Tuesday, July 27, 2010

Dia Tidak Akan Dapat Melihatku

 Gambar hiasan

Asma' binti Abu Bakar r.a meriwayatkan bahawa selepas turun firman Allah SWT: "Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan benar-benar binasa dia" (Al-Masad:1), Ummu Jamil isteri Abu Lahab sangat marah kepada Rasulullah s.a.w. Ummu Jamil menghina Rasulullah s.a.w. dan Islam dengan kata-kata yang keji. Kemudian dia pergi ke Masjidil Haram untuk mencari Rasulullah s.a.w dengan niat ingin menyakiti baginda.

Ketika itu, Rasulullah s.a.w sedang duduk bersama Abu Bakar As-Siddiq r.a di hadapan Kaabah. Melihat Ummu Jamil datang, Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wanita ini datang mendekati kita dan aku khuatir apabila dia melihat anda." Rasulullah s.a.w menjawab, "Dia tidak akan dapat melihatku."

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT: "Dan apabila kamu membaca Al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup." (Al-Israa':45)

Ummu Jamil menghampiri mereka dan berdiri di hadapan Abu Bakar r.a. Ummu Jamil berkata: "Hai Abu Bakar, telah sampai khabar kepadaku bahawa sahabatmu (Nabi Muhammad s.a.w) telah menghinaku." Abu Bakar menjawab, "Tidak, demi Tuhan Kaabah dia tidak menghinamu." Ummu Jamil berasa kesal kerana tidak berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian dia berlalu pergi seraya berkata, "Orang Quraisy mengetahui bahawa aku adalah anak perempuan kepada pemimpin Quraisy." (Riwayat Abu Ya'ala)

No comments:

Post a Comment