Saturday, August 01, 2009

Wabak menurut Pandangan Islam

Sekadar berkongsi hasil research yang saya lakukan untuk mengetahui persepsi Islam terhadap wabak Influenza A H1N1.

___________________________________________________________________________________


Penyakit selesema babi adalah sejenis penyakit yang menjejaskan sistem pernafasan yang lazimnya menjangkiti haiwan khususnya babi disebabkan oleh virus Influenza jenis A. Pada kebiasaannya wabak haiwan ini tidak menjangkiti manusia, tetapi satu jangkitan luar biasa melibatkan penyebaran penyakit ini daripada manusia kepada manusia telah disahkan oleh Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).


Selesema babi pada manusia boleh menjejaskan semua peringkat umur, mengenai tanda-tanda penyakit ini adalah serupa dengan demam selesema biasa seperti demam panas, sakit tekak, batuk selesema dan sakit pernafasan. Penyakit selesema terbaru ini dikatakan lebih mudarat berbanding selesema sebelumnya kerana ia menggabungkan virus burung, manusia dan babi dan setakat ini tidak terdapat vaksin bagi selesema ini. Menurut laporan, setakat ini berpuluh buah negara yang terjejas dilanda wabak selesema babi ini antaranya ialah Mexico, California, Texas, Ohio, Kansas, New York (Amerika Syarikat), Sepanyol, Kanada, New Zealand, United Kingdom dan Israel.



Pengertian Wabak

Wabak berasal daripada perkataan Arab iaitu waba’, yang bermaksud penyakit yang merebak (berjangkit). Sebahagian ulama mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun. Penyakit taun menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah ialah kudis yang keluar daripada jasad sama ada di siku, ketiak, tangan, jari atau seluruh badan. Ia disertai dengan bengkak-bengkak dan kesakitan yang amat sangat. Ia keluar disertai dengan radang dan sekelilingnya menghitam atau menghijau atau memerah keungu-unguan dan menyebabkan jantung berdebar-debar dan muntah-muntah.


Menurut sebahagian ulama lagi bahawa setiap penyakit taun itu adalah wabak dan bukan setiap wabak itu penyakit taun. Maka berdasarkan pendapat-pendapat ini, dapatlah diambil pengertian bahawa wabak itu ada bermacam-macam jenis penyakit yang merebak mengikut peredaran waktu dan zaman. Apa jua jenis penyakit merbahaya dan menular ia diikategorikan sebagai wabak. Pendapat yang mengatakan bahawa wabak itu adalah penyakit taun, berkemungkinan wabak yang melanda mereka pada zaman atau ketika itu adalah penyakit taun.


Hikmah Ditimpakan Wabak


Wabak yang ditimpakan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada hamba-hamabaNya di muka bumi ini mempunyai hikmah dan tujuan di sebaliknya. Hikmah wabak taun yang melanda manusia adalah berupa azab dan hukuman dan pada saat yang sama ia juga merupakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas mereka, tergantung ke atas siapa wabak itu diturunkan.


  1. Wabak Sebagai Azab Dan Hukuman


Disebutkan di dalam beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa wabak taun yang telah diturunkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala adalah merupakan azab atau hukuman ke atas orang-orang kafir dan orang-orang Islam yang melakukan maksiat sebagaimana yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.


  1. Wabak Sebagai Rahmat Dan Syahadah


Manakala bagi orang-orang yang beriman, wabak adalah merupakan rahmat dan shahadah (ganjaran mati syahid) daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada mereka. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda ditanya oleh Sayyidatuna ‘A’isyah Radhiallahu ‘anha mengenai penyakit taun:


Maksudnya: “Ia (penyakit taun) adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa yang dikehendakiNya. Allah menjadikannya (penyakit taun) rahmat bagi orang-orang yang beriman. Tidak seorang pun daripada hamba yang berada di negeri sedang ada di dalamnya (penyakit taun) - dan dia tetap tinggal di negeri itu tanpa keluar daripadanya dalam keadaan sabar dan mengharap pahala daripada Allah dan dia tahu bahawa dia tidak akan menghidapinya (penyakit taun) kecuali apa yang Allah telah tulis baginya - melainkan baginya pahala seperti orang syahid.”

(Hadits riwayat al-Bukhari)


Menurut kitab Fath al-Bari, maksud hadits “ke atas sesiapa yang dikehendakiNya” ialah orang kafir atau orang yang berbuat maksiat. Apabila wabak taun itu melanda orang kafir, ia adalah azab dan hukuman yang disegerakan ke atas mereka di dunia sebelum di akhirat. Adapun jika wabak taun itu melanda orang Islam yang berbuat maksiat, maka ia adalah sebagai hukuman ke atas mereka disebabkan maksiat dan perbuatan dosa-dosa besar yang mereka lakukan. Ini termasuklah juga mereka yang tidak melakukan maksiat itu, kerana mereka tidak mengingkari atau melarang orang yang berbuat maksiat. Inilah di antara rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu menyegerakan hukuman di dunia.




Bagaimana Menghadapi Wabak Menurut Ajaran Agama Islam?


Islam telah mengajar umatnya untuk melakukan beberapa perkara untuk diambil tindakan dan peringatan apabila mereka dilanda wabak. Perkara-perkara yang diajarkan oleh Islam sebagai garis panduan untuk kita orang-orang Islam dalam menghadapi wabak ialah:


  1. Membaca Qunut Nazilah


Umat Islam disunatkan untuk membaca qunut nazilah di dalam sembahyang lima waktu apabila berlaku perkara yang ditakuti dan memudharatkan umat Islam seperti; kemarau, diserang belalang, hujan yang merosakkan bangunan atau tanaman, takut kepada musuh seperti orang alim atau pahlawan yang dipenjara oleh musuh, dizalimi oleh orang-orang kafir dan termasuklah juga membacanya supaya dihindarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada wabak.


Perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dimana pada tahun keempat hijrah, seramai 70 orang qurra dan penghafaz Al-Quran dari golongan sahabat Nabi telah terbunuh kerana dianiayai oleh kaum Musyrikin di telaga Ma'unah (satu tempat yang terletak di antara Mekah dan Uthfan). Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala (membaca Qunut) pada tiap-tiap sembahyang fardu lima waktu selama satu bulan.


Dalil disyariatkan qunut nazilah :


Anas bin Malik telah berkata: “Rasulullah s.a.w. tidaklah pernah berdoa selepas bangun daripada rukuk kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai atau mengutuk sesetengah kaum itu.” - Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sahih Ibnu Khuzaimah dan juga diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Bulughul Maram, no: 0242


Mengerjakan qunut nazilah ketika terjadinya bencana dalam kaum Muslimin merupakan pegangan mazhab Syafi’i, Hanafi dan juga Hambali. Berkaitan dengan perlaksanaan qunut nazilah ini Syaikh al-Mubarakfury telah berkata: Ini memang dikhususkan pada hari-hari genting dan ketika terjadinya peristiwa menakutkan atau bencana, kerana Nabi s.a.w. tidak pernah membaca qunut kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi kaum muslimin atau memohonkan kebinasaan kaum kafir – Dinukil dari kitab Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karangan Abdullah bin Abdurrahaman al-Bassam, jilid 2, ms. 236


Syaikh Abu Ubaidah pula telah menegaskan: Membaca doa qunut (nazilah) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum muslimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah s.a.w. dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir. - Syaikh Abu Ubaidah Mashur bin Hassan dalam kitab beliau Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 136- 137.


  1. Dilarang Masuk Ke Negara Yang Dilanda Wabak


Umat Islam dilarang daripada memasuki atau mendatangi kawasan yang dilanda wabak penyakit itu. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :


Maksudnya: “Maka sesiapa yang mengetahui berlakunya wabak di suatu tempat janganlah sekali-kali dia datang ke sana...”

(Hadits riwayat Muslim)

Hikmah Larangan

Hadits di atas melarang daripada masuk ke kawasan yang dilanda wabak taun, ini kerana jika seseorang itu masuk ke kawasan tersebut nescaya dia mencampakkan atau mendedahkan dirinya ke dalam kebinasaan, sedangkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang yang sedemikian itu. Firman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “Dan janganlah kamu senghaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)


Hikmah larangan ini juga ialah supaya umat Islam mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi wabak daripada berlaku ke atas mereka terhadap perkara yang tidak diingini itu, sebagaimana yang diperintahkan dalam firman Allah Ta‘ala:


Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh)...”

(Surah an-Nisa’: 71)

Sumber :

1. State Mufti’s Office, Prime Minister’s Office, Brunei Darussalam

2. http://al-fikrah.net/News/article/sid=373.html

3. http://www.religious-affairs.gov.bn/index.php?ch=bm_info&pg=bm_info_khutbah&ac=359

No comments:

Post a Comment