Friday, May 21, 2010

Seseorang dan Kebahagiaan

Siapakah Diriku Sebenarnya

"Wow...buku Membina Hati Bahagia...Motivasi Diri Wanita... ," secara spontan kata-kata ini meniti di bibir saya sejurus terpandang tajuk buku yang dipinjam oleh seorang sahabat saya di perpustakaan tempoh hari.

Buku siri Extra Mind yang ditulis oleh Dr. HM Tuah Iskandar itu agak catchy dengan pemilihan warna kegemaran majoriti wanita sebagai warna kulit bukunya dan judul yang straight-to-the-point. Daripada banyak-banyak koleksi buku saya, saya masih belum memiliki mana-mana hasil tulisan beliau. Namun, saya pernah menghadiri progam motivasi yang dikendalikan oleh beliau di UTP suatu ketika dahulu. Beliau gemar memakai pakaian yang berwarna terang sewaktu memberi ceramah motivasi. Seingat saya, beliau memakai kot berwarna kuning terang pada waktu itu. Itulah perkara yang paling diingati tentang diri beliau. Pengisiannya...wallahua'lam.

Sewaktu menanti sahabat saya menyelesaikan urusannya pada hari itu, saya sempat membelek buku tersebut. Penulis membahagikan cerita-ceritanya kepada tajuk-tajuk kecil. Satu demi satu tajuk saya baca pada halaman kandungan. Ada beberapa tajuk yang menarik tetapi saya lebih tertarik untuk menyelak halaman 304, Siapa Diriku Sebenarnya. Pada awalnya saya beranggapan yang tajuk itu menyediakan satu cerita motivasi tentang bagaimana mengenal diri tetapi penulis mengambil pendekatan yang berbeza. Terdapat 21 soalan yang perlu dijawab dalam menentukan sama ada kita seorang yang bahagia atau sebaliknya.

Menarik! Saya terus menjawab soalan-soalan yang tertera pada muka surat 304 hingga 311 tanpa berfikir panjang. Arahan untuk tidak memperuntukkan banyak masa untuk memilih jawapan saya patuhi untuk mengelakkan unsur-unsur tidak jujur dan mereka-mereka jawapan.
A  Saya seronok dengan kehidupan saya.
B  Saya agak seronok dengan kehidupan saya.
C  Saya tidak gembira dengan kehidupan saya.
D  Saya tidak lagi gembira dengan kehidupan saya.
E  Saya tidak gembira langsung dengan kehidupan saya.

A  Saya sentiasa menilai diri saya untuk meningkatkan motivasi diri
B  Kadang kala saya menilai diri saya.
C  Saya tidak begitu memikirkan diri saya.
D  Saya langsung tidak memikirkan tentang diri saya.
E  Saya tidak berguna.

A  Saya rasa sayang dan menghormati diri sendiri.
B  Saya sukakan diri saya.
C  Saya tidak puas hati dengan diri sendiri.
D  Saya tidak menyukai diri sendiri.
E  Saya amat menyampah dengan diri sendiri.

A  Saya puas hati dengan kehidupan saya.
B  Kehidupan saya agak memuaskan.
C  Saya rasa kehidupan saya sepatutnya lebih memuaskan.
D  Tiada apa yang boleh memuaskan hati saya.
E  Tiada suatupun di dunia ini yang boleh memuaskan hati saya lagi.
Antara 4 soalan yang menarik daripada 21 soalan yang perlu dijawab

Selepas menjawab kesemua soalan, saya perlu mengira markah yang saya perolehi. Setiap jawapan A akan mendapat 4 markah, jawapan B pula 3 markah, jawapan C; 2 markah, jawapan D; 1 markah dan jawapan E tidak akan mendapat apa-apa markah. Jumlah markah akan dibandingkan dengan peringkat-peringkat dibawah. Cuba teka markah saya berada dalam peringkat mana?

78-84
Hubungi saya dan nyatakan pencapaian anda itu. Saya juga ingin mengetahui bagaimana anda melakukannya

64-74
Anda seorang yang bahagia walaupun prestasi itu boleh ditingkatkan

54-64
Sedikit sebanyak anda hilang keceriaan

44-54
Anda mungkin seorang pemuram dan perlukan bantuan

20-44
Anda cukup tertekan dan kehilangan bahagia

0-20
Anda telah kehilangan sinar dalam hidup



Hakikat Bahagia

Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati

Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani

Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan

Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada Tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah Tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila berjaya tidak alpa
Bila sihat tidak lupakan Tuhan

Hakikatnya bahagia itu
Adalah ketenangan
Bila hati mengingati Tuhan

Semua insan kan mengerti
Maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki


Susunan lirik indah dalam alunan nasyid Hakikat Bahagia ini menerangkan sedikit sebanyak tentang  konsep kebahagiaan. Kebahagiaan itu adalah suatu kesyukuran dan hakikatnya, bahagia itu adalah ketenangan. Mungkin kita terlalu memikirkan kesusahan dan kepayahan hidup sehari-hari hingga kita terlupa untuk bersyukur. Mungkin juga benak fikiran kita terlalu kusut, tepu dengan permasalahan yang menyerang diri sehingga kita tidak mampu menenangkannya.  Pada hakikatnya kita mampu untuk hidup bahagia. Walau apa juga keadaan yang kita hadapi sama ada yang baik atau sebaliknya, senangkanlah hatimu sebagaimana yang tertulis dalam sebuah sajak daripada buku Tasawuf Moden oleh Prof. Dr. Hamka (klik di sini untuk ke halaman pautan sajak).



Terasa Bahagia

Selama ini saya tidak pernah terfikir bahawa saya adalah seorang yang bahagia. Mungkin kerana terlalu asyik meletakkan masalah di hadapan mata. Happiness...something that we decide ourselves. Skor yang saya perolehi untuk soalan-soalan yang dijawab berada di peringkat yang pertama. Tidak disangka! Hmm...saya baru tersedar. Apabila ditanyakan semula pada diri...sememangnya saya dapat merasai ketenangan dan kesyukuran dalam jiwa. And I just found it out!

Saya akhiri post kali ini dengan satu petikan ringkas daripada salah satu buku tulisan Ustaz Zahazan...


Jiwa Orang Yang Bahagia

Orang yang bahagia itu akan selalu meluangkan masanya untuk:
  1. MEMBACA kerana membaca itu sumber hikmah
  2. TERTAWA kerana ketawa itu muziknya jiwa
  3. BERFIKIR kerana berfikir itu pokok kemajuan
  4. BERAMAL kerana beramal itu pangkal kejayaan
  5. BERSENDA kerana bersenda itu akan membuatkannya muda selalu
  6. BERIBADAT kerana beribadat itu ialah ibu untuk segala ketenangan jiwa
Is'adul-Mar'ah, Dr. 'Aidh bin Abdullah al-Qarni

Monday, May 17, 2010

Gigi Untuk Kehidupan

Come In For A Great Smile

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sukar untuk melihat senyuman terukir pada raut wajah teman sebilik saya. Sakit gigi katanya. Azella yang baru sahaja menjadi roomate saya untuk 15 hari merupakan seorang yang agak ceria. Sunyi juga bilik ini apabila kami kurang berbual dan bersembang seperti biasanya. Mujur Azella masih dapat melelapkan mata. Dengan tidur, sekurang-kurangnya dapatlah juga dia 'lari' seketika daripada kesakitan itu.




"Jom lah La, kita pergi klinik gigi esok...malam nih awak makan ubat dulu eh...," saya menawarkan diri untuk menghantarnya ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan professional.

Keesokan harinya saya membonceng Azella menaiki Cik Oren, motorsikal kesayangan saya menuju ke klinik gigi di Seri Iskandar. Klinik milik orang Melayu Islam itu kelihatan begitu eksklusif. Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ketika itu adalah kos rawatannya. Mudah-mudahkan tidak begitu mahal. Oleh kerana tiada pesakit lain ketika itu, Azella dapat berjumpa dengan doktor sejurus selepas pendaftaran. Saya meminta izin untuk menemankan Azella dengan niat mahu memberi sokongan moral (cewah...ye la tuh...hehe~).

"Cayok, cayok Azella!", saya menyokong daripada tepi. Seperti menyokong pasukan badminton kegemaran dalam Piala Thomas pula.

"Nanti dah dibius tak rasa sakit sangat pun...macam gigit semut api je...," saya menyedapkan hati Azella kerana dia kelihatan cemas sebelum pembedahan.

Itulah kata-kata 'semangat' yang saya pernah terima sewaktu doktor gigi mahu mencabut gigi geraham bongsu saya yang tumbuh memakan isi pipi suatu ketika dahulu. Azella memerlukan pembedahan kecil untuk mencabut gigi gerahamnya yang telah patah separuh. Gusinya perlu dipotong sedikit bagi membolehkan gigi itu dikeluarkan. Agak menyeramkan juga melihat percikan darah yang tersembur semasa pembedahan dijalankan.

Memandangkan bayaran untuk pemeriksaan biasa hanya rm20, saya mengambil peluang ini untuk memeriksa gigi. Kali terakhir saya membuat pemeriksaan adalah pada bulan Julai 2009. Hampir setahun yang lalu. Hasil pemeriksaan, tiga batang gigi saya berlubang sedikit dan saya disarankan untuk menampalnya bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Prevention is better than cure.

Sekilas pandang memang sukar untuk mengesan  masalah tersebut. Mujur diperiksa. Kebanyakan orang hanya akan berjumpa dengan doktor gigi apabila sudah berasa sakit. Begitu jugalah dengan saya pada awalnya. Jika tidak kerana menemankan kawan, mana mungkin saya akan ke klinik gigi. Doktor menampal gigi-gigi tersebut dan mencuci keseluruhan gigi. Kos pemeriksaan?? Azella dikenakan RM100 dan saya perlu membayar RM140.


 Teringat saya akan salah satu babak dalam Finding Nemo.
Darla berjumpa dengan bapa saudaranya, Dr. Sherman untuk memeriksa gigi

Allahurabbi, mahal sungguh...tetapi tidak mengapa...dengan layanan dan perkhidmatan yang diberikan saya rasa berbaloi membayar kos sebanyak itu. Duit boleh dicari. Tidak mengapa berhabisan duit sedikit untuk kesihatan. Come in For a Great Smile yang menjadi  tagline klinik ini benar-benar menjadi. Senyuman puas hati yang terukir menampakkan barisan gigi yang baru sahaja di'servis'.  Alhamdulillah...

Apabila difikirkan semula, sebelum ini saya merasakan bahawa saya menjaga gigi saya dengan baik. Dalam sehari, sekurang-kurangnya dua kali barisan gigi ini akan dibersihkan; bangun pagi, sebelum tidur dan tambahan: sebelum solat. Jika anda juga merasakan perkara yang sama, cuba cek semula. Adakah  anda benar-benar pasti anda telah membersihkan gigi dengan betul? Adakah gigi anda benar-benar sihat?



Penjagaan Gigi

Saya membuat sedikit research untuk menambah pengetahuan tentang penjagaan gigi yang betul. Daripada banyak-banyak tips ini mungkin ada yang kita lakukan dan mungkin ada yang kita terlepas pandang.




Membersihkan gigi
  1. Memberus gigi sekurang-kurangnya dua minit setiap kali.
  2. Memberus kesemua permukaan gigi dan juga gusi untuk membuang plak gigi.
  3. Memilih berus gigi yang sesuai dari segi bentuk, saiz dan jenis bristel (bulu berus).
  4. Menggantikan berus gigi sekurang-kurangnya setiap 3 bulan.
  5. Paling ideal, beruslah gigi setiap kali selepas makan tetapi jika tiak mampu, sekurang-kurangnya beruslah gigi anda sehari sekali dan sebelum tidur.
  6. Menggunakan cecair kumuran untuk pelindungan tambahan.
  7. Tambahan : flos gigi anda selalu.


Menggunakan ubat gigi berflorida
Selepas sesi rawatan, saya mengajukan satu soalan berkaitan dengan penggunaan ubat gigi kepada doktor. Adakah ubat gigi mempengaruhi kesihatan gigi? Doktor mengiyakan kenyataan bahawa ubat gigi berflorida baik untuk gigi. Namun, sekiranya kita was-was, tidak mengapa. Boleh sahaja menggunakan ubat gigi biasa asalkan kita membersihkan gigi dengan  betul. Lagipun, air yang kita minum sudah mengandungi florida.


Mengelakkan makanan ringan dan minuman bergula di perantaraan waktu makan.
Setiap kali gula dimasukkan ke dalam mulut, ia akan bertindak balas dengan bakteria dan menghasilkan asid yang akan menyerang permukaan gigi. Sekiranya proses ini kerap berulang, tindak balas kimia akan berlaku dan boleh merosakkan gigi.

 

Memeriksa gigi sekurang-kurangnya setahun sekali.
Perasaan cemas setiap kali berjumpa doktor gigi adalah perkara normal. Walau bagaimanapun, teknik pergigian masa kini semakin canggih dan sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa sakit semasa rawatan. Doktor gigi juga lebih mesra dan mereka dilatih untuk sedaya-upaya mengurangkan ketidakselesaan pesakit. Sekiranya ada takut untuk membuat rawatan, berbincanglah dengan doktor gigi anda. Mereka tahu cara terbaik untuk membantu anda.
(Diadaptasi dari: General Information for Public, Malaysian Dental Association)



Bersugi (Menyucikan Gigi) Mendapat Redha Allah

Islam sentiasa mementingkan kebersihan dalam semua aspek termasuk kebersihan mulut dan gigi.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja).” 

Riwayat Muslim

Rasulullah s.a.w telah menyatakan dengan jelas dalam mafhum sabda Baginda bahawa, "Jika tidak menjadi satu kesusahan bagi umatku, pasti aku akan menyuruh mereka untuk bersugi setiap kali solat."
Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis ringkas ini kita dapati bersugi merupakan perkara yang mendapat perhatian Rasulullah s.a.w. Namun apabila mengenangkan bahawa arahan ini mungkin akan menimbulkan kesusahan atau kepayahan bagi umatnya, maka Rasulullah s.a.w tidak menjadikannya satu kemestian.

Dalam hadis lain daripada riwayat Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w dilihat bersugi apabila Baginda bangun dari tempat tidurnya.

Secara umumnya, para ulama menyatakan bahawa bersugi disunatkan ketika bau mulut kita berubah, tidak kira apa sebabnya. Di sini Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh terbaik iaitu bersugi apabila bangun tidur.

Hadis riwayat Muslim ini pula menceritakan bagaimana Aisyah r.a., isteri Rasulullah s.a.w pernah memberitahu bahawa dialah yang menyediakan kayu sugi untuk Rasulullah s.a.w. Bukan itu sahaja, dia turut menyediakan air untuk Baginda bersuci. Aisyah juga berkata bahawa kebiasaanya Rasulullah s.a.w apabila bangun tidur , Baginda akan bersugi, berwuduk seterusnya barulah Baginda bersolat.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Anas r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku telah berulang kali menganjurkan kalian semua untuk bersugi." Baginda kerap mengigatkan para sahabat tentang bersugi. Hal ini menunjukkan betapa bersugi  penting pada diri Baginda.

Aisyah r.ha ketika disoal oleh Syuraih bin Hani' tentang apakah perkara pertama yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w ketika masuk ke dalam rumah, dia menjawab, "Baginda mulakan dengan bersugi." Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w inginkan umatnya supaya bersih dari segenap segi dalam semua keadaan dan setiap masa. 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bersugi itu adalah suatu penyuci kepada mulut dan mendapat keredhaan Tuhan."
Riwayat Al-Nasa'i dan Ibn Hibban

Mungkin ada di antara kita hanya memandang bersugi sebagai perkara remeh dalam kehidupan. Tetapi dalam hadis ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah s.a.w mengaitkan keredaan Allah S.W.T dengan amalan bersugi.

(Diadaptasi dari: Kolum Hadis, Majalah Solusi Isu No. 14)

Gigi Untuk Kehidupan

Sebagai tanda kesyukuran, kita perlu menjaga gigi kurniaan Allah ini dengan lebih baik selepas ini. Teknik-teknik yang betul untuk membesihkan gigi perlu dipelajari. Kita juga perlu mengikuti tips-tips untuk mengekalkan gigi yang sihat. dan cantik. Tidak sanggup rasanya perlu menghabiskan begitu banyak duit untuk teeth maintenance sahaja. Dengan membersihkan gigi juga kita memperoleh redha Allah. So, we're not loosing anything plus we'll gain a great smile!

Saturday, May 08, 2010

Membaca : Bukan Hanya Sekadar Hobi

Membaca Sebagai Hobi

"Cuba teka apa hobi Ina?",  sengaja saya ajukan soalan ini kepada seorang sahabat untuk menguji 'tahap ukhuwwahnya'.

"Membaca!", jawabnya pantas.

"Bila awak pergi mana-mana, awak selalu bawa buku dan awak ada mini library sendiri kat bilik...", sambungnya lagi.

Saya hanya tersenyum mendengar jawapannya. Betul tidak, salah pun tidak. Mungkin menurut pemerhatiannya sepanjang bersahabat dengan saya, itulah jawapan yang paling tepat mampu diberikan tetapi saya tidak pernah 'mengisytiharkan' membaca sebagai hobi saya. Melukis dan mewarna merupakan hobi saya sejak tadika hingga kini. It's sounds like a kid right? But that is the fact!. Bagaimana pula dengan membaca?


Saya mempunyai pandangan sendiri tentang membaca sebagai hobi. Saya tidak begitu bersetuju jika aktiviti membaca dilabel sebagai hobi. Definisi hobi menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka ialah kegemaran yang diamalkan pada waktu lapang. Jika membaca dijadikan sebagai hobi, aktiviti tersebut seolah-olah dianggap sebagai aktiviti sampingan; an optional activity in our daily life. Membaca hanya apabila kita mempunyai masa lapang. Hakikatnya, membaca adalah suatu keperluan.


Korelasi Antara Membaca dengan Akal, Hati dan Anggota
  


  1. Bahan bacaan adalah 'makanan' kepada akal. Jika bahan bacaan baik, maka meningkat dan sihatlah fikiran kita. Jika bahan bacaan buruk dan kotor, maka fikiran kita akan kotor dan diracuni.
  2. Apabila akal kotor, hati akan turut menjadi kotor kerana akal adalah 'penasihat' kepada hati. Hati diumpamakan sebagai raja, akal pula sebagai bendaharanya. Bendahara memberi nasihat kepada raja untuk memerintah rakyat jelata. Kalau bendahara seorang yang jahat, tentu nasihatnya penuh kejahatan. Raja yang dipengaruhi kejahatan akan memerintah dengan jahat, maka deritalah seluruh rakyat.
  3. Hati pula akan mempengaruhi tingkah laku dan perbuatan manusia. Al-Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini, sesuai dengan maksud hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: 
"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati."
(Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari dan Al-Imam Muslim).

Daripada penjelasan ini, dapat disimpulkan bahawa membaca begitu signifikan dalam membentuk peribadi manusia. Korelasinya begitu jelas. Membaca umpama memberi 'makanan' kepada akal dan memberi 'cahaya' kepada hati. Hati pula 'membentuk' manusia.

 "Siapa diri kamu pada masa akan datang dicorakkan oleh buku apa yang kamu baca hari ini"

Bangsa berjaya adalah bangsa yang membaca kerana dengan membaca kita telah komited untuk belajar. Reading is a lifelong learning. Learning that is not confined to childhood or the classroom, but takes place throughout life and in a range of situations.


Bukan Hanya Sekadar Hobi

Saya tidak menentang sekiranya anda mahu menjadikan membaca sebagai hobi tetapi hakikat yang perlu kita terima: membaca memberikan impak besar dalam kehidupan manusia sehingga kita tidak seharusnya menjadikan aktiviti ini hanya sekadar hobi. Membaca tidak sepatutnya dijadikan aktiviti sampingan yang  hanya akan dilakukan apabila kita mempunyai masa lapang. Jadikanlah membaca sebagai salah satu aktivti utama dalam hidup kita.

"Jika kamu inginkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu. Jika kamu inginkan kedua-duanya, juga dengan ilmu." 
(Imam Syafi'i)

Membaca adalah anak kunci ilmu pengetahuan. Dan ilmu pula adalah penggerak kepada setiap amalan. Untuk mendapat ilmu, membaca itu wajib.

Sumber Utama :Solusi Isu No. 18

Fikir-fikirkanlah...

Wallahua'lam



Thursday, May 06, 2010

Sharing is Caring : Tips Akademik

There are butterflies in my stomach! Inilah favorite quote yang akan kedengaran setiap kali saya berasa gemuruh. Perasaan ini selalunya hadir apabila saya perlu bercakap di hadapan orang ramai. Situasi yang sama akan berlaku setiap kali saya menduduki peperiksaan atau ujian. Hmm...gemuruh merupakan perkara normal untuk makhluk yang bergelar manusia.Walaupun sudah banyak kali bercakap in public, sudah banyak peperiksaan yang telah saya ambil, namun setiap kali itu jugalah perasaan ini akan datang. But it's ok...as long as I'm normal!

Permintaan daripada seorang sahabat untuk memberikan perkongsian akademik baru-baru ini tidak mampu saya tolak. Saya bukanlah orang yang selayaknya untuk memberi motivasi kepada orang lain. Pengalaman yang ditimba pun masih cetek. Peluh gemuruh mula menitis. Hmm...saya perlu bercakap di hadapan adik-adik kampus yang mantap-mantap belaka! Namun azam yang saya pasakkan dalam diri untuk menjadi orang yang bermanfaat (salah satu ciri peribadi muslim) membuatkan saya menerima jemputan itu tanpa banyak soal. 

Rasulullah s.a.w bersabda : 

"Hendaklah kamu sampai ajaran aku walaupun satu ayat" .
(Dikeluarkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dan Al-Tirmidzi, daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash Radhiyallahu anhu). 
 
Dengan ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa, saya cuba mencari sesuatu yang mampu dikongsikan untuk manfaat bersama. Sepanjang hari saya memerah minda untuk mencari topik yang sesuai. Beberapa buah buku diselak kembali untuk mengambil dalil-dalil sebagai penguat hujah. Mujur juga saya masih menyimpan carta Final Examination Forecast based on Coursework Mark, bolehlah dibentangkan secara ringkas untuk persediaan minggu peperiksaan yang hampir tiba.

Untuk menjadikan perkongsian saya menarik, ringkas dan padat, tangan saya mula menari-nari di atas kertas membentuk beberapa karekter kartun Islamik bertemakan peperiksaan dan doa (dua tips saya untuk berjaya dalam akademik). Lama juga saya tidak menggunakan bakat kurniaan Allah ini. Sentuhan Adobe Photoshop CS3 menaikkan lagi seri lukisan-lukisan tadi. Dalam lebih kurang 30 minit sebelum sesi perkongsian bermula, akhirnya dua jenis wallpaper dapat disiapkan.

Wallpaper ini dibuat khas untuk sahabat-sahabat dan adik-adik kampus yang dikasihi. Semoga bermanfaat :D

Nota: Al-Farashah (butterfly) diletakkan sebagai  hiasan sahaja..hehe


All the best for the upcoming Final Examination!

Wallahua'lam

Monday, May 03, 2010

Tekanan vs. Prestasi

Saya kangan bangat sama Ukhti Athirah! Kira-kiranya, inilah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya begitu merindui kelas Bahasa Arab muslimat anjuran  Islamica Resource Center yang sudah beberapa minggu dihentikan lantaran ketiadaan guru. Ukhti Athirah yang merupakan guru Bahasa Arab saya kini sedang dalam pantang. Wanita kelahiran Indonesia ini baru sahaja melahirkan seorang cahaya mata perempuan pada 18 April yang lalu. Jika tidak silap saya, bayinya lahir tidak cukup bulan.

Walaupun Ukhti Athirah lebih muda daripada saya, namun ilmu pengetahuannya dalam Bahasa Arab juga dalam bidang agama sudah cukup menjadikan beliau seorang guru yang amat saya hormati. Pembelajaran nahu yang dikendalikan oleh graduan Agriculture Engineering ini begitu menyeronokkan. Kelas yang mengambil masa lebih kurang dua jam untuk setiap sesi terasa berlalu begitu pantas. Sekiranya kelas habis awal, saya dan beberapa adik muslimat lain akan mengambil peluang untuk 'mengorek' ilmu dan pengalaman daripada beliau.

"Siapa pernah lihat graf ini?" Ukhti Athirah tiba-tiba bertanya usai pembelajaran kami pada hari itu. Tangannya pula sibuk melukis sebuah graf di papan putih.



"Siapa yang boleh terangkan kepada semua apa maksud graf ini?", beliau terus bertanya dalam loghat Indonesianya. Ukhti Athirah melukis sebuah graf ringkas berbentuk inverted-U dengan label Performance pada paksi y dan label Pressure pada paksi x.

"Semakin tinggi pressure, performance akan semakin meningkat. Tetapi apabila pressure meningkat hingga mencecah limitation point, performance akan jatuh semula...", saya cuba menjawab seringkas mungkin.

"Begitulah kehidupan kita...", Ukhti Athirah menyambung.

"Dalam konteks bekerja atau belajar, kebiasaannya kita memerlukan tekanan untuk memastikan kerja kita berjalan, performance  kita sentiasa baik. Tetapi sekiranya tekanan itu terlalu tinggi, kita akan tiba pada satu peak point di mana kita tidak mampu lagi menerima tekanan. Apabila situasi itu berlaku performance akan jatuh merudum..."

"Namun, bagaimana jika tiada pressure yang mendatang? Apa yang kita perlu lakukan untuk memastikan prestasi kita sentiasa meningkat? Di sini kita bermain dengan konsep external pressure dan internal pressure. Untuk memastikan kita sentiasa perform well, kita perlu sentiasa memastikan pressure itu wujud. Sekiranya tiada external pressure kita perlu wujudkan internal pressure dari dalam diri", Ukhti Athirah menghabiskan penjelasannya.

Hmm...situasi ini sememangnya wujud dalam kejadian alam hatta dalam kehidupan manusia. Namun, tidak pernah terlintas dalam benak fikiran saya untuk menterjemahkannya dalam bentuk graf semudah ini. Perkongsian ini benar-benar membuka minda saya akan konsep tekanan vs. prestasi. Sekiranya tiada tekanan luaran, kita perlu wujudkan tekanan dalaman supaya prestasi sentiasa meningkat. Namun kita perlu bijak mengendalikan keadaan apabila tekanan mencapai tahap maksimum. Kita perlu bijak untuk bertindakbalas dalam apa juga situasi yang menimpa kita supaya kita tidak menghampiri peak point apabila menerima tekanan dan tidak lalai apabila tiada tekanan.

Ukthi Athirah menutup pekongsian kami dengan satu ungkapan hadith:

"Menakjubkan sungguh segala urusan orang yang beriman. Setiap perkara yang menimpanya adalah baik. Dan ini tidak akan terjadi kecuali pada seorang mukmin. Jika dia mendapat nikmat, dia akan bersyukur, maka kesyukurannya itu adalah baik untuknya. Akan tetapi jika dia ditimpa musibah, dia akan bersabar dan kesabarannya itu adalah baik untuknya".

Umat Islam diajar untuk bertindakbalas mengikut situasi. Bersabar apabila menerima tekanan berbentuk ujian dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat; bukan hanya berdiam diri apabila berada dalam comfort zone.

Fikir-fikirkanlah...



Just my two cents...wallahua'lam