Thursday, April 29, 2010

It's In-campus Life (again)!

Packing dan unpacking sangat menguji kekuatan fizikal. Mujur rumah baru saya berada di tingkat bawah. Tidaklah perlu saya mengerah tulang empat kerat ini untuk memunggah barang-barang saya yang sangat banyak ke tingkat yang lebih tinggi. Barang yang saya simpan sejak tahun asas juga masih ditatang ke sana sini sehingga kini; memang tidak pernah dibawa pulang ke rumah pun.




Bulan November tahun lalu, saya dan tiga lagi sahabat master nekad untuk menyewa di luar UTP. Alasan : ingin lari dari suasana 'undergraduate' setelah lebih kurang lima tahun bertungkus-lumus mengejar sekeping skrol degree di tempat yang sama. Kami berpindah ke Bandar Universiti berempat. Tetapi setelah masing-masing mendapat tawaran kerja, seorang demi seorang meninggalkan saya disini. Setelah 6 bulan kami menyewa di luar kampus, akhirnya saya berpindah semula ke UTP (seorang diri).

Saya sangat suka tinggal dalam suasana 'rumah' dan mungkin saya tidak akan merasai suasana yang sama di hostel. But it's ok. Moving for good... :D

Friday, April 23, 2010

Autobiografi : Aku Sayang Kamu

Autobiografi 1 

Badan merahku dihiasi dengan pelbagai aksi karekter kartun Disney terkenal iaitu Mickey Mouse dan Minnie Mouse. Namun, semuanya sudah pudar tidak seperti dahulu. Besi-besi pada badanku juga semakin berkarat. Maklumlah, diriku kini sudah terlalu berusia. Namun dengan penjagaan rapi  dari Al-Farashah, diriku masih mampu memegang dan mencengkam kertas-kertas yang dimasukkan ke dalam badanku. 


Diriku menjadi milik Al-Farashah sejak tahun 1998. Pada waktu itu, aku telah dihadiahkan oleh Cikgu Rubiah kepada Al-Farashah sebagai tanda penghargaan kepadanya. Tanda penghargaan sebagai ketua kelas 5A rasanya. Ahh...aku tidak berapa ingat...semakin tua semakin banyak perkara yang sukar diingati. Mana tidaknya usiaku kini telah pun mencecah 12 tahun!

Kini aku diberikan amanah oleh Al-Farashah untuk menyimpan material subjek Structured Programming and Database (SPDB). Al-Farashah bertugas sebagai tutor untuk subjek ini selama hampir dua semester. Aku akan dibawa ke makmal komputer SPDB setiap 2 kali seminggu. Agak kerap juga aku digunakan lebih-lebih lagi apabila tiba minggu belajar. Letih tetap letih tetapi aku  berterima kasih kepada Al-Farashah kerana menjagaku dengan baik.


Autobiografi 2 

Aku dilahirkan sebagai sebuah beg berjenama Highpeak Design dan bukannya Scouts sepertimana yang tertera pada poketku. Al-Farashah telah menutup jenama sebenarku di sebalik tampalan sulaman Scouts yang telah dibelinya semasa menyertai Jambori Pengakap di Johor. Pada waktu itu, Al-Farashah merupakan seorang pelajar yang sangat aktif dengan aktiviti berpengakap terutama dalam skuad 128JB. 


Aku telah berkhidmat untuk Al-Farashah selama lebih kurang 9 tahun iaitu sejak dia masih di bangku sekolah. Sejak di tingkatan 3 jika aku tidak silap. Dalam usiaku yang sudah lanjut, kebanyakan bahagian tubuhku  sudah rapuh. Banyak juga safety pin disemat pada badanku. Jahitan tambahan juga berselirat-selirat untuk memastikan diriku sentiasa dalam keadaan baik. Aku bersyukur kerana Al-Farashah masih sudi menggunakan aku sehingga kini.


Autobiografi 3

I love money! Ya, aku sangat menyukai wang dan kerana itulah aku diciptakan. Namaku Milk Teddy. Aku pasti terlalu banyak dompet yang bernama Milk Teddy dalam dunia ini. Oleh sebab Al-Farashah tidak pernah memberikan nama baru kepadaku, jadi namaku kekal begitu. Aku telah dibeli oleh Al-Farashah ketika dia sedang meningkat dewasa; zaman Al-Farashah masih remaja dan masih bersekolah. 

Jika hendak diikutkan, akulah dompet girlish pertama Al-Farashah. Sebelum itu, kesemua dompet  yang pernah dimiliknya pasti keanak-anakan atau menyerupai dompet milik abang-abangnya. Mungkin kerana pada waktu itu Al-Farashah terpengaruh dengan lifestyle kedua-dua abangnya itu. Namun, sejak dia mula tinggal di asrama, citarasanya berubah. Pada ketika itutlah aku menjadi pilihannya.


Aku bersyukur kerana aku masih belum 'ditamatkan perkhidmatan'. Untuk pengetahuan semua, sejak Al-Farashah membeliku, dia tidak pernah lagi membeli dompet lain walaupun aku tahu dia kini sedang merancang untuk memiliki dompet yang baru. Namun, tidaklah aku terasa hati atau merajuk. Aku tidak kisah kerana selama ini dia begitu menyayangiku dan menjagaku dengan baik.

Aku berbangga kerana  aku telah berkhidmat untuknya sejak dia masih bersekolah sehingga Al-Farashah melanjutkan pengajiannya di peringkat  sarjana (master). Sudah lebih tujuh tahun aku digunakan. Sekarang ini aku hanya menunggu masa untuk diganti dengan yang baru. Aku yakin masanya pasti tiba tetapi bukan dalam jangka masa terdekat kerana Al-Farashah seorang yang bercitarasa tinggi dan kini dia sangat berjimat-cermat kerana perlu membayar hutang motorsikal setiap bulan. Aku masih 'selamat'...

Wednesday, April 14, 2010

KRONIK : Kes Anak Luar Nikah dan Buang Bayi

Anak merupakan anugerah Allah S.W.T yang tidak ternilai bagi insan yang bergelar ibu dan bapa. Namun, saban hari kita sering digemparkan dengan laporan kes pembuangan bayi yang begitu menyayat hati. Baru-baru ini pula statistik pendaftaran anak luar nikah didedahkan. Analisa yang diperincikan dengan bilangan anak luar nikah mengikut tahun dan kaum ini jelas menggambarkan betapa kroniknya krisis sosial yang berlaku di Negara kita.

Statistik Pendaftaran Anak Luar Nikah di Malaysia

Diadaptasi daripada: Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Bilangan anak luar nikah Melayu yang didaftarkan semakin meningkat dari tahun ke tahun. Angka yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim ini menunjukkan bilangan anak luar nikah dari kaum Melayu meningkat sebanyak 441 orang pada tahun 2008 dan meningkat lagi sebanyak 762 orang pada tahun 2009. Adakah nilai ini akan terus meningkat untuk tahun 2010 pula?

Diadaptasi daripada : Mohd Azis Ngah,17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian Online, 21 Mac 2010

Daripada statistik pendaftaran anak luar nikah yang dianalisa untuk tempoh lima tahun (2005 - 2009) ini pula, kaum Melayu/Islam menduduki tempat kedua sebanyak 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes). Kedudukan nombor dua dengan angka 5 digit untuk jangka masa 5 tahun ini sudah cukup menggambarkan betapa lemahnya pegangan agama Islam dalam kalangan orang Melayu.
Angka yang dikira ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, jumlah kes buang bayi antara tahun 2000 hingga 2006 adalah seramai 580 bayi. Bilangan kes ini meningkat saban tahun di mana sebanyak 65 kes buang bayi dicatatkan pada tahun 2000 dan ia meningkat kepada 83 kes pada tahun 2006.

Fakta yang diekstrak daripada arkib Utusan Online ini hanya memaparkan jumlah kes setakat tahun 2006 sahaja. Namun, hal ini tidak sepatutnya diambil mudah memandangkan kes pembuangan bayi masih tidak dapat dibendung sehingga ke hari ini malahan semakin serius. Tahun ini sahaja kita sudah menyaksikan beberapa lagi kes pembuangan bayi yang tidak berperikemanusiaan dan semalam, 13 April 2010, seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini Selasa atas dakwaan membuang bayi, lebih dua tahun lepas.

















Banyak faktor yang boleh disenaraikan dalam menyelidiki punca berlakunya kelahiran anak hasil persetubuhan tanpa nikah atau lebih tepat lagi disebut ZINA. Namun, perkara pokok yang perlu ditekankan ialah pegangan agama itu sendiri. Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta telah menggariskan panduan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Hanya Dia mengetahui kesan dan akibat daripada setiap tindak-tanduk manusia. Begitu juga dalam hal ini.

Allah S.W.T telah berfirman:


“Dan janganlah kamu menghampiri ZINA, Sesungguhnya ZINA itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (membawa kerosakan)”
[Surah al-Israa' 17: 32]

Perbuatan ZINA merupakan perbuatan keji dan satu jalan yang jahat. Firman Allah dalam Surah al-Israa' : 32 melarang umat Islam untuk menghampiri ZINA apatah lagi melakukannya dan kita sebagai hamba yang beriman dengan kitab-Nya perlu sedaya-upaya mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan Allah.

Ketempangan akhlak yang semakin meruncing ini benar-benar menggerunkan. Introspeksilah diri kita adakah kita tergolong dalam golongan yang melakukan ZINA atau golongan yang menghampiri ZINA. Alhamdulillah jika kita tidak tergolong dalam mana-mana golongan ini. Sekiranya ya, bersyukurlah kerana Allah masih memberikan kita nyawa untuk kita bertaubat.

Muhasabahlah juga wahai diri...adakah kita mengambil berat tentang masalah yang melanda negara kita ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:


“ Barangsiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam, maka ia bukanlah dari golongan mereka .”
 
Dan cuba tanyakan pada diri...berapa banyakkah usaha yang kita telah lakukan agar gejala ini tidak berlaku disekeliling kita.
 
Wallahua'lam

Tuesday, April 13, 2010

Hikmah Perkahwinan

Tahniah diucapkan kepada dua pasangan pengantin yang baru sahaja melangsungkan majlis perkahwinan pada 10 April 2010 : Kak Hafsah dan Abg Aizan , Kak Mai dan Abg Kucai. Tahniah juga kepada Abg Irfan dan Kak Ummu Aiman yang telah diijabkabulkan pada 20 Mac 2010. Maaf tidak dapat menghadirkan diri ke walimah antum. Hanya ucapan dan doa mampu dikirimkan. Semoga berbahagia hingga ke syurga :).


Kak Hafsah dan Abg Aizan di hari berbahagia mereka


Wajah gembira pasangan Raja Sehari, Abg Kucai dan Kak Mai

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada itu pasangannya (Hawa) dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhatikan kamu.”
(Surah al-Nisa’ : 1)

Perkahwinan ialah perkongsian kehidupan yang harus dilalui oleh setiap manusia. Berkahwin adalah proses semulajadi yang diaturkan oleh Allah mengikut fitrah dalam diri manusia.

Hikmah Allah mensyariatkan PERKAHWINAN:

1. Sunnah para Nabi dan Rasul

“Demi sesungguhnya Kami (Allah) telah mengutus beberapa rasul sebelum kamu dan kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan juga keturunan”
(Surah al-Ra’d 13:38)

Daripada Aisyah r.ha. ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku, bukanlah dia tergolong dalam ummahku.’”
(Riwayat Ibn Majah)

 
2. Mewujudkan perasan tenang dan tenteram.
“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang. ”

(Surah al-Rum 30:21)

 
3. Memelihara iman
Al-Baihaqi r.a meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila berkahwin seorang hamba itu, maka ia telah memenuhi separuh daripada agamanya. Maka bertakwalah kepada Allah pada separuh yang belum disempurnakan lagi.”

 
Hadis ini menjelaskan bahawa apabila seseorang itu telah berkahwin, maka ia akan terselamat daripada perkara-perkara yang tidak elok yang boleh menjerumuskan dirinya ke dalam kancah dosa dan noda.
Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang mampu berumah-tangga, hendaklah ia berkahwin dengan demikian dapat menundukkan penglihatan dan dapat memelihara kehormatannya. Dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin, hendaklah ia berpuasa kerana dengan berpuasa dapat menghalang keinginan nafsunya.”

(Riwayat Ibn Mas’ud)

 
4. Penghalang maksiat
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang kamu terpaut dengan seorang perempuan lalu memberi kesan dalam hatinya, maka hendaklah dia mendapatkan isteri dan ‘bersamanya’ kerana dengan itu boleh menghilangkan apa yang ada dalam dirinya.”

(Riwayat Muslim)

 
5. Mengikis rasa bimbang akan rezeki
Sesungguhnya Allah s.w.t. menjamin rezeki setiap hamba-Nya.
Sabda Baginda bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan perkahwinan kerana takut miskin maka dia bukanlah daripada golonganku.”
(Riwayat Abu Daud)
Salah satu usaha untuk mendapatkan rezeki adalah dengan mengerjakan solat Duha setiap hari. Allah akan mengurniakan rezeki kepadanya tanpa diduga dan disedari.
Daripada Aisyah r.ha. telah bersabda Rasulullah s.a.w mafhumnya: “Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta.”

(Riwayat al-Imam al-Bazzar)

 
6. Mengembangkan keturunan
Daripada Ma’qal bin Yasar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai.”

(Riwayat al-Imam Abu Daud)

7. Menwujudkan disiplin

• Akan berlaku pengagihan tugas antara suami, isteri dan anak-anak.

• Perkahwinan menjadikan cara hidup mereka kembali kepada fitrah, semuanya mengikut peraturan secara tersusun dan teratur.

• Disiplin tercetus hasil daripada rasa tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak, isteri terhadap suami dan anak-anak dan anak-anak terhadap ibu bapa.

Diekstrak daripada : Kolum Muslimah, Majalah Solusi Isu 16

Monday, April 05, 2010

Dan Akhirnya...External Hard Discku Crash!

Assalamualaikum w.b.t

Menjadi seorang pencatat minit mesyuarat untuk mesyuarat agung tahunan benar-benar menguji kemahiran saya dalam mendengar dan mencatat (juga menaip!). Mujur saya tidak keseorangan. Rakan setugas, Kak Izzah menjadi teman setia saya sepanjang mesyuarat berlangsung. Seperti biasa, komputer riba saya digunakan untuk menyiapkan minit mesyuarat dalam bentuk softcopy. Berjasa sungguh komputer yang ‘diberi’ oleh abang saya ini.

Perjalanan mesyuarat berjalan agak hambar dek kurang mendapat respon daripada para perwakilan. Dalam bahasa mudah, they just follow the flow. Mungkin masing-masing segan dan malu untuk menyuarakan pendapat. Mujur pengerusi tetap menjalankan peranannya dengan baik. Keputusan-keputusan yang diperlukan dalam mesyuarat dapat dibincangkan dan sekali-sekala, bergegarlah juga dewan mesyuarat dengan gelak-tawa perwakilan.

Mesyuarat tamat lebih kurang jam 1.30 petang. Para perwakilan dan ajk asyik menjamu selera dengan juadah tengah hari yang disediakan. Namun, saya masih menumpukan perhatian pada minit menyuarat yang perlu diserahkan segera kepada setiausaha organisasi. Masih terdapat beberapa maklumat yang perlu dilengkapkan. Nota catatan Kak Izzah saya rujuk supaya tiada kesilapan maklumat.

Saya memasukkan thumbdrive milik setiausaha organisasi pada komputer saya dengan berhati-hati. Takut juga jika terdapat virus-virus bahaya menjangkiti komputer riba saya. Tenyata thumbdrive itu benar-benar dijangkiti virus. Mujur Encik Kaspersky berjaya mengesan dan membuangnya. Seperti biasa komputer akan dihidupkan semula selepas proses disinfection. Dokumen berjaya dipindahkan. Alhamdulillah. Lega rasanya. Selesai tugas untuk kali ini.

Saya cuba mengakses external hard disc saya sebelum menutup komputer. Percubaan tidak berjaya. Selepas beberapa kali saya cuba mengakses cakera keras tersebut, komputer memaparkan window yang memerlukan hardware itu diformat. Saya pernah mendapat window yang sama sebelum ini. Namun perasaan saya berbeza kali ini. Resah dan gelisah.




Akses tetap memaparkan hasil yang sama pada dua komputer lain. Dan kali ini saya benar-benar pasrah. HARD DISC saya CRASH!! Akhirnya perkara ini benar-benar berlaku. Cakera keras yang mengumpulkan data sejak awal tahun 2008 hingga kini hanya tunggu diformat dan TIADA BACK UP! Allahurabbi...tabahkanlah hati hamba-Mu ini. Kehilangan data sebanyak lebih kurang 80 GB bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Hal ini tiba tanpa sempat data back up dibuat.

Perkara yang paling dibimbangkan ialah dokumentasi penyelidikan master. Mudah-mudahan masih tersimpan salinan dokumentasi tersebut dalam komputer saya. Jauh disudut hati, saya berharap semoga data-data dalam hard disc ini masih dapat diselamatkan. Terlalu banyak maklumat berharga disimpan di dalamnya. Terasa seperti sebahagian hidupku hilang dalam sekelip mata.Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini ya Allah…

Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina.”

(Al-Mu’min : 60)

Ujian…ujian. Bersangka baik dengan Allah. Mungkin juga ini adalah kifarah dosa untuk diri saya. InsyaAllah ada hikmah disebalik perkara ini. Hmm... it’s not the end of the world (yet!). Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Saya akan mencari ikhtiar supaya data-data yang hilang dapat dikembalikan.

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

(Al-Insyirah: 5-6)