim supaya Islam itu sendiri tidak diftinah. Sebarang sifat mazmumah perlu dihindari dan sifat-sifat mahmudah perlu dimiliki.


Sekiranya kita memiliki sifat-sifat buruk, buanglah sifat itu jauh-jauh dan gantikanlah dengan yang baik. Sekiranya sifat yang ada pada kita sudah cukup baik, perbaikilah diri supaya kita menjadi lebih baik. Yang berubah itu sebenarnya sifat kita bukanlah 'diri' kita. Andai kata seseorang berubah 360 darjah, sekiranya orang itu dilahirkan dengan berdarah Jawa, sampai ke hujung nyawa sekalipun orang itu tetap berdarah Jawa (hehe~ terasa di situ).

Jadilah Diri Sendiri yang Lebih Baik!

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : "Orang Muslim sebenar ialah ialah orang yang menyelamatkan orang Islam lain daripada kejahatan lidah dan tangannya. Dan muhajir (orang yang berhijrah sebenar) ialah mereka yang berhijrah daripada apa yang dilarang Allah (kepada perkara yang baik)."

Riwayat Al-Bukhari No. 10 [1]


Perubahan tidak akan mengorbankan identiti asal diri kita. Jadilah diri sendiri tetapi diri sendiri yang lebih baik. Be yourself but a better one! Mulakannya di bulan Ramadhan mulia ini.


Rujukan :
[1] Majalah Solusi Isu No. 15