Friday, August 07, 2009

Detik Menerima Wasiat Bapak

Salam'alaik...

Agak kerap saya mengemaskini al-farashah.blogspot.com dalam kelapangan cuti seminggu gara-gara H1N1. Namun bergantung kepada isu juga. Saya terpanggil-panggil untuk menulis
post tentang WASIAT kerana saya baru sahaja menerima wasiat daripada bapak. Panggilan 'bapak' sudah sebati dalam keluarga saya. Mungkin disebabkan budaya yang diwarisi sejak zaman 70 dan 80-an. Kebiasaannya kita akan dengar ayah dipanggil dengan panggilan 'bapak' dalam cerita-cerita klasik seperti cerita Anak Bapak, Anakku Sazali dan sebagainya. Sememangnya kami sekeluarga meminati cerita-cerita klasik dan akan menontonya walaupun sudah lebih daripada 10 kali!

Bapak menunaikan solat fardu Isyak semasa saya membaca kalam suci Allah di ruangan solat. Sejak bapak menghidapi penyakit angin ahmar beberapa bulan yang lalu, ingatan dan fokusnya dalam menunaikan solat juga sedikit terganggu. Selepas bapak menghabiskan bacaan doa, saya memulakan bicara, ingin menegur sedikit kesalahan bapak sewaktu menunaikan solat. Pada mulanya saya agak bimbang akan penerimaan bapak jika anaknya menegur perbuatannya. Namun respon yang diberikan adalah sebaliknya. Ucapan terima kasih merupakan perkataan pertama yang keluar daripada mulut bapak. Lega rasanya.

Perbincangan kami tidak berakhir disitu sahaja. Bapak mula berkongsi perkara yang bermain-main difikirannya. Bermula dengan keperitan menanggung pelbagai penyakit hinggalah cerita sewaktu bapak muda dahulu. Saya dapat merasakan terlalu banyak perkara yang bermain-main di minda bapak dalam usianya yang hampir mencecah 70 tahun. Dari kata-katanya, bapak nampak agak menyesal kerana kurang beramal semasa muda namun pada pandangan saya, bapak seorang yang sangat menjaga ibadahnya. Bapak juga bercerita tentang isteri pertamanya dahulu yang mana telah meninggal dunia sewaktu mereka menetap di Singapura.

"Ina...kalau bapak tak panjang umur...Ina tolong bapak tunaikan hajat bapak ye. Bukan nk membebankan Ina tapi kalau Ina dah senang nanti...harap dapat buatkan untuk bapak..." sayu rasanya mendengar kalimah-kalimah ini keluar dari bibirnya. Bapak mula menyenaraikan wasiatnya satu persatu secara lisan.

1. Dulu bapak ada guna duit anak tiri bapak...Tina namanya dalam *** dolar. Bapak ada duit CPF masa bapak kerja di Singapura dulu. Tanyakan pada Tina sama ada duit tu dikira hutang atau dikira bagi. Kalau die kira hutang dan bapak tak panjang umur, Ina tolong keluarkan duit bapak tu dan bagi pada Tina ye...

2. Dulu masa bapak muda-muda dalam umur 2o tahun...bapak ada hutang dengan satu kedai runcit cina dalam RM**tapi lupa nak bayar. Kedai tu kat Sedenak tapi mungkin dah tade dah sekarang. Ina tolong tanyakan kat mana-mana ustaz macam mana nak selesaikan hutang bapak tu.

3. Bapak ade duit dalam Tabung haji...nnti kalau bapak tak panjang umur...tolong kirimkan haji utk bapak ye.


Kepada yang merasakan saya berhutang dengannya...sudi-sudilah tuntut ye...

Sayu rasanya bila bapak kerap mengulang ayat, "Kalau bapak tak panjang umur..."Saya berkongsi cerita ini sekadar peringatan untuk diri saya dan sahabat-sahabat tentang pentingnya kita menjelaskan hutang. Teringat saya akan kata-kata seorang sahabat, "Orang yang kaya bukan dinilai dengan banyaknya duit tetapi orang yang kaya ialah orang yang tidak berhutang." Saya sendiri tidak pasti sama ada saya masih mempunyai hutang yang belum dibayar sewaktu kecil-kecil dahulu. Risau sekiranya hutang-hutang tersebut dituntut di akhirat kelak. Satu lagi perkara penting yang mungkin kita terlepas pandang ialah wasiat. Ajal dan maut di tangan Allah SWT dan bila-bila masa nyawa kita akan diambil. Mungkin dengan post ini boleh membuka minda kita tentang kepentingan menulis wasiat.

_______________________________________________________________________________________________________________________________


PENGERTIAN WASIAT

Wasiat ialah suatu hasrat atau keinginan yang dizahirkan secara lisan atau bertulis oleh seseorang mengenai hartanya untuk diuruskan selepas berlaku kematiannya.Tetapi wasiat yang dibuat secara lisan adalah terdedah kepada fitnah akibat arahan yang tidak jelas dan boleh dipertikaikan di kalangan ahli waris.

DALIL PELAKSANAAN WASIAT

Dalam Al-Quran, ALLAH berfirman:

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat oleh simati dan sesudah dibayarkan hutangnya.

-Surah Al-Baqarah: 180
Dalam Sunnah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat disisinya.
-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Hadis ini menyebut kalimah 'tidak sepatutnya' menunjukkan bahawa langkah persediaan perlu diambil oleh setiap Muslim dengan menulis wasiatnya kerana dia tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba. Kemungkinan kelalaiannya akan mengakibatkan segala hajatnya tergendala dan tidak terlaksana.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat. Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.

-Hadis riwayat Ibnu Majah

Gambar sekadar hiasan


FAEDAH PENULISAN WASIAT
  • Mengurangkan pertikaian waris

  • Wasi ditentukan dan dilantik

  • Pembahagian ditentukan sendiri

  • Harta terpelihara = tidak terjual/tergadai

  • Menjamin kesaksamaan dan memelihara hak antara waris

  • Cepatkan pentadbiran pusaka

TIGA SEBAB MENGAPA PERLU MEMILIKI DOKUMEN WASIAT

1. Mempercepatkan proses penyelesaian pusaka

Apabila berlaku kematian, sebahagian besar harta-harta simati akan dibekukan. Dengan memiliki dokumen wasiat, proses untuk mendapatkan Geran probet (surat kuasa untuk mentadbir pusaka) oleh wasi yang telah dinamakan di dalam wasiat lebih mudah dan cepat. Lebih lengkap dokumen wasiat (seperti penyenaraian harta, hutang, harta sepencarian dsbnya) maka lebih cepat proses pentadbiran harta pusaka dapat diselesaikan.

Secara umumnya, tempoh penyelesaian pusaka dengan adanya wasiat ialah di antara 4 - 12 bulan berbanding di antara 2 - 5 tahun (atau lebih) tanpa dokumen wasiat. Lebih lama proses penyelesaian, maka selama itulah juga kesengsaraan yang akan dirasai oleh waris-waris yang kita tinggalkan.


2.
Melunaskan hutang dan tanggungan

Pada zaman ini, boleh dikatakan sebahagian besar daripada kita berhutang,ada yang banyak, ada yang sedikit. Berhutang atau meminjam untuk keperluan adalah dibenarkan dalam Islam, namun Islam turut menekankan dengan tegas mengenai tanggungjawab untuk membayar hutang, walaupun selepas kematian.

Antara peringatan yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya orang yang berhutang terpenjara di kuburnya sehingga hutang tersebut diselesaikan (oleh saudara-maranya).
- Hadis riwayat At-Tabrani

Malah tidak terkecuali bagi mereka yang mati syahid sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.: Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.

-Hadis riwayat Muslim

Oleh itu, salah satu daripada keperluan dokumen wasiat adalah untuk anda menyenaraikan dengan lengkap segala jenis harta dan tanggungan hutang anda supaya dapat diuruskan dengan licin dan sempurna oleh waris-waris. Ini bermakna dokumen wasiat adalah satu dokumen yang teramat penting untuk anda miliki kerana dokumen wasiat inilah menjadi
sumber rujukan utama mengenai harta dan tanggungan anda selepas ketiadaan anda kelak


3.
Menyempurnakan hak dan hasrat

-untuk yang tersayang (yang masih hidup selepas kematian anda)

-untuk diri anda (yang pasti mati)

a) Menyempurnakan HAK ( waris yang ditinggalkan)

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkan. Hak-hak tersebut telah ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya.

b) Menyempurnakan HASRAT (pahala berkekalan)

Melalui wasiat, hasrat untuk membantu atau membela mereka yang tidak mendapat bahagian faraid dapat ditunaikan spt waris terdinding, cucu yg kematian ayah, anak angkat,ibu bapa angkat dan sebagainya (terhad 1/3 drpd pusaka bersih).

Sumber : http://wasiat-tasha.blogspot.com/2008/04/penulisan-wasiat.html


_______________________________________________________________________________________________________________________________

Ilmu Faraid yang pernah saya pelajari di Sekolah Agama Johor dahulu kini bukan sekadar teori untuk peperiksaan sahaja tetapi perlu diaplikasikan. Cuma sayang...ilmu tersebut telah lama saya tinggalkan...mungkin ini permulaan untuk saya mempelajari dan mengingati semula ilmu Allah ini. Kepada yang merasakan saya berhutang dengannya...sudi-sudilah tuntut ye...

Wallahua'lam

2 comments:

  1. syukran ats perkongsian...

    klu x keberatan,boleh linkkan blog sy di sini..

    ReplyDelete
  2. Ada utang...BUDI
    hehe, di bawa mati..=)

    ReplyDelete