Saturday, May 19, 2007

Jiwa Mandiri Kunci Harga Diri
Oleh : KH Abdullah Gymnastiar.

Dunia ini hanyalah milik orang yang bersikap berani. Kejayaan, kebahagiaan dan kehormatan sejati pastinya milik orang yang berani. Orang yang pengecut tidak akan pernah mendapatkan apa-apa kerana ia melumpuhkan kekuatannya sendiri.

Apabila sering kita melawan rasa takut, InsyaAllah keberanian akan muncul perlahan-lahan. Tentu semua itu ada risikonya, tetapi inilah harga yang harus kita bayar dalam mengharungi hidup. Kalau kita tidak mahu membayar harganya, pasti kita tidak akan mendapatkan apa yang kita inginkan.

Kemandirian bukan untuk berbangga diri, tapi harus membuat kita lebih memiliki harga diri, boleh berprestasi dan tidak membuat kita tinggi hati.

Jelas, kehormatan dan kemuliaan sebenar adalah ketika hati kita bebas daripada bergantung kepada orang lain, selain ALLAH SWT. Perjuangan kita menjaga harga diri daripada meminta-minta kepada selain ALLAH adalah bukti kemuliaan kita. Jiwa mandiri adalah kunci harga diri.

Satu hal yang hilang daripada bangsa kita adalah harga diri. Betapa kita sangat bergantung kepada Negara lain untuk pinjaman dam pelaburan. Tidak aneh apabila Negara kita dibebani hutang hingga mudah dipermainkan oleh Negara yang memberi hutang itu.

Mengapa semua ini terjadi? Jawabnya sebahagian besar kita terlalu sibuk membangun aksesori duniawi yang dianggap serba berharga. Kita tidak sibuk membangun harga diri. Tidak hairan apabila ada orang berpangkat tinggi tetapi perlakuannya rendah dan hina. Atau ada yang hartanya banyak tetapi jiwanya miskin. Kita terlalu menganggap topeng dunia sebahai kemuliaan harga dan diri.

Sudah menjadi kelaziman setiap daripada kita yang bergantung kepada selain ALLAH, pasti akan takut kalau sandaran itu diambil orang. Apabila kita dengan sepenuh hati bergantung kepada ALLAH, maka yakinlah bahawa ALLAH tidak akan mengabaikan orang yang bersungguh-sungguh berharap kepada-Nya.

Dalam sebuah hadis qudsi, ALLAH berfirman, bermaksud : “Apabila seseorang hamba-Ku mendekati-Ku dengan berjalan, maka aku akan mendekatinya dengan berlari. Apabila ia mendekati-Ku satu jengkal, Aku akan mendekatinya satu hasta”.

Keuntungan lain daripada sikap mandiri ialah timbul rasa percayakan diri sendiri. Kemandirian adalah sumber kekuatan dalam perjuangan. Orang yang percaya diri boleh melakukan pekerjaan jauh lebih banyak, kata-katanya lebih bermakna dan waktunya akan jauh lebih berkesan daripada orang yang selalu bergantung pada orang lain.

Dengan bersikap mandiri, hidup akan terasa lebih tenang. Seorang isteri tidak akan bimbang ditinggal suaminya yang bekerja diluar daerah, apabila ia memiliki sikap mandiri. Ia tahu bahawa semua rezeki telah diatur secara adil oleh ALLAH SWT. Tidak ada satu pun makhluk kecuali sudah ditetapkan rezekinya. Tugas kita adalah menjemput dan mencari berkat daripada kurniaan ALLAH SWT.

Kita harus mulai bangkit menjadi bangsa yang mandiri. Bangsa yang mandiri tidak akan pernah wujud selagi orang tidak menyusun sesuatu bangsa tidak pernah belajar menjadi peribadi yang mandiri.

Apa kuncinya? Pertama, mandiri adalah sikap mental. Jadi seseorang harus memiliki tekad kuat untuk menjadi orang yang mandiri. Dalam hidup yang hanya sekali ini, kita harus terhormat dan jangan menjadi budak dari apapun selain ALLAH SWT.

Tekadkan terus untuk selalu menjaga kehormatan diri dan pantang menjadi beban. Sekiranya hidup kita membebani orang lain, kita harus membalas dengan apa yang mampu kita lakukan. Ketika kita membebani orang tua, maka harga diri kita ialah membalas kebaikan mereka.

Begitupun kepada guru, teman ataupun tetangga. Jangan sampai kita terhina kerana menjadi peminta yang hanya menyusahkan orang lain.

Kedua, kita harus memiliki keberanian. Berani mencuba dan berani memikul risiko. Hanya dengan keberanian sahaja kita boleh bangkit untuk mandiri. Tidak pernah kita berada diatas tanpa terlebih dahulu bermula dari bawah. Adalah mimpi menginginkan hidup Berjaya tanpa mahu bersusah payah dan berkorban.

Berita Harian, 22 Disember 2006



-Seseorang dengan sesuatu-

No comments:

Post a Comment