Friday, July 31, 2009

Saya, 31 Julai 2009 dan UTP

Usai mengalunkan zikir Al-Mathurat selepas subuh tadi, saya terus mendapatkan komputer di atas meja yang memang tidak dimatikan sejak beberapa hari lepas. Dalam suasana yang masih sunyi, matahari kelihatan seperti segan-segan lagi untuk menonjolkan diri. Jari-jemari saya tangkas mencari link yang sesuai untuk pencarian saya. Saya perlu mencari jurnal sebagai rujukan untuk tajuk penyelidikan saya di peringkat Master. Leka meneroka alam teknologi di hujung jari ini, saya hampir terlupa akan perjumpaan kumpulan bersama Dr. Fadzil, co-supervisor saya untuk Master. Saya perlu bersiap segera supaya sampai tepat pada waktunya.

Jubah dan tudung labuh berwarna ungu menjadi pakaian pilihan saya pada hari ini. Pakaian ini agak istimewa bagi saya kerana jubah ungu gabungan dua jenis kain berlainan itu merupakan salah satu hasil rekaan dan jahitan tangan saya sendiri. Sebelum keluar meninggalkan bilik, tangan saya sempat mencapai dan memakai penutup muka (face mask) memandangkan wabak influenza H1N1 semakin bermaharajalela di sini. Suasana sepanjang perjalanan ke Blok 1 Department Computer and Information Science terasa seperti kampus ini dilanda darurat yang mana kebanyakan pelajar mengenakan penutup muka. Perjalanan lebih kurang 15 minit ke Blok 1 terasa amat memenatkan, tidak seperti kebiasaannya. Mungkin disebabkan oleh penutup muka yang agak mengganggu aktiviti pernafasan.

For your information, till yesterday UTP has quarantined 50 students and the number increases to 70 students by yesterday afternoon. At the moment, Rector has a meeting with the management and head programme in order to decide whether UTP need to be closed or not. ” Dr. Fadzil berkongsi cerita selepas tamat sesi Progess Report Presentation oleh saudari Yunita Sari, seorang pelajar Master yang berasal dari Indonesia. Lebih kurang sebelas orang pelajar Postgraduate hadir dalam perjumpaan kumpulan tersebut. Masing-masing khusyuk mendengar penjelasan yang diberikan. Salah seorang daripadanya merupakan bekas tutor Network Security yang pernah mengajar saya sebelum ini. Tidak disangka saya berada dalam satu kumpulan cerdik pandai IT yang mana setiap butir perkataan yang keluar dari mulut mereka sukar saya fahami.

Arahan penutupan UTP mungkin akan dikeluarkan menjelang tengah hari ini. Penutupan UiTM Seri Iskandar, kampus jiran kami baru-baru ini mungkin tidak serumit UTP. Terlalu banyak perkara yang perlu diambil kira oleh pihak pentadbiran lebih-lebih lagi UTP mempunyai pensyarah dan juga pelajar antarabangsa. Walau apapun, arahan tersebut dinantikan dengan penuh debaran kerana berkemungkinan penutupan UTP selama seminggu ini sedikit sebanyak akan mengganggu aktiviti akademik di UTP. Gerak kerja Convofair 2009 yang dikendalikan oleh adik-adik junior untuk meraikan Majlis Konvokesyen kali ini juga mungkin menerima tempiasnya. Mudah-mudahan Majlis Konvokesyen batch saya ini tidak akan tergendala akibat wabak H1N1.

Kad Hari Lahir untuk Fatin, Kinah dan Ida

‘Wishing you a Birthday which is as special as you’

Satu ungkapan yang bagi saya cukup touching untuk diucapkan kepada birthday girls pada hari ini (Sanah Helwah kepada Fatin Hilmi, Amatillah Sakinah dan Hidayah Misran). Kad-kad ucapan yang saya sediakan khas sejak malam tadi selamat diberikan kepada mereka bertiga selepas Zuhur. Mujur saya datang lebih awal kerana masing-masing sibuk berkemas untuk pulang ke rumah setelah arahan rasmi penutupan UTP dikeluarkan. Sakinah pula sibuk dengan gerak kerja Convofair. Semoga tabah menjalankan taklifan ye ukhti :). Turun dari tingkat lima rumah mereka, barulah saya dapat membaca memo rasmi daripada Residential College tentang penutupan UTP.

UTP Management and Perak Health authorities have decided to close UTP to contain the spreading of Influenze Like Illness (ILI) for one week.’ Ayat yang dinyatakan dalam notis ini mengarahkan supaya pelajar UTP pulang ke rumah masing-masing sebelum 12 tengah hari esok. Keadaan UTP agak lengang sedikit menjelang petang. Tempat letak kerata kelihatan lapang dari hadapan blok kediaman saya. Kasihan kepada sahabat-sahabat yang dikuarantin kerana tidak dibenarkan pulang ke rumah. Tetapi itu mungkin lebih baik untuk kemaslahatan umum. Harap Roza, Syafiqah, Rose Amira dan Nadiah dapat bersabar. Semoga cepat sihat ye! (^^)

Memandangkan kafe-kafe akan ditutup, saya bergegas turun untuk membeli Nasi Goreng Udang Thai sebagai makan malam. Awal juga makan malam saya hari ini. Jam 3.45 petang. Makan sambil membaca sudah menjadi kebiasaan saya sejak tinggal di UTP. Melihat roommate yang sedang asyik melayari internet, saya mengingatkannya supaya cepat bersiap untuk ke Majlis Pernikahan Kak Najmin di Masjid An-Nur petang ini. Malam ini saya akan keseorangan memandangkan roommate saya, Kak Iffatun juga akan pulang ke rumah lewat petang ini bersama-sama Kak Suria.

“Akak, kita jalan kaki je la ke masjid eh? Kak Iffatun pergi lambat sikit…” saya menaip di Gtalk untuk mengajak Kak Suria ke Majlis Pernikahan Kak Najmin yang akan berkahwin dengan seorang pemuda Iraq. Mujur majlis masih belum bermula setibanya kami di sana. Kelibat Kak Najmin dengan pakaian pengantin serba putih itu amat menyerlah. Cantiknya Kak Najmin hari ini. Saya mengenali Kak Najmin sejak Tahun Pertama pengajian saya di UTP. Figure yang hebat seperti Kak Najmin susah di cari ganti. Kami agak rapat pada semester lepas kerana Kak Najmin merupakan kakak naqibah saya dan beberapa rakan ICT/BIS yang lain.

Majlis yang serba ringkas itu berjalan dengan lancar. Khutbah, akad nikah dan taklid dilafazkan dalam Bahasa Inggeris. Ustaz Rahmat kelihatan tenang mengendalikan sesi-sesi tersebut. Ustaz yang berasal dari Sarawak itu sepertinya sudah biasa mengendalikan majlis pernikahan dalam bahasa kedua rakyat Malaysia ini. Saya tidak berapa pasti nama suami Kak Najmin. Agak sukar diingat walaupun saya telah diberitahu banyak kali tentangnya. Suami Kak Najmin pula kelihatan agak kekok dengan budaya dan adat perkahwinan Melayu. Walau bagaimanapun, mereka telah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz. Alhamdulillah…

Lusa saya akan pulang ke Sg. Besi, namun sebelum itu akan singgah di Ipoh dahulu esok. Semoga Allah permudahkan hari esok! ^_____^

No comments:

Post a Comment