Keberkatan Umur
Usia umpama harta. Bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpah kebaktian.
Pembaziran Umur
Apabila bil air bulanan tiba-tiba melambung tinggi tidak seperti biasanya, pasti kita akan merasa begitu berat untuk melangsaikan pembayaran bil tersebut. Harga barang semakin hari semakin naik. Kali ini, bil air pula meningkat. Pastinya kita akan tertanya-tanya, "Siapalah yang membazir air nih?" atau "Ada kebocoran di mana-manakah?" Seluruh isi rumah pasti akan diingatkan supaya berjimat cermat menggunakan air agar bil berikutnya tidak lagi menjengkelkan seperti ini. Begitu juga halnya dengan penggunaan elektrik. Jenuh juga jika perlu mengingatkan setiap ahli keluarga untuk memastikan suis lampu, kipas, televisyen dan peralatan elektrik lain ditutup jika tidak digunakan. Namun itulah yang perlu dilakukan supaya wang ringgit kita tidak melayang akibat pembaziran.
Aliran Umur
Aliran umur diumpamakan oleh hukama seperti memijak air di sungai. Kaki kita tidak boleh memijak air yang sama pada air sungai yang mengalir. Sekali dipijak, air yang kita pijak itu akan terus mengalir ke hilir tanpa dapat dipijak lagi buat kali keduanya. Begitu jugalah usia yang berlalu. Kita tidak akan pernah dapat mengembalikan masa lalu. Jika masa lalu itu kita manfaatkannya dengan baik, kita pasti merelakan pemergiannya. Namun jika sebaliknya, susah tentu kita mengharapkan masa itu kembali semula ke sisi kita dengan harapan kita dapat memperoleh maanfaat daripadanya. Walau bagaimanapun, masa tidak akan pernah menunggu kita. Kitalah yang perlu berusaha bergerak bersama-sama dengan masa yang pastinya tidak akan lelah dari terus berlari sehingga tiba ketentuan Allah.
Panjang Pendek Umur
Manusia yang dilahirkan ke dunia boleh diibaratkan seperti manusia yang menaik bas atau tren. Tidak semestinya individu yang naik terlebih dahulu ke dalam bas atau tren akan turun dahulu. Tidak semestinya individu yang naik kemudian akan turun lebih lambat. Ada masanya individu yang naik kemudian akan turun terlebih dahulu dan sebaliknya. Begitulah panjang pendeknya umur kita di dunia. Tidak semestinya individu yang dilahirkan ke dunia terlebih dahulu akan meninggal dunia dahulu. Tidak semestinya individu yang lahir kemudian, ajalnya akan tiba kemudian. Namun, bezanya dengan menaiki bas atau tren tadi, kita mengetahui tempat dan masa untuk berhenti dan turun tetapi kita tidak akan tahu masa dan tempat kita perlu pulang ke rahmatullah. Ajal seorang hamba Allah telah ditetapkan sejak manusia dia alam rahim lagi. Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui bila akan tibanya ajal kita. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa bersedia bila-bila masa untuk bertemu Illahi.
Umur Dunia di Akhirat
Rasulullah s.a.w bersabda "Umur-umur umatku berkisar antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu." (Riwayat Tirmizi).
Boleh disimpulkan di sini bahawa jangka hayat umat Nabi Muhamad adalah lebih kurang 63 tahun sahaja. Mereka yang ajalnya sampai lewat daripada jangka hayat ini dikira beruntung kerana dikurniakan lebih masa untuk mengumpul pahala. Namun, ada juga yang ditamatkan hayatnya lebih awal. Jika dibandingkan dengan peredaran masa dunia dengan akhirat iaitu 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di dunia, dengan berbekalkan usia 63 tahun kita hanya hidup selama 1 1/2 jam sahaja di akhirat. Sangat singkat!
Bagi saya sendiri, 1 1/2 jam hanyalah tempoh optimum yang saya peruntukan untuk memeriksa dan membalas 4 akaun emel, membaca akhbar-akhbar online (harakahdaily, malaysiakini, berita harian) dan membaca update di facebook atau blog setiap hari. Aktiviti-aktiviti ini hanyalah sekadar warming up sebelum memulakan aktiviti utama yang lain. Tetapi kita hanya mempunyai 1 1/2 jam ini sahaja untuk mengumpulkan bekalan menuju ke alam yang kekal abadi. 1 1/2 jam ini sahaja yang kita ada untuk menentukan sama ada kita berbahagia atau merana di akhirat kelak.
Peperiksaan
"Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Mulk: 2)
Allah menjelaskan dalam ayat 2 surah al-Mulk bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menghadapi ujian. Hidup di dunia ini boleh diumpamakan seperti menduduki peperiksaan di sekolah atau institusi pengajian lain. Umur sesingkat 1 1/2 jam itu pula adalah tempoh yang diberikan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Individu yang menduduki peperiksaan itu pastinya akan menggunakan masa yang diberikan dengan begitu cermat sebaik sahaja dibenarkan membuka kertas peperiksaan. Satu demi satu soalan dibaca dengan teliti supaya dapat dijawab dengan tepat. Masa seolah-seolah menjadi musuh ketatnya pada waktu itu, berlumba siapakah yang lebih laju.
Jika kita mempunyai mindset bahawa dalam hidup ini kita akan diuji dan tempoh masanya hanyalah sesingkat 1 1/2 jam, maka seharusnya kita mengambil ikhtibar daripada senario menjawab peperiksaan tadi. Seharusnya usia yang dikurniakan kepada kita perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita juga perlu sedar bahawa umur kita akan sentiasa akan bertambah dan pastikan umur kita tidak disia-siakan begitu sahaja.
"Wahai orang yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah as-Saff : 10-11)
Oleh kerana usia yang dikurniakan kepada kita hanyalah 1 1/2 jam sahaja, maka kita perlu memastikan tempoh sesingkat ini dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya kita tergolong sebagai ahli syurga di akhirat nanti. Dalam ayat ke-10 dan 11 surah as-Saff yang dinyatakan di atas, Allah memberikan tawaran perniagaan yang hebat! Keuntungan daripada perniagaan ini adalah keselamatan daripada azab neraka yang pedih; aktiviti perniagaannya ialah keimanan kepada Allah dan rasul serta berjihad dengan harta dan jiwa kita di jalan Allah; dan modalnya ialah UMUR kita!
Kaedah Memanjangkan Umur
Sila klik gambar untuk baca~
Jadilah Mukmin yang Bijak
Rasulullah s.a.w menerusi sabda baginda yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar "Aku bersama dengan Rasulullah. Kemudian datang kepada baginda seorang lelaki daripada kalangan Ansar dan memberi salam ke atas Nabi s.a.w kemudian berkata, 'Wahai Rasulullah, siapakah Mukmin yang terbaik?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling baik akhlaknya.' Dia bertanya lagi, 'Maka siapakah Mukmin yang paling bijak?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling bijak.'" (Riwayat al-Baihaqi no. 10550)
Setiap hari adalah penghidupan yang baru bagi orang bijak. Belajarlah melupakan kelmarin. Jangan khuatir tentang hari esok dengan berfikir serta bekerja untuk hari ini. Katakan pada diri, seolah-olah tidak ada esok bagi kita maka tidak ada kata tangguh. Kenapa manusia suka bertangguh? Kerana dirasakannya esok masih ada, lalu apa katanya? Tunggulah nanti! Padahal memanjangkan umur bukan dengan bertangguh tetapi dengan memanfaatkan sepenuhnya masa yang sedang berada dalam genggaman. Hari ini ialah masa yang hendak dipanjangkan. Bukan hari esok!
Adaptasi daripada: Pahrol Mohamad Juoi, artikel "Orang Bijak Panjang Umur" dan "Ya Allah Panjangkan Usiaku", kolum ISU, Majalah Solusi 24, 2010.