Sunday, November 21, 2010

Belajar Daripada Keldai Berserban

Assalamualaikum w.b.t.

Jom angguk-angguk dan geleng-geleng sebentar~ hayati dua kisah di bawah:

Keldai yang Memakai Serban

Seorang ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin istirahat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya.

Gambar sekadar hiasan

Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu segera menyambutnya.

"Assalamualaikum orang alim," sapa seorang lelaki.

"Selamat datang tuan," sapa seorang yang lain.

Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut.

"Tolong ajarkan kami..." pinta mereka.

"Jadilah guru kepada kami semua."

"Syukur tuan datang. Jika tidak jahillah kami."

Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, "Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?"

Orang-orang kampung pun menjawab, hampir serentak, "Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami."

Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya.

"Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar! Sila kamu semua belajar daripadanya."

Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat "pelajaran pertama" daripada ahli hikmah itu dengan cara yang bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.

Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.

Pengajaran
Ramai antara kita masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau meterial, adalah tidak tepat. Pakaian hanyalah umpama "topeng" yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber: Angguk Geleng, Majalah Solusi Isu No. 4

Gadis Bertudung Labuh Bulat


Kisah keldai tadi mengingatkan saya akan pemakaian tudung labuh bulat dan expectation orang disekeliling terhadapnya.

Memakai tudung labuh bulat sudah menjadi kebiasaan saya sewaktu bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor dahulu. Namun, pemakaiannya saya hadkan hanya untuk sesi pembelajaran di sekolah agama sahaja. Walaupun tidak diwajibkan, namun entah mengapa saya merasakan, pelajar sekolah agama sepatutnya memakai tudung sedemikian lebih-lebih lagi diri saya sebagai seorang pengawas. Namun, lain pula di sekolah menengah. Saya akan mengenakan tudung tiga segi (lerang 40), kemeja dan skirt labuh sebagai pakaian rasmi pengawas di situ. Terasa seperti gipang (gila pangkat) pula menjadi pengawas di kedua-dua sekolah.

Apabila dibandingkan kedua-dua fesyen yang diselang-selikan dalam satu tempoh pembelajaran yang sama, saya menjadi malu dan segan sendiri. Malu pernah mengotorkan kesucian tudung labuh kerana keratan kain itu hanya menjadi 'topeng' seorang pengawas sekolah agama. Tidak langsung terkesan di hati akan hakikat aurat yang sebenar. Jauh benar perbezaanya memakai tudung labuh bulat dengan tudung tiga segi yang hanya berlerang 40! Tamat darjah khas, peringkat tertinggi di Sekolah Agama Johor, tamatlah tempoh pemakaian tudung labuh bulat. Setelah itu, tudung labuh sekolah berwarna putih dan hijau itu hanya menjadi perhiasan almari di rumah. Masih memakai tudung namun hanya tudung-tudung berlerang kecil menjadi pilihan.

Alhamdulillah. Allah Taala mengurniakan saya peluang untuk menghayati erti sebenar penutupan aurat beberapa tahun selepas itu. Syukur atas kurniaan teman-teman yang solehah dan biah yang baik di bumi Tronoh. Saya mula mengenakan pakaian yang lebih sempurna. Hari demi hari, ada kemajuan dalam diri ini terutama dari segi pemilihan saiz tudung. Dari tudung berlerang 40 ke tudung berlerang 50. Dari lerang 55 ke lerang 60. Dan terdetik pula selepas itu untuk memakai kembali tudung labuh bulat. Tudung sekolah agama berwarna hijau tidak lagi dijadikan perhiasan di dalam almari tetapi kembali digunakan seperti sebelumnya. Yang berwarna putih pastinya sudah lusuh ditelan usia.


Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk membawa watak seorang gadis bertudung labuh bulat! Pernah juga ditanyakan perkara ini pada kakak-kakak usrah yang juga menyimpan keinginan untuk memakainya. Namun, masing-masing masih belum bersedia lantaran takut tidak mampu untuk istiqamah untuk membawa watak berilmu dan warak dalam masyarakat. Terdapat juga sesetengah golongan yang menganggap fesyen tudung seperti itu agak kolot dan ketinggalan zaman. Pernah saya tanyakan pada seorang sahabat yang menggalakkan pemakaian tudung labuh bulat semasa kami sama-sama menuntut di sebuah sekolah pondok untuk dua minggu. Menurutnya, menutup aurat dengan sempurna merupakan salah satu tanda penghormatan kepada tempat atau program ilmu seperti itu. Percubaan pertama sememangnya sukar. Namun, alah bisa tegal biasa. Setelah berulang-kali memakainya, akan terbiasa juga. 

Gambar sekadar hiasan

Hati ini pada mulanya ragu-ragu untuk mengenakan tudung labuh bulat sebagai pakaian harian. Namun, saya mengambil pendekatan 'pakaian sebagai pendorong untuk menjaga akhlak'. Pemakaian tudung labuh bulat itu menjadi pendorong untuk menjadi insan yang solehah walaupun diri ini sebenarnya bukanlah begitu. Untuk beberapa ketika saya mampu istiqamah dan ternyata benar membawa watak bertudung labuh bulat bukannya mudah. Lebih-lebih lagi apabila perlu menerima expectation sebagai orang yang berilmu dan warak dalam keadaan diri ini masih lemah dalam penguasaan ilmu agama. Saya masih belum kuat dan layak untuk meneruskannya.

Secara peribadi, saya sangat bersetuju dengan pengajaran kisah ahli hikmah dan keldai bahawa tidak salah memakai topeng yang baik tetapi perlu dipastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai. Saya sangat mengagumi mereka yang mampu untuk istiqamah memakai tudung labuh bulat kerana ia menggambarkan ketinggian ilmu agama dan peribadi serta kekuatan seseorang. Walau bagaimanapun, jangan pula kita memandang rendah pada mereka yang bertudung biasa kerana tafsiran lahiriah belum tentu dapat menilai diri seseorang dengan tepat. Boleh jadi mereka yang hebat dari apa yang kita sangkakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Wallahua'lam.

Mungkin anda ada pendapat berbeza yang mahu dikongsikan disini? Let's discuss~

Carilah Hatimu

Hati ini terasa kosong dan membatu. Kekotoran dan kekusaman hati ini seolah-olah tidak mampu disembunyikan lagi. Ya, mungkin kerana sudah lama tidak mendapat makanan berkhasiat. Tahap kesihatannya juga sudah jarang diperiksa lantaran kesibukan yang berpanjangan.

Bertafakur seketika. Merenung jauh ke lubuk hati yang kian berdebu. Sentuhan amal ibadah yang selalu membersihkan hati ini sudah berkurangan tampaknya. Palit-palit dosa pula semakin mengotorinya. Kata-kata hikmah yang pernah diterima suatu ketika dahulu kembali berngiang-ngiang di telinga.

"Akhirat dijunjung, dunia dipegang. Jika goyah akhirat itu, letakkanlah seketika dunia dan perbetulkanlah kedudukan akhiratmu."



"Carilah hatimu pada tiga tempat.
Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati.
Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kpd Allah,
pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Imam al-Ghazali

Muhasabah diri!