Sunday, November 21, 2010

Belajar Daripada Keldai Berserban

Assalamualaikum w.b.t.

Jom angguk-angguk dan geleng-geleng sebentar~ hayati dua kisah di bawah:

Keldai yang Memakai Serban

Seorang ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin istirahat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya.

Gambar sekadar hiasan

Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu segera menyambutnya.

"Assalamualaikum orang alim," sapa seorang lelaki.

"Selamat datang tuan," sapa seorang yang lain.

Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut.

"Tolong ajarkan kami..." pinta mereka.

"Jadilah guru kepada kami semua."

"Syukur tuan datang. Jika tidak jahillah kami."

Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, "Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?"

Orang-orang kampung pun menjawab, hampir serentak, "Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami."

Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya.

"Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar! Sila kamu semua belajar daripadanya."

Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat "pelajaran pertama" daripada ahli hikmah itu dengan cara yang bersahaja, tetapi sangat sinis sekali.

Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.

Pengajaran
Ramai antara kita masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau meterial, adalah tidak tepat. Pakaian hanyalah umpama "topeng" yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber: Angguk Geleng, Majalah Solusi Isu No. 4

Gadis Bertudung Labuh Bulat


Kisah keldai tadi mengingatkan saya akan pemakaian tudung labuh bulat dan expectation orang disekeliling terhadapnya.

Memakai tudung labuh bulat sudah menjadi kebiasaan saya sewaktu bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor dahulu. Namun, pemakaiannya saya hadkan hanya untuk sesi pembelajaran di sekolah agama sahaja. Walaupun tidak diwajibkan, namun entah mengapa saya merasakan, pelajar sekolah agama sepatutnya memakai tudung sedemikian lebih-lebih lagi diri saya sebagai seorang pengawas. Namun, lain pula di sekolah menengah. Saya akan mengenakan tudung tiga segi (lerang 40), kemeja dan skirt labuh sebagai pakaian rasmi pengawas di situ. Terasa seperti gipang (gila pangkat) pula menjadi pengawas di kedua-dua sekolah.

Apabila dibandingkan kedua-dua fesyen yang diselang-selikan dalam satu tempoh pembelajaran yang sama, saya menjadi malu dan segan sendiri. Malu pernah mengotorkan kesucian tudung labuh kerana keratan kain itu hanya menjadi 'topeng' seorang pengawas sekolah agama. Tidak langsung terkesan di hati akan hakikat aurat yang sebenar. Jauh benar perbezaanya memakai tudung labuh bulat dengan tudung tiga segi yang hanya berlerang 40! Tamat darjah khas, peringkat tertinggi di Sekolah Agama Johor, tamatlah tempoh pemakaian tudung labuh bulat. Setelah itu, tudung labuh sekolah berwarna putih dan hijau itu hanya menjadi perhiasan almari di rumah. Masih memakai tudung namun hanya tudung-tudung berlerang kecil menjadi pilihan.

Alhamdulillah. Allah Taala mengurniakan saya peluang untuk menghayati erti sebenar penutupan aurat beberapa tahun selepas itu. Syukur atas kurniaan teman-teman yang solehah dan biah yang baik di bumi Tronoh. Saya mula mengenakan pakaian yang lebih sempurna. Hari demi hari, ada kemajuan dalam diri ini terutama dari segi pemilihan saiz tudung. Dari tudung berlerang 40 ke tudung berlerang 50. Dari lerang 55 ke lerang 60. Dan terdetik pula selepas itu untuk memakai kembali tudung labuh bulat. Tudung sekolah agama berwarna hijau tidak lagi dijadikan perhiasan di dalam almari tetapi kembali digunakan seperti sebelumnya. Yang berwarna putih pastinya sudah lusuh ditelan usia.


Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk membawa watak seorang gadis bertudung labuh bulat! Pernah juga ditanyakan perkara ini pada kakak-kakak usrah yang juga menyimpan keinginan untuk memakainya. Namun, masing-masing masih belum bersedia lantaran takut tidak mampu untuk istiqamah untuk membawa watak berilmu dan warak dalam masyarakat. Terdapat juga sesetengah golongan yang menganggap fesyen tudung seperti itu agak kolot dan ketinggalan zaman. Pernah saya tanyakan pada seorang sahabat yang menggalakkan pemakaian tudung labuh bulat semasa kami sama-sama menuntut di sebuah sekolah pondok untuk dua minggu. Menurutnya, menutup aurat dengan sempurna merupakan salah satu tanda penghormatan kepada tempat atau program ilmu seperti itu. Percubaan pertama sememangnya sukar. Namun, alah bisa tegal biasa. Setelah berulang-kali memakainya, akan terbiasa juga. 

Gambar sekadar hiasan

Hati ini pada mulanya ragu-ragu untuk mengenakan tudung labuh bulat sebagai pakaian harian. Namun, saya mengambil pendekatan 'pakaian sebagai pendorong untuk menjaga akhlak'. Pemakaian tudung labuh bulat itu menjadi pendorong untuk menjadi insan yang solehah walaupun diri ini sebenarnya bukanlah begitu. Untuk beberapa ketika saya mampu istiqamah dan ternyata benar membawa watak bertudung labuh bulat bukannya mudah. Lebih-lebih lagi apabila perlu menerima expectation sebagai orang yang berilmu dan warak dalam keadaan diri ini masih lemah dalam penguasaan ilmu agama. Saya masih belum kuat dan layak untuk meneruskannya.

Secara peribadi, saya sangat bersetuju dengan pengajaran kisah ahli hikmah dan keldai bahawa tidak salah memakai topeng yang baik tetapi perlu dipastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai. Saya sangat mengagumi mereka yang mampu untuk istiqamah memakai tudung labuh bulat kerana ia menggambarkan ketinggian ilmu agama dan peribadi serta kekuatan seseorang. Walau bagaimanapun, jangan pula kita memandang rendah pada mereka yang bertudung biasa kerana tafsiran lahiriah belum tentu dapat menilai diri seseorang dengan tepat. Boleh jadi mereka yang hebat dari apa yang kita sangkakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Wallahua'lam.

Mungkin anda ada pendapat berbeza yang mahu dikongsikan disini? Let's discuss~

Carilah Hatimu

Hati ini terasa kosong dan membatu. Kekotoran dan kekusaman hati ini seolah-olah tidak mampu disembunyikan lagi. Ya, mungkin kerana sudah lama tidak mendapat makanan berkhasiat. Tahap kesihatannya juga sudah jarang diperiksa lantaran kesibukan yang berpanjangan.

Bertafakur seketika. Merenung jauh ke lubuk hati yang kian berdebu. Sentuhan amal ibadah yang selalu membersihkan hati ini sudah berkurangan tampaknya. Palit-palit dosa pula semakin mengotorinya. Kata-kata hikmah yang pernah diterima suatu ketika dahulu kembali berngiang-ngiang di telinga.

"Akhirat dijunjung, dunia dipegang. Jika goyah akhirat itu, letakkanlah seketika dunia dan perbetulkanlah kedudukan akhiratmu."



"Carilah hatimu pada tiga tempat.
Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat.
Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati.
Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kpd Allah,
pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

Imam al-Ghazali

Muhasabah diri!

Saturday, October 23, 2010

Long Live Yourself!

Umur dan Analogi


Keberkatan Umur


Usia umpama harta. Bukan banyaknya yang menjadi perhitungan tetapi keberkatannya. Harta yang berkat, sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan. Begitulah usia yang berkat, pendeknya bermanfaat, panjangnya melimpah kebaktian.


Pembaziran Umur
Apabila bil air bulanan tiba-tiba melambung tinggi tidak seperti biasanya, pasti kita akan merasa begitu berat  untuk melangsaikan pembayaran bil tersebut. Harga barang semakin hari semakin naik. Kali ini, bil air pula meningkat. Pastinya kita akan tertanya-tanya, "Siapalah yang membazir air nih?" atau "Ada kebocoran di mana-manakah?" Seluruh isi rumah pasti akan diingatkan supaya berjimat cermat menggunakan air agar bil berikutnya tidak lagi menjengkelkan seperti ini. Begitu juga halnya dengan penggunaan elektrik. Jenuh juga jika perlu mengingatkan setiap ahli keluarga untuk memastikan suis lampu, kipas, televisyen  dan peralatan elektrik lain ditutup jika tidak digunakan. Namun itulah yang perlu dilakukan supaya wang ringgit kita tidak melayang akibat pembaziran.

Namun, pembaziran masa jarang-jarang sekali dititik-beratkan sepertimana pembaziran air dan elektrik tadi. Ya, mungkin disebabkan tiada bil khusus untuk merekod sebanyak mana masa yang telah digunakan, maka tiada satu tanda aras yang mampu menunjukkan sama ada kita berjaya menggunakan masa sebaik-baiknya atau sebenarnya kita telah banyak membazir masa sepanjang hidup kita. Pembaziran masa mungkin tidak perlu dibayar dengan wang ringgit. Namun pada hakikatnya, masa jauh lebih berharga daripada emas permata. Pembaziran masa menyebabkan kita kehilangan sesuatu yang apabila hilang tidak akan pernah berganti dan apabila patah, tidak akan pernah tumbuh kembali iaitu UMUR! 


Aliran Umur
Aliran umur diumpamakan oleh hukama seperti memijak air di sungai. Kaki kita tidak boleh memijak air yang sama pada air sungai yang mengalir. Sekali dipijak, air yang kita pijak itu akan terus mengalir ke hilir tanpa dapat dipijak lagi buat kali keduanya. Begitu jugalah usia yang berlalu. Kita tidak akan pernah dapat mengembalikan masa lalu. Jika masa lalu itu kita manfaatkannya dengan baik, kita pasti merelakan pemergiannya. Namun jika sebaliknya, susah tentu kita mengharapkan masa itu kembali semula ke sisi kita dengan harapan kita dapat memperoleh maanfaat daripadanya. Walau bagaimanapun, masa tidak akan pernah menunggu kita. Kitalah yang perlu berusaha bergerak bersama-sama dengan masa yang pastinya tidak akan lelah dari terus berlari sehingga tiba ketentuan Allah.


Panjang Pendek Umur


Manusia yang dilahirkan ke dunia boleh diibaratkan seperti manusia yang menaik bas atau tren. Tidak semestinya individu yang naik terlebih dahulu ke dalam bas atau tren akan turun dahulu. Tidak semestinya individu yang naik kemudian akan turun lebih lambat. Ada masanya individu yang naik kemudian akan turun terlebih dahulu dan sebaliknya. Begitulah panjang pendeknya umur kita di dunia. Tidak semestinya individu yang dilahirkan ke dunia terlebih dahulu akan meninggal dunia dahulu. Tidak semestinya individu yang lahir kemudian, ajalnya akan tiba kemudian. Namun, bezanya dengan menaiki bas atau tren tadi, kita mengetahui tempat dan masa untuk berhenti dan turun tetapi kita tidak akan tahu masa dan tempat kita perlu pulang ke rahmatullah. Ajal seorang hamba Allah telah ditetapkan sejak manusia dia alam rahim lagi. Hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui bila akan tibanya ajal kita. Oleh sebab itu, kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa bersedia bila-bila masa untuk bertemu Illahi.



Umur Dunia di Akhirat

Rasulullah s.a.w bersabda "Umur-umur umatku berkisar antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu." (Riwayat Tirmizi). 

Boleh disimpulkan di sini bahawa jangka hayat umat Nabi Muhamad adalah lebih kurang 63 tahun sahaja. Mereka yang ajalnya sampai lewat daripada jangka hayat ini dikira beruntung kerana dikurniakan lebih masa untuk mengumpul pahala. Namun, ada juga yang ditamatkan hayatnya lebih awal. Jika dibandingkan dengan peredaran masa dunia dengan akhirat iaitu 1 hari di akhirat bersamaan dengan 1000 tahun di dunia, dengan berbekalkan usia 63 tahun kita hanya hidup selama 1 1/2 jam sahaja di akhirat. Sangat singkat!

Bagi saya sendiri, 1 1/2 jam hanyalah tempoh optimum yang saya peruntukan untuk memeriksa dan membalas 4 akaun emel, membaca akhbar-akhbar online (harakahdaily, malaysiakini, berita harian) dan membaca update di facebook atau blog setiap hari. Aktiviti-aktiviti ini hanyalah sekadar warming up sebelum memulakan aktiviti utama yang lain. Tetapi kita hanya mempunyai 1 1/2 jam ini sahaja untuk mengumpulkan bekalan menuju ke alam yang kekal abadi. 1 1/2 jam ini sahaja yang kita ada untuk menentukan sama ada kita berbahagia atau merana di akhirat kelak.



Peperiksaan


"Yang menjadikan mati dan hidup bagi menguji kamu, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya." (Surah al-Mulk: 2)

Allah menjelaskan dalam ayat 2 surah al-Mulk bahawa hidup di dunia ini adalah untuk menghadapi ujian. Hidup di dunia ini boleh diumpamakan seperti menduduki peperiksaan di sekolah atau institusi pengajian lain. Umur sesingkat 1 1/2 jam itu pula adalah tempoh yang diberikan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Individu yang menduduki peperiksaan itu pastinya akan menggunakan masa yang diberikan dengan begitu cermat sebaik sahaja dibenarkan membuka kertas peperiksaan. Satu demi satu soalan dibaca dengan teliti supaya dapat dijawab dengan tepat. Masa seolah-seolah menjadi musuh ketatnya pada waktu itu, berlumba siapakah yang lebih laju.

Jika kita mempunyai mindset bahawa dalam hidup ini kita akan diuji dan tempoh masanya hanyalah sesingkat 1 1/2 jam, maka seharusnya kita mengambil ikhtibar daripada senario menjawab peperiksaan tadi. Seharusnya usia yang dikurniakan kepada kita perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita juga perlu sedar bahawa umur kita akan sentiasa akan bertambah dan pastikan umur kita tidak disia-siakan begitu sahaja.

Modal Perniagaan


"Wahai orang yang beriman! Sukakah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (Surah as-Saff : 10-11)

Oleh kerana usia yang dikurniakan kepada kita hanyalah 1 1/2 jam sahaja, maka kita perlu memastikan tempoh sesingkat ini dimanfaatkan sebaik-baiknya supaya kita tergolong sebagai ahli syurga di akhirat nanti. Dalam ayat ke-10 dan 11 surah as-Saff yang dinyatakan di atas, Allah memberikan tawaran perniagaan yang hebat! Keuntungan daripada perniagaan ini adalah keselamatan daripada azab neraka yang pedih; aktiviti perniagaannya ialah keimanan kepada Allah dan rasul serta berjihad dengan harta dan jiwa kita di jalan Allah; dan modalnya ialah UMUR kita!

Kaedah Memanjangkan Umur

Sila klik gambar untuk baca~

Jadilah Mukmin yang Bijak

Rasulullah s.a.w menerusi sabda baginda yang dilaporkan oleh Abdullah Ibn Umar "Aku bersama dengan Rasulullah. Kemudian datang kepada baginda seorang lelaki daripada kalangan Ansar dan memberi salam ke atas Nabi s.a.w kemudian berkata, 'Wahai Rasulullah, siapakah Mukmin yang terbaik?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling baik akhlaknya.' Dia bertanya lagi, 'Maka siapakah Mukmin yang paling bijak?' Nabi menjawab, 'Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang terbaik ialah yang melakukan persediaan untuk selepas itu. Itulah orang yang paling bijak.'" (Riwayat al-Baihaqi no. 10550)

Setiap hari adalah penghidupan yang baru bagi orang bijak. Belajarlah melupakan kelmarin. Jangan khuatir tentang hari esok dengan berfikir serta bekerja untuk hari ini. Katakan pada diri, seolah-olah tidak ada esok bagi kita maka tidak ada kata tangguh. Kenapa manusia suka bertangguh? Kerana dirasakannya esok masih ada, lalu apa katanya? Tunggulah nanti! Padahal memanjangkan umur bukan dengan bertangguh tetapi dengan  memanfaatkan sepenuhnya masa yang sedang berada dalam genggaman. Hari ini ialah masa yang hendak dipanjangkan. Bukan hari esok!

Adaptasi daripada: Pahrol Mohamad Juoi, artikel "Orang Bijak Panjang Umur" dan "Ya Allah Panjangkan Usiaku", kolum ISU, Majalah Solusi 24, 2010.

Tuesday, October 12, 2010

Berhijrah Menghindar Fitnah

Assalamualaikum wbt...

Sekadar mengambil sedikit masa untuk mengemaskini blog yang agak lama saya tinggalkan lantaran kerja-kerja Graduate Assistant dan Master yang agak banyak sejak kebelakangan ini.

Kali ini seseorang mahu berkongsi sesuatu...

Untuk tatapan pembaca sekalian, saya titipkan sekeping karya usang yang diberi 'nafas' baru. Komik berjudul Hijrah ini merupakan komik pertama saya di kampus UTP sempena menyertai pertandingan melukis komik Maal Hijrah anjuran Rakan Masjid pada tahun 2005 yang lalu. Walaupun karya ini disiapkan pada saat-saat akhir sebelum dihantar kepada pihak penganjur, tetapi alhamdulillah...komik ini mendapat tempat kedua dalam pertandingan tersebut.  

Semoga bermanfaat untuk semua...



Huraian hadith:

Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.


Diadaptasi daripada:
1. Aurat: Apa Sudah Jadi?, www.zaharuddin.net
2. Fitnah Terbesar, Himpunan Hadith Harian JAKIM

Monday, September 06, 2010

Eid Mubarak 1431

Salam...



Dear all,

Eid Mubarak 1431

Mohon maaf atas segala salah dan silap

Taqabalallahu Minnaa Wa Minkum

Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua sepanjang Ramadhan

Minal Aidin wal Faizin

Take Care ye!


(dedicate this raya song to all)



Salam Kemaafan



Yang jauh dirindu
Berkirim salam berpesan selalu
Tersemat di hati
Pahit manis hidup yang dilalui

Saling bermaafan
Bersama eratkan silaturrahim
Bersyukur kita atas rahmat-Nya
Di hari mulia

Salam kemaafan
Diiringi salam kerinduan
Bagaikan cahaya
Menerangi alam kegelapan

Lama sudah tidak berpandangan
Terasa rindu kian mencengkam
Biarlah di hari mulia ini
Bertemu kembali

Di pagi Syawal penuh mulia
Ku dengar suara takbir bergema
Memuji Allah yang Maha Esa
Hingga berlinangan airmata

Salam dihulur maaf dipinta
Moga terlerai segala dosa
Biarlah tersambung semula
Ikatan kita

Ku bersyukur di atas rahmat-Nya
Ku bersyukur di atas nikmat-Nya
Agar menjadi keberkatan
Di Syawal mulia

Monday, August 30, 2010

Be Yourself But A Better One~

Assalamualaikum w.b.t

Evolusi Diri

 " Hye~ "
" How'z life "
" Hope fine "
" Fren 4 eva "
" B . S . U . R . S . I . C . U . B . 4 "
" All the best! "
" C . U Soon "
" Bye "

Sewaktu zaman sekolah rendah dahulu, saya dan teman-teman sekelas sering memberi dan menerima ucapan seperti kata-kata di atas. Just a simple, touching English wishes. Ucapan seperti ini selalunya dititipkan bersama hiasan-hiasan comel sebagai tanda cinta kasih kepada seorang teman. Saya masih menyimpan warkah penuh dengan ucapan seperti ini hingga kini. Kadang-kala saya tersenyum sendirian mengenangkan kenangan pahit manis bersama mereka tika itu.

Gambar kenangan Darjah 5 Anugerah. Saya berada di barisan belakang sekali, 5 dari kanan.

Dahulu, saya pernah digelar kera sumbang kerana tidak pandai bersosial. Saya pernah juga dianggap memilih-milih kawan kerana selalu berkawan dengan orang-orang pandai sahaja. Bukan niat saya untuk bersikap kera sumbang atau memilih-milih kawan. Saya seorang yang sangat (sangat) pemalu pada waktu itu sehingga tidak pandai bergaul.Guru kelas pula gemar membahagikan kumpulan meja mengikut pencapaian akademik. Maka saya lebih rapat dengan teman-teman sekumpulan.

Sikap sangat (sangat) pemalu itu sedikit sebanyak dapat diatasi sejak menyertai badan beruniform Pengakap JB128 sewaktu di sekolah menengah rendah. Hmm...tetapi terlebih sosial pula waktu itu kerana badan beruniform ini sudah pasti lebih ramai lelaki berbanding perempuan. Dalam pada masa yang sama, saya juga mempunyai 'geng' sendiri. Salah seorang daripada mereka pernah mengatakan bahawa dia tidak suka dengan sikap saya yang terlalu naif. Terpengaruh dengan kritikan ini menyebabkan saya mengubah diri ke arah yang diharapkannya.

Namun, betapa sayangnya Allah pada diri ini, Allah telah mengurniakan saya roomates muslimah sewaktu menyambung pengajian di MRSM. Saya mula mengenali handsock melalui mereka. Saya mula terdetik untuk memakai kembali tudung labuh dan stokin ketika itu. Sebelum ini tudung labuh dan stokin hanya dipakai semasa bersekolah di Sekolah Agama Kerajaan Johor sahaja. Melalui mereka juga saya mengetahui apa itu Qiamulail walaupun saya hanya menjadi peneman setia untuk mengambil wuduk setiap kali teman saya mahu mengerjakan Qiamulail.

Tidak pernah berqiamulail menjadi pendorong untuk saya menyertai Lajnah Tarbiyah Rakan Masjid di kampus. Lajnah yang diketuai oleh Akhi Amir Fadhli ketika itu dipilih kerana saya bertekad untuk memperbaiki diri. Memang benar lajnah ini mampu mentarbiyah ahli-ahlinya. Namun, satu tugas berat yang perlu juga digalas sebagai ahli ialah mentarbiyah warga kampus. Hari demi hari, minggu demi minggu, tahun berganti tahun...dengan Rakan Masjid saya bermula, hidup saya sebagai mahasiswa sarjana muda juga berakhir dengan Rakan Masjid.

Kini, kira-kira hampir 6 tahun saya bermastautin di bumi Tronoh. Bumi ini terlalu istimewa untuk ditinggalkan. Terlalu banyak kisah suka duka, naik turun hidup saya berlaku di sini. Bumi Toronto Malaysia ini juga telah menyaksikan 'evolusi' diri saya sejak tahun 2005. Hebat sungguh hikmah yang tersirat disebalik Allah mentakdirkan saya untuk terus berada di sini dan bukannya UIA - pernah menolak tawaran belajar di sana. Begitu halus dan telitinya perancangan yang disusun oleh Yang Maha Esa menyediakan diri saya yang sekarang. Maaf kepada teman-teman lama, saya tidak mampu untuk be as i am as you see me before~

Berubah : Sifat Orang Berjaya

Apabila kita berada dalam kedaan comfort zone, merasai kehidupan yang tenang tanpa sebarang masalah yang menyesakkan minda, kadang-kala menyebabkan kita hanya berada di takuk yang sama. Seruan 'ayuh berubah' tidak terkesan. Hanya meraka yang bermasalah, yang merasa tiada jalan lain untuk memperbaiki kehidupan akan menyahut seruan tersebut. Namun, perlukah semua orang berubah? Perlukah berubah? Untuk menjawab persoalan ini, sekurang-kurangnya ada dua sebab yang memerlukan kita berbuat demikian. Yang pertama ialah sunnatullah dan yang kedua ialah syariatullah [1].

Sunnatullah atau hukum alam (law of nature) menetapkan bahawa semua makhluk berubah. Yang tidak berubah hanya Allah S.W.T. Kita sebagai makhluk yang lemah tidak dapat mengelak daripada perubahan [1]. Namun perubahan apa yang kita perlu lakukan? Ada dua bentuk perubahan, ke arah yang lebih baik atau ke arah yang lebih buruk.

Cerdik pandai pernah mengungkapkan," Orang yang beruntung adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang  yang rugi adalah orang yang hari ini sama seperti semalam. Dan orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam" [1]. Kita sendirilah yang perlu memilih arah perubahan diri kita sama ada mahu menjadi orang yang beruntung, rugi ataupun celaka. 

Dari sudut syariatullah pula, Allah dan Rasul-Nya menuntut kita berubah malah kita diwajibkan berubah daripada jahat kepada baik. Selepas pembukaan Kota Mekah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Tiada hijrah selepas pembukaan Kota Makkah tetapi (yang masih berterusan) ialah jihad dan niat." (Riwayat Muslim no 4938) [1].


Tiada insan yang sempurna di muka bumi ini. Jika kita merasakan kita sudah menjadi yang terbaik, akan sentiasa wujud room of improvement dalam diri kita. Dan perubahan tidak harus terhenti dengan 'tahu' dan 'mahu' berubah sahaja. Kita perlu berusaha sehingga berjaya dalam 'perjuangan' merubah diri. Orang yang berjaya ialah yang berubah dengan pilihan (by choice) iaitu memilih dan mengawal arah perubahan. Mereka tidak berubah kerana paksaan (by chance) iaitu terpaksa berubah. BERUBAH adalah sifat orang BERJAYA! [1].




Menjadi Diri Sendiri atau Orang Lain





"Kenapa saya perlu berubah menjadi orang lain?! Biarlah saya jadi diri saya sendiri!"

Mungkin anda juga pernah mendengar dialog seperti di atas sebelum ini. Ya, perkataan 'jadi diri sendiri' atau 'be your self' selalu bermain-main di benak mereka yang sedang di persimpangan antara ingin mengubah diri atau tidak. Hehe~ saya sendiri juga pernah menyatakan persoalan yang sama apabila ada yang menegur tentang sikap, perwatakan atau tingkah laku saya. Selalunya, saya akan lebih berang apabila diri ini dibanding-bandingkan dengan orang lain. Lantas menjawab dalam hati, "Dia lain, aku lain...kenapa mesti compare diriku dengan orang itu..."

Benarkah dengan kita mengubah diri akan menghilangkan identiti diri kita?
Adakah dengan kita mengubah sikap, perwatakan atau tingkah laku menjadikan kita insan lain?


Benar Allah mengurniakan kemampuan yang berbeza-beza untuk setiap hamba-Nya. Namun, tidak salah sekiranya kita mengambil contoh, teladan dan ikhtibar daripada orang lain yang hakikatnya lebih baik daripada kita. Jika kita merasakan diri kita mulia, merasakan diri kita hebat, keegoan akan menghalang kita daripada melihat hikmah di sebalik perbandingan itu.





Mengambil contoh daripada orang lain untuk berubah, bukanlah bermaksud kita menjadi orang lain. Sifat-sifat  seorang manusia boleh dimiliki oleh sesiapapun. Tiada copyrighted dalam pemilikan sifat-sifat seorang manusia. Cuma, sebagai hamba Allah yang beragama Islam, kita perlu memiliki sifat-sifat seorang Muslim supaya Islam itu sendiri tidak diftinah. Sebarang sifat mazmumah perlu dihindari dan sifat-sifat mahmudah perlu dimiliki.


Sekiranya kita memiliki sifat-sifat buruk, buanglah sifat itu jauh-jauh dan gantikanlah dengan yang baik. Sekiranya sifat yang ada pada kita sudah cukup baik, perbaikilah diri supaya kita menjadi lebih baik. Yang berubah itu sebenarnya sifat kita bukanlah 'diri' kita. Andai kata seseorang berubah 360 darjah, sekiranya orang itu dilahirkan dengan berdarah Jawa, sampai ke hujung nyawa sekalipun orang itu tetap berdarah Jawa (hehe~ terasa di situ).

Jadilah Diri Sendiri yang Lebih Baik!

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud : "Orang Muslim sebenar ialah ialah orang yang menyelamatkan orang Islam lain daripada kejahatan lidah dan tangannya. Dan muhajir (orang yang berhijrah sebenar) ialah mereka yang berhijrah daripada apa yang dilarang Allah (kepada perkara yang baik)."

Riwayat Al-Bukhari No. 10 [1]


Perubahan tidak akan mengorbankan identiti asal diri kita. Jadilah diri sendiri tetapi diri sendiri yang lebih baik. Be yourself but a better one! Mulakannya di bulan Ramadhan mulia ini.


Rujukan :
[1] Majalah Solusi Isu No. 15

Friday, August 20, 2010

Amalan-amalan Terbaik di Bulan Ramadhan

Salam...

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu"

Hadith Riwayat Bukhari

Sekadar mahu berkongsi satu tazkirah pendek oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman tentang amalan-amalan terbaik untuk dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Tinggal 20 hari sahaja lagi untuk merebut peluang keemasan, meraih sebanyak-banyak pahala dalam bulan penuh berkah ini.
  1. Melakukan Solat Subuh berjemaah.
  2. Memperbanyakkan berdoa sepanjang berpuasa terutama waktu hampir berbuka puasa.
  3. Memberikan makanan berbuka puasa kepada orang lain terutama dalam tempoh 10 Ramadhan terakhir.
  4. Melakukan solat sunat Witir terutama ketika hampir masuk waktu Subuh.
Untuk penerangan lanjut tentang amalan-amalan ini, bolehlah tonton video dibawah. Semoga bermanfaat~

Jom 'check list' amalan kita!

Thursday, August 19, 2010

Apabila Orang IT Berkarya~

Salam...

Apabila orang IT berkarya...microsoft excel pon boleh hasilkan KHAT!

Ramadhan yang mulia

Tahniah / Thousands of blessing

Ramadhan : Mengajar Erti Kesabaran dan Kesetiaan

Salam...

Hari ini merupakan hari ke-9 dalam bulan Ramadhan tahun 1431 hijrah. Cepat sungguh masa berlalu. Walaupun sudah menempuh hampir 1/3 bulan mulia penuh keberkatan ini, terasa diri ini masih tidak dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peluang yang hadir hanya lebih kurang 8% daripada hari-hari kita dalam setahun. Kita telah dipelihara daripada gangguan dan hasutan syaitan. Yang tinggal menjadi seteru kepada al-quran dan aqal saat ini hanyalah nafsu.

"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)"

Ali-Imran:135

Perlu bermujahadah melawan nafsu! Berkatalah "Sesungguhnya aku sedang berpuasa..." ketika perasaan tidak sabar membaluti hati. Setialah melakukan ibadah dan berdoa , meninggalkan larangan Allah untuk merebut rahmat dan keberkatan Ramadhan Karim ini.

Wallahua'lam

Salam Ramadhan untuk semua.
(P/s: Just wanna dedicate my fav Ramadhan song to my dear readers...)

Lagu : Ramadhan
Munsyid : Brothers



Bertemu kembali dengan Ramadhan
Kurasakan bahagia menyelubungi
Ya Allah daku bersyukur
Kau pertemukanku semula
Ramadhan yang mulia

Di Ramadhan ya Allah
Rahmat-Mu kurasa
Kubanyakkan beribadah
Kutahu pengampunan-Mu melangit tinggi

Ramadhan rahmat dari Illahi
Bannyakkan ibadah dan berdoa
Hapuskan dosa dan tingkatkan pahala
Semoga beroleh maghfirah
Moga kita akan jadi hamba yang setia

Ramadhan menyedarkan aku
Kesusahan yang dialami oleh insan lain
Ramadhan ujian Illahi
Mengajar erti kesabaran dan kesetiaan

Di Ramadhan ya Allah
Rahmat-Mu kurasa
Kubanyakkan beribadah
Kutahu pengampunan-Mu melangit tinggi

Ramadhan rahmat dari Illahi
Banyakkan ibadah dan berdoa
Hapuskan dosa dan tinggatkan pahala
Semoga beroleh maghfirah
Moga kita akan jadi hamba yang setia

Andainya ini Ramadhan terakhir bagiku
Kuharap ianya akan membelaku
Di akhirat nanti 

Sunday, August 01, 2010

Jawa Mari~

Lama juga tidak merasa masakan Jawa. Tempoh hari saya dan Adlina diundang oleh Cik Sakinah Ummah untuk memasak (rasa macam chef jemputan pula...jangan marah ye Cik Sakinah Ummah) dan menu pilihan ialah Tempe Goreng Berempah Sambal Kicap, Sambal Goreng Jawa dan Sambal Udang. Saya dan Cik Sakinah Ummah begitu teruja memandangkan kami sama-sama orang Johor dan orang Jawa. Dapat menjamu lauk-lauk berunsurkan tempe merupakan satu nikmat bagi kami. Hehe~


Sambal Goreng Jawa. Kali terakhir saya memasak menu ini...sewaktu menyediakan makanan tengah hari untuk gathering bersama sahabat praktikal di Rimba Jimbara (berhampiran dengan Zoo Negara). Memasak bersama Kak 'Iffatun, juga orang Jawa.


Sambal Udang air tangan Cik Sakinah Ummah. Memang superb pedas~

Gambar Tempe Goreng Berempah Sambal Kicap tidak sempat diambil kerana telah habis dimakan. Angkat sahaja dari cooker lesap, angkat sahaja hilang. Memang enak dimakan ketika masih panas. Hampir kesemuanya  'masuk' ke dalam perut tanpa sempat dihidangkan. Thanks to Cik Sakinah Ummah atas jemputan memasak. Sudah lama juga  tidak memasak sejak berpindah dari rumah sewa. Lain rasanya memasak menggunakan dapur gas dengan multi-purpose cooker. Tetapi dapat menikmati keenakan masakan Jawa tempoh hari..memang sangat puas hati.

Tuesday, July 27, 2010

Dia Tidak Akan Dapat Melihatku

 Gambar hiasan

Asma' binti Abu Bakar r.a meriwayatkan bahawa selepas turun firman Allah SWT: "Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan benar-benar binasa dia" (Al-Masad:1), Ummu Jamil isteri Abu Lahab sangat marah kepada Rasulullah s.a.w. Ummu Jamil menghina Rasulullah s.a.w. dan Islam dengan kata-kata yang keji. Kemudian dia pergi ke Masjidil Haram untuk mencari Rasulullah s.a.w dengan niat ingin menyakiti baginda.

Ketika itu, Rasulullah s.a.w sedang duduk bersama Abu Bakar As-Siddiq r.a di hadapan Kaabah. Melihat Ummu Jamil datang, Abu Bakar r.a berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Wanita ini datang mendekati kita dan aku khuatir apabila dia melihat anda." Rasulullah s.a.w menjawab, "Dia tidak akan dapat melihatku."

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT: "Dan apabila kamu membaca Al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup." (Al-Israa':45)

Ummu Jamil menghampiri mereka dan berdiri di hadapan Abu Bakar r.a. Ummu Jamil berkata: "Hai Abu Bakar, telah sampai khabar kepadaku bahawa sahabatmu (Nabi Muhammad s.a.w) telah menghinaku." Abu Bakar menjawab, "Tidak, demi Tuhan Kaabah dia tidak menghinamu." Ummu Jamil berasa kesal kerana tidak berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian dia berlalu pergi seraya berkata, "Orang Quraisy mengetahui bahawa aku adalah anak perempuan kepada pemimpin Quraisy." (Riwayat Abu Ya'ala)

Thursday, July 15, 2010

Nyawa Bergantung di Hujung Rambut

Salam...

Seluar slek yang tercarik akibat kemalangan petang tadi saya tatap. Masih jelas tergambar bagaimana tayar-tayar besar trailer hijau tadi menghimpit motorsikal kami. Allahurabbi...mujur tayar-tayar itu tidak menggilis tubuh kami berdua. Mujur juga lapisan stokin yang saya pakai cukup tebal  dan panjang untuk melindungi kulit saya daripada menjadi mangsa geselan kenderaan berat itu. Seluar sahaja yang terkesan.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati..."
(Ali-Imran:185)

Saat itu terasa bagai nyawa bergantung dihujung rambut. Ya, setiap yang bernyawa pasti akan mati. Namun, hanya Allah Maha Mengetahui tanggal, masa dan detik sampainya ajal kita. Alhamdulillah Allah masih memberi peluang kepada kami untuk terus hidup, terus berjuang mengumpulkan bekalan menuju ke akhirat. Mungkin ini merupakan teguran Allah atas dosa-dosa yang pernah dilakukan. Syukur sekiranya apa yang berlaku merupakan kifarah dosa. Semoga dosa itu tidak akan mengheret diri ini ke neraka kelak.

Istighfar!


P/s: Kepada my dear pembonceng...maaf atas kelalaian diri ini.


Saturday, July 10, 2010

Wujudkan Budaya Menyumbang

Assalamualaikum w.b.t

Mendidik Sifat Pemurah Dalam Diri

Tabung As-Siddiq

Setiap kali saya melangkahkan kaki ke Baitul Makmur, bilik mesyuarat milik Rakan Masjid di Masjid Lama, setiap kali itu jugalah saya akan 'bertemu' dengan sebuah kotak yang sangat istimewa. Hiasan bulan dan tulisan Tabung As-Siddiq yang membaluti kotak itu kelihatan agak lusuh. Warnanya begitu pudar. Itulah kotak kasut yang telah ditukar fungsinya menjadi sebuah tabung yang digunakan untuk mengutip hasil infaq setiap kali mesyuarat MTME dan liqa' Rakan Masjid diadakan lebih kurang dua tahun yang lalu. Teringat kenangan pahit manis sewaktu saya memegang jawatan bendahari 2 Rakan Masjid Sesi 2008/2009.

Tabung itu merupakan satu inisiatif untuk mendidik ahli-ahli Rakan Masjid untuk menyumbang, untuk memberi infaq. Hasil kutipan tabung itu kemudiannya digunakan untuk menyokong perbelanjaan Rakan Masjid dalam menggerakkan agenda 'Membina Bi-ah Solaheh' di bumi UTP dan qariah sekitarnya. Pada waktu itu, saya tidak begitu mahir dalam menguruskan hal ehwal kewangan persatuan. Berkat bimbingan daripada rakan setugas, banyak perkara yang dapat saya pelajari sepanjang memegang peranan sebagai bendahari termasuklah kepentingan mewujudkan budaya menyumbang/infaq dalam sebuah badan Islam!


Pada peringkat awal tabung ini dicadangkan, kami  begitu ketandusan idea hendak memilih nama yang sesuai untuk menggambarkan peranannya sehinggalah rakan setugas saya menceritakan kisah Saidina Abu Bakar dalam perang Tabuk. As-Siddiq akhirnya dipilih sebagai nama tabung bersempena dengan nama gelaran sahabat Nabi Muhammad s.a.w ini. Kisah pengorbanan Saidina Abu Bakar yang sanggup menyerahkan keseluruhan harta yang dimiliki beliau untuk perang Tabuk diambil sebagai sumber inspirasi dan motivasi dalam mendidik sifat pemurah dalam diri setiap ahli.

Pengorbanan As-Siddiq

Dalam perang Tabuk, apabila Nabi Muhammad s.a.w melancarkan tabung bantuan perang untuk persediaan angkatan perang. Para sahabat menyumbang mengikut kemampuan masing-masing. Saidina Uhtman dan Abdul Rahman bin Auf menyumbang sejumlah yang besar. Begitu juga  dengan Saidina Umar yang menyumbangkan separuh daripada hartanya.

Saidina Abu Bakar juga tidak ketinggalan untuk menyumbang. Setelah mendengar kekasih Allah itu mengumumkan tentang bantuan perang yang diperlukan, beliau pulang menemui isteri beliau dan memintanya mengumpulkan semua harta yang ada tanpa meninggalkan sedikitpun.

Apabila Saidina Abu Bakar berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w, baginda bertanya, "Apakah sumbangan kamu wahai Abu Bakar?"

Saidina Abu Bakar menyerahkan sumbangan beliau dan menjawab, "Inilah semua harta yang ada pada saya." 

Baginda bertanya lagi, "Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu?" 

"Saya tinggalkan untuk mereka, Allah dan Rasul", Saidina Abu Bakar menjawab dengan tegas. Hal ini membawa erti, selagi Allah ada dan selagi Rasul ada, tidak mungkin keluarga beliau akan berhadapan dengan masalah.

Sejak itu, Saidina Umar menekad tidak akan bersaing lagi dengan Saidina Abu Bakar. Walaupun jumlah sumbangan beliau jauh lebih banyak daripada Saidina Abu Bakar, namun  Saidina Abu Bakar menyumbang keseluruhan harta yang dimiliki beliau. Begitu besar pengorbanan Saidina Abu Bakar.

Begitu hebat sahabat-sahabat yang mendapat tarbiyah secara langsung daripada Nabi Muhammad s.a.w. Masing-masing bersaing dalam melakukan kebaikan. Dan sungguh tahap pengorbanan yang ditunjukkan dalam kisah ini seharusnya menjadi satu suntikan semangat kepada kita untuk  sentiasa menyumbang dan memberi!

Rasulullah Paling Banyak Memberi!

Kebiasaanya, ramai yang agak berat untuk menyumbang lebih-lebih lagi tatkala diri sendiri dalam kekurangan. Namun, Rasulullah s.a.w menunjukkan contoh terbaik apabila baginda sendiri menyumbang semasa baginda susah atau senang.

Rasulullah s.a.w sumber motivasi terbaik!

Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w merakamkan baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah s.a.w memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang baginda memberi penuh kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima pemberiannya penah berkata: "Dia memberi tanpa takut kepada kekurangan."

Sebuah
hadis daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, "Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, 'Ya Allah berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau mensedekahkan) hartanya.' Sedangkan malaikat yang kedua berdoa 'Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.'" (Riwayat Bukhari no. 2383)
.

Jom Menyumbang!


Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah ayat 261: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Yakinlah bahawa Allah akan melipatgandakan pahala setiap apa yang kita sumbangkan pada jalan-Nya. Jom menyumbang!

Sumber : 
  1. Solusi Isu No.14
  2. Jejak Rasul 13
P/s: Baru-baru ini, saya menghadiri ceramah Palestin dan penceramah, Ustaz Imran Al-Malizi menekankan bahawa jihad bagi umat Islam yang berada di luar Palestin adalah fardu ain dengan harta-bendanya berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr. Yusof Al-Qaradawi. Hukum bersedeqah untuk Palestin adalah fardu ain dan bukannya sunat.