Monday, March 23, 2009

Tidak Pernah Tua untuk Bertaubat

Salam’alaik…

Pada Hari Raya Aidiladha yang lalu saya dan keluarga telah pulang ke kampung di Batu Pahat, Johor seperti biasa. Walaupun perayaan ini tidak begitu diraikan dalam keluarga saya namun kami tetap pulang sebagai mensyukuri salah satu nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Kebiasaannya, kenduri untuk arwah ja’ie (panggila untuk datuk dalam bahasa Jawa) akan diadakan setiap kali Hari Raya Aidiladha kerana arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari mulia ini beberapa tahun yang lepas tetapi kerana ibu saudara dan bapa saudara saya (yang tinggal di kampung) sedang mengerjakan ibadah haji, maka kenduri tersebut ditangguhkan sehingga mereka pulang nanti (ingin diadakan kenduri arwah dan kenduri kesyukuran sekali gus).

Kami tiba di sana sehari sebelum hari raya supaya dapat membantu persiapan menyambut perayaan ini. Oleh kerana sudah ramai ibu-ibu saudara dan nenek-nenek yang membantu kerja-kerja dapur, saya hanya memerhatikan sahaja dari jauh. Menunggu sekiranya khidmat saya diperlukan. Bukan apa…tidak mahu mengganggu kemeriahan yang telah sedia ada. Hidangan yang disediakan sama seperti hidangan Hari Raya Aidilfitri seperti lepat, lontong, kuah lodeh dan ayam masak merah. Dalam banyak-banyak hidangan ini, makanan kegemaran saya ialah lepat yang diperbuat daripada pulut, kepala dan ubat mi. Saya pasti tidak ramai yang tahu tentang makanan ini dan mungkin orang-orang yang berketurunan Jawa sahaja yang tahu dan pernah menjamahnya.

Teringin juga hendak membawa sedikit untuk sahabat-sahabat di kampus tetapi oleh kerana makanan ini agak leceh untuk dibuat dan hanya boleh bertahan lebih kurang tiga hari, jadi agak sukar juga untuk dibawa dari Johor ke Perak. Perlu menunggu sahabat-sahabat datang ke Johor agaknya.

Pada pagi hari raya, hujan turun dengan lebat. Saudara-saudara saya yang lelaki sibuk menyiapkan diri untuk solat Hari Raya Aidiladha. Saya juga tidak melepaskan peluang yang hanya datang sekali dalam setahun ini. Saya kagum dengan kesungguhan nya’ie (panggilan untuk nenek dalam bahasa Jawa) saya yang juga ikut bersama-sama kami. Usianya lebih kurang 90 tahun tetapi masih gagah untuk melakukan ibadah sunat ini.

Kehadiran muslimat ke Masjid Lorong 4, Parit Kg. Baru Sri Gading ini tidaklah seramai yang hadir untuk solat Hari Raya Aidilfitri (mungkin juga disebabkan oleh hujan yang turun dengan lebat pada pagi itu). ‘Trend’ yang berlaku di kampung ini ialah kebanyakan jemaah muslimat yang hadir ke masjid terdiri daripada orang-orang yang sudah berumur (saya pasti trend ini juga berlaku di tempat lain). Sedikit sekali bilangan muslimat muda yang datang. Alhamdulillah Allah masih mengurniakan saya hidayah untuk merasai nikmat solat sunat ini. Sebagai seorang muslimat, jarang-jarang sekali berpeluang mendengar khutbah di masjid.

Terdetik juga dalam hati, “Adakah aku perlu tunggu tua untuk aku lakukan ibadah seperti ini?”

“ Adakah aku perlu tunggu tua, baru hendak sibuk memperbanyakkan ibadah?”

“Adakah aku perlu tunggu tua baru hendak bertaubat?”

“ Sempatkah aku tua?”

Sempatkah aku tua? Persoalan yang sungguh menginsafkan. Melihatkan mak cik-mak cik dan nenek-nenek yang jalan terhinjut-hinjut menuju ke masjid, terpaksa duduk untuk mengerjakan solat, terpaksa menahan kesakitan sendi-sendi terutamanya di lutut semasa rukuk dan sujud, bacaan yang kadang-kadang kurang tepat dan pelbagai kesukaran lainnya menyebabkan saya sedar. Sedar yang sebenarnya waktu mudalah waktu yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah. Dengan aqal yang masih waras, ingatan yang masih tajam, jasad yang masih bertenaga dan tulang-temulang serta sendi-sendi yang masih kuat, kita dapat melakukan ibadah dengan lebih berkualiti.

Hari Raya Aidiladha ini juga menjadi medium untuk mengeratkan silaturrahim. Sanak-saudara pulang ke kampung membawa anak masing-masing menjadikan rumah usang ini kembali ceria. Walaupun hanya untuk sehari-dua namun ia mampu mengubat kerinduan nya’ie terhadap anak-cucunya. Saudara-saudara yang berhampiran turut datang melawat, memeriahkan lagi hari raya kali ini. Ramai juga sanak-saudara yang pulang semula ke rumah masing-masing apabila petang 10 Zulhijjah 1429 menjelang. Tidak dapat cuti. Begitu juga dengan keluarga saya. Tetapi saya tidak ikut pulang ke Johor Bahru kerana ada perancangan lain yang memerlukan saya untuk berada lebih lama di Batu Pahat sebelum ke destinasi seterusnya. Akhirnya rumah usang ini, kembali sunyi. Tinggallah nya’ie, nya’ie Timah, Wak Jarrah (Wak ialah panggilan untuk pangkat mak cik atau pak cik dalam bahasa Jawa) dan saya.

Hampir seminggu saya tinggal bersama mereka di kampung sementara menunggu hari untuk bertolak ke Kuala Lumpur. Banyak perkara yang saya belajar apabila tinggal bersama mereka. Saya dapat menelusuri perjalanan hidup sebagai orang tua. Mungkin inilah hidup yang saya akan alami kelak. Apabila bangun pagi, mereka memasak untuk sarapan pagi, apabila matahari sudah naik, mereka memasak untuk tengah hari pula, lauk-pauk tengah hari dipanaskan untuk makan malam, makan ubat apabila tiba masanya dan waktu senggang dipenuhi dengan berbual sesama sendiri. Perbualan yang ringan seperti ayam belaan, kucing, sanak-saudara, banjir, orang-orang yang lalu-lalang di hadapan rumah dan sebagainya. Sekiranya ada yang tidak kena pada mata mereka, terpaksa jugalah menahan telinga mendengar leteran. Sebenarnya leteran itulah nasihat yang berguna untuk orang-orang muda seperti saya (Hehe..)

Begitulah kehidupan yang mereka lalui setaip hari. Saya dapat merasakan kekosongan yang ada dalam kehidupan yang sterotaip seperti ini. Setiap hari melakukan perkara yang sama. Hidup sekadar menghabiskan sisa usia yang berbaki. Semoga di hari tua saya nanti, hidup saya tidak seperti itu. Semoga saya masih mampu untuk berjuang di jalan Allah hingga ke hujung usia…Amin. Namun…dalam kekosongan yang ada, mereka sebenarnya penuh dengan pengalaman. Mereka lebih ‘makan garam’ dengan kehidupan dunia ini. Banyak perkara yang saya pelajari dari mereka dalam beberapa hari kami tinggal barsama seperti bahasa Jawa yang masih menjadi bahasa pertuturan mereka, masakan-masakan kampung yang ringkas tetapi menyelerakan, nilai-nilai kehidupan sebagai seorang Melayu dan banyak lagi.

Seronok memerhatikan gelagat mereka sehari-hari. COMEL…Antara makhluk yang paling comel dalam dunia ini ialah kanak-kanak dan orang tua. Walaupun ada sahabat yang tidak pelik dengan kenyataan saya ini, tetapi inilah pandangan subjektif saya terhadap mereka, makhluk ciptaan Allah. Walau apa pun, saya amat menghargai masa-masa bersama nya’ie, nya’ie Timah dan Wak Jarrah kerana secara tidak langsung mereka telah menyedarkan saya untuk lebih menghargai masa muda dan bersedia untuk hari tua kelak. Pengajaran yang paling penting ialah tidak menunggu masa tua untuk memperbanyakkan ibadah dan bertaubat kerana kita tidak pernah tua untuk bertaubat!

No comments:

Post a Comment