Friday, July 31, 2009

Saya, 31 Julai 2009 dan UTP

Usai mengalunkan zikir Al-Mathurat selepas subuh tadi, saya terus mendapatkan komputer di atas meja yang memang tidak dimatikan sejak beberapa hari lepas. Dalam suasana yang masih sunyi, matahari kelihatan seperti segan-segan lagi untuk menonjolkan diri. Jari-jemari saya tangkas mencari link yang sesuai untuk pencarian saya. Saya perlu mencari jurnal sebagai rujukan untuk tajuk penyelidikan saya di peringkat Master. Leka meneroka alam teknologi di hujung jari ini, saya hampir terlupa akan perjumpaan kumpulan bersama Dr. Fadzil, co-supervisor saya untuk Master. Saya perlu bersiap segera supaya sampai tepat pada waktunya.

Jubah dan tudung labuh berwarna ungu menjadi pakaian pilihan saya pada hari ini. Pakaian ini agak istimewa bagi saya kerana jubah ungu gabungan dua jenis kain berlainan itu merupakan salah satu hasil rekaan dan jahitan tangan saya sendiri. Sebelum keluar meninggalkan bilik, tangan saya sempat mencapai dan memakai penutup muka (face mask) memandangkan wabak influenza H1N1 semakin bermaharajalela di sini. Suasana sepanjang perjalanan ke Blok 1 Department Computer and Information Science terasa seperti kampus ini dilanda darurat yang mana kebanyakan pelajar mengenakan penutup muka. Perjalanan lebih kurang 15 minit ke Blok 1 terasa amat memenatkan, tidak seperti kebiasaannya. Mungkin disebabkan oleh penutup muka yang agak mengganggu aktiviti pernafasan.

“For your information, till yesterday UTP has quarantined 50 students and the number increases to 70 students by yesterday afternoon. At the moment, Rector has a meeting with the management and head programme in order to decide whether UTP need to be closed or not. ” Dr. Fadzil berkongsi cerita selepas tamat sesi Progess Report Presentation oleh saudari Yunita Sari, seorang pelajar Master yang berasal dari Indonesia. Lebih kurang sebelas orang pelajar Postgraduate hadir dalam perjumpaan kumpulan tersebut. Masing-masing khusyuk mendengar penjelasan yang diberikan. Salah seorang daripadanya merupakan bekas tutor Network Security yang pernah mengajar saya sebelum ini. Tidak disangka saya berada dalam satu kumpulan cerdik pandai IT yang mana setiap butir perkataan yang keluar dari mulut mereka sukar saya fahami.

Arahan penutupan UTP mungkin akan dikeluarkan menjelang tengah hari ini. Penutupan UiTM Seri Iskandar, kampus jiran kami baru-baru ini mungkin tidak serumit UTP. Terlalu banyak perkara yang perlu diambil kira oleh pihak pentadbiran lebih-lebih lagi UTP mempunyai pensyarah dan juga pelajar antarabangsa. Walau apapun, arahan tersebut dinantikan dengan penuh debaran kerana berkemungkinan penutupan UTP selama seminggu ini sedikit sebanyak akan mengganggu aktiviti akademik di UTP. Gerak kerja Convofair 2009 yang dikendalikan oleh adik-adik junior untuk meraikan Majlis Konvokesyen kali ini juga mungkin menerima tempiasnya. Mudah-mudahan Majlis Konvokesyen batch saya ini tidak akan tergendala akibat wabak H1N1.

Kad Hari Lahir untuk Fatin, Kinah dan Ida

‘Wishing you a Birthday which is as special as you’

Satu ungkapan yang bagi saya cukup touching untuk diucapkan kepada birthday girls pada hari ini (Sanah Helwah kepada Fatin Hilmi, Amatillah Sakinah dan Hidayah Misran). Kad-kad ucapan yang saya sediakan khas sejak malam tadi selamat diberikan kepada mereka bertiga selepas Zuhur. Mujur saya datang lebih awal kerana masing-masing sibuk berkemas untuk pulang ke rumah setelah arahan rasmi penutupan UTP dikeluarkan. Sakinah pula sibuk dengan gerak kerja Convofair. Semoga tabah menjalankan taklifan ye ukhti :). Turun dari tingkat lima rumah mereka, barulah saya dapat membaca memo rasmi daripada Residential College tentang penutupan UTP.

‘UTP Management and Perak Health authorities have decided to close UTP to contain the spreading of Influenze Like Illness (ILI) for one week.’ Ayat yang dinyatakan dalam notis ini mengarahkan supaya pelajar UTP pulang ke rumah masing-masing sebelum 12 tengah hari esok. Keadaan UTP agak lengang sedikit menjelang petang. Tempat letak kerata kelihatan lapang dari hadapan blok kediaman saya. Kasihan kepada sahabat-sahabat yang dikuarantin kerana tidak dibenarkan pulang ke rumah. Tetapi itu mungkin lebih baik untuk kemaslahatan umum. Harap Roza, Syafiqah, Rose Amira dan Nadiah dapat bersabar. Semoga cepat sihat ye! (^^)

Memandangkan kafe-kafe akan ditutup, saya bergegas turun untuk membeli Nasi Goreng Udang Thai sebagai makan malam. Awal juga makan malam saya hari ini. Jam 3.45 petang. Makan sambil membaca sudah menjadi kebiasaan saya sejak tinggal di UTP. Melihat roommate yang sedang asyik melayari internet, saya mengingatkannya supaya cepat bersiap untuk ke Majlis Pernikahan Kak Najmin di Masjid An-Nur petang ini. Malam ini saya akan keseorangan memandangkan roommate saya, Kak Iffatun juga akan pulang ke rumah lewat petang ini bersama-sama Kak Suria.

“Akak, kita jalan kaki je la ke masjid eh? Kak Iffatun pergi lambat sikit…” saya menaip di Gtalk untuk mengajak Kak Suria ke Majlis Pernikahan Kak Najmin yang akan berkahwin dengan seorang pemuda Iraq. Mujur majlis masih belum bermula setibanya kami di sana. Kelibat Kak Najmin dengan pakaian pengantin serba putih itu amat menyerlah. Cantiknya Kak Najmin hari ini. Saya mengenali Kak Najmin sejak Tahun Pertama pengajian saya di UTP. Figure yang hebat seperti Kak Najmin susah di cari ganti. Kami agak rapat pada semester lepas kerana Kak Najmin merupakan kakak naqibah saya dan beberapa rakan ICT/BIS yang lain.

Majlis yang serba ringkas itu berjalan dengan lancar. Khutbah, akad nikah dan taklid dilafazkan dalam Bahasa Inggeris. Ustaz Rahmat kelihatan tenang mengendalikan sesi-sesi tersebut. Ustaz yang berasal dari Sarawak itu sepertinya sudah biasa mengendalikan majlis pernikahan dalam bahasa kedua rakyat Malaysia ini. Saya tidak berapa pasti nama suami Kak Najmin. Agak sukar diingat walaupun saya telah diberitahu banyak kali tentangnya. Suami Kak Najmin pula kelihatan agak kekok dengan budaya dan adat perkahwinan Melayu. Walau bagaimanapun, mereka telah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz. Alhamdulillah…

Lusa saya akan pulang ke Sg. Besi, namun sebelum itu akan singgah di Ipoh dahulu esok. Semoga Allah permudahkan hari esok! ^_____^

Wednesday, July 22, 2009

Hikmah Tahun Akhir

Salam’alaik…

Alhamdulillah akhirnya saya berpeluang untuk menulis satu lagi post untuk alfarashah.blogpot setelah menyepi beberapa ketika. Gelaran pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda berakhir setelah tamat peperiksaan Business & Cyber Law pada 22 Mei 2009 yang lalu. Pada tanggal 21 Julai 2009, saya kini bergelar Postgraduate Student. Mengimbau kembali keperitan menghadapi tahun akhir sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat dan ahli badan Islam memang cukup perit.

Semester Pertama Tahun Akhir


Bersama RMpulses (nadi-nadi RM) pada Semester Julai 2008

Dengan membawa GPA 4.0 ke semester pertama tahun akhir setelah menjalani latihan industri selama lapan bulan, harapan saya untuk bergraduasi dengan kelas pertama semakin cerah. Harapan yang telah saya simpan sejak melangkahkan kaki ke universiti ini merupakan satu persiapan untuk menjadikan diri saya seorang graduan IT yang mampu bersaing dalam pasaran kerja kelak. Justeru, menangkis tanggapan bahawa melanjutkan pengajian dalam bidang ini sukar untuk mendapat pekerjaan. Usaha perlu dipertingkatkan supaya keputusan peperiksaan untuk kedua-dua semester di tahun akhir mencapai tahap yang dapat merealisasikan harapan tersebut.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tidak disangka kepulangan saya ke kampus selepas menjalani kehidupan sebagai seorang pelatih programmer di Freescale Semiconductor benar-benar menjadikan diri saya asing dengan suasana pengajian. Cultural Shock. Pada masa yang sama saya menerima beberapa tanggungjawab berat dalam badan Islam yang saya sertai. Semester pertama tahun akhir ini juga saya menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan dalam badan yang menyebabkan saya terpaksa direhatkan selama dua minggu.

Segala perancangan tidak dapat dilaksanakan dengan baik. Semuanya menjadi tidak kena. Tiada lagi diri saya yang sistematik. Tiada lagi diri saya yang friendly. Tiada lagi diri saya yang mampu untuk multitasking seperti sebelum praktikal. Saat itu, bukan sahaja sahabat-sahabat dan adik-adik merindu diri saya yang dahulu hatta saya sendiri seperti tidak kenal siapa diri ini. Perkara-perkara ini yang menyebabkan saya begitu demotivated pada semester ini sehingga terbawa-bawa ke semester seterusnya.

Hidup saya menjadi sangat tidak terurus walaupun hanya ‘mengambil cuti’ selama dua minggu sahaja. Sinar harapan semakin pudar apabila mendapat markah coursework yang rendah. Nasib yang sama menimpa sahabat-sahabat dan adik-adik. Ancaman CM menjadikan lebih banyak usaha akademik dilaksanakan. Tiba-tiba saya terfikir akan sumbangan yang boleh diberikan kepada mereka. Saya merasakan dengan hanya memberi sokongan dan kata-kata semangat tidak cukup untuk membantu. Dengan memiliki CGPA yang masih stabil mungkin saya boleh memperuntukkan masa untuk membantu orang lain pula.

Keputusan yang saya terima untuk semester pertama tahun akhir merupakan keputusan paling rendah yang pernah saya terima. Walaupun keputusan ini menyebabkan harapan bergraduasi dengan kelas pertama terkubur, namun semua ini telah terbayar hanya dengan sinar ukhuwwah yang terpancar daripada kasih-sayang sahabat-sahabat yang menjaga saya semasa sakit dahulu. Semua ini terbayar apabila melihat kegembiraan wajah adik-adik kesayangan semasa mengajar mereka. Semua ini terbayar hanya dengan saat-saat indah mengadu, memohon keampunan, mengharap kasih sayang Allah.


"...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Al-Baqarah:216


Tetapi masih wujud kekesalan dalam hati ini apabila kelemahan dan kekurangan diri ini menyebabkan sahabat-sahabat menerima tempiasnya. Mohon maaf sekiranya prestasi yang kurang memuaskan sepanjang semester pertama ini banyak membebankan sahabat-sahabat.

Bersambung…

Thursday, May 28, 2009

Jual Mahal Berkali Ganda : Bolehkah?

Menjadi seorang peniaga bukan semudah mengira 1,2,3 tetapi memerlukan ilmu berkenaan bidang tersebut terutama ilmu muamalat di mana kita perlu tahu tentang hukum dan panduan berjual-beli yang digariskan dalam Islam. Teringat ana akan satu peristiwa bersama sahabat-sahabat di kampus.

"Alhamdulillah kita dapat profit margin yang besar dengan menjual barang ini. Modal hanya RM 1.80 tetapi kita boleh jual dengan harga RM 10..." ujar seorang muslimin dengan penuh semangat.

Tiba-tiba satu suara lain mencelah, "Boleh ke kita berjual-beli dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada modal yang kita keluarkan? Bukan ke untung yang diambil tidak boleh lebih daripada 30%? ".

Di sini ana kongsikan satu artikel menarik dari laman web Ustaz Zaharudin yang menyentuh isu ini.

Jual Mahal Berkali Ganda : Bolehkah ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Ramai bertanya sama ada terdapat dalil khusus yang menghadkan keuntungan halal dalam transaksi jual beli.

Jawapan ringkasnya ; tiada dalil khusus dalam hal ini sebagai contoh tiada penyataan dalam nas atau dalil yang melarang kadar untung tidak boleh melebihi 20 %, 30 % dari modal atau lain-lain peratusan. Ini kerana penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi tersebut dari memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.

Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.

Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah :-

  • a- diterima harga pasaran.
  • b- Jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia MESTI mempunyai sesuatu add value atau tambahan nilai unik pada kualiti barangan itu, contohnya, harga pasaran bagi jualan sebuah rumah teres tiga bilik dengan keluasan 22 x 75 kaki adalah RM250,000. Namun penjual mahu menjualnya dengan harga RM 400,000 disebabkan renovation dalamannya yang begitu cantik.
  • c- Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran.

untung

Tatkala itu, harga jualannya yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran rumah sejenis adalah HALAL disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.

Hasil usaha beserta modal tadilah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.

Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan dikhabar satu ketika dahulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 ( jika tidak silap saya). Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang. Namun, jika berjaya dibuktikan nasi yang dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti katanya, harga ikan yang digunakan, minyak zaitun atau apa jua yang lain. Ia adalah harus dan halal, namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran , para ulama berbeza pendapat.

Jelas bahawa, jikalau barang yang dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau telah ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.

Adapun bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanyalah nilai tambah yang kecil seperti :

Rumah teres tadi hanya dicat baru sahaja. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi dari harga pasaran.

Bagi aset atau barang yang tiada sebarang perbezaan tambah nilai, para ulama berbeza pendapat, terdapat mereka yang membenarkan tidak lebih dari 1/6 dari harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 (pandangan ulama Maliki), ½ dan lain-lain.

Bagaimanapun, menurut tahqiq atau analisa terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, PANDANGAN TERKUAT DALAM HAL INI ADALAH TERSERAH KEPADA URUF atau suasana setempat. Semua kadar-kadar yang diberikan tadi semuanya tidak disokong oleh dalil khusus.

BAGAIMANA JIKA ANDA PENENTU HARGA PASARAN.?

Jika inilah kesnya, keadaannya berbeza dan anda boleh menentukan harga sendiri dan ia akan diikuti oleh yang lain sehingga diterima sebagai 'harga pasaran'.

Namun demikian perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, sudah tentu :-

  • 1) Sebuah syarikat amat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat-syarikat lain,
  • 2) Anda akan terikat dengan kepakaran menilai atau 'evaluation' harga kualiti khidmat ditawar atau barang yang dijual, agar ia bertepatan dengan 'Thaman al-Mithl' ( harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang). Justeru itu, sekiranya anda meningkatkan harga melambung-lambung tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini. Wibawa menjadi hilang juga.

Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, namun masih terikat dengan proses-proses penentuan harga yang lain seperti :-

  • a- Demand and supply
  • b- kesukaran memperolehinya,
  • c- ia dari jenis barang asasi atau tidak
  • d- Pihak yang membeli secara berhutang atau tunai,
  • e- matawang yang digunakan dan lain-lain.
  • f- Jenis transaksi dan lain-lain.

Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga. Al ini banyak dibincangkan dalam perbincangan ekonomi Islam dan juga pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah dan lain-lain.

NISBAH UNTUNG DAN DALIL

Bagi mereka yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati Shariah), berikut antaranya :-

Keharusan mengambil untung lebih dari 100 % asalkan ia :-

1) Dari hadis berikut :-

أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

2) Sebuah lagi dalil adalah :-

Apa yang dilakukan oleh sahabat bernama Zubayr Al-‘Awwam r.a di mana beliau telah membeli sekeping tanah hutang dengan harga 170,000 dan kemudian beliau menjualnya kepada Abdullah Bin Zubayr dengan harga 1,600,000. Ini bermakna beliau telah menjualnya dengan Sembilan kali ganda harga asalnya.

Walaupun hadis ini mawquf, namun tanah ini telah dijual kepada sahabat lain seperti Mu'awiyah, Abdullah bin Jaffar dan lain-lain sahabat masih hidup tatkala itu, transaksi ini dibuat di zaman Sayyidina Ali k.w. Para ulama menyatakan, persetujuan para sahabat di zaman itu menjadikannya sebagai ijma' sahabat, yang boleh menjadi satu dalil kukuh akan keharusannya.

Namun demikian, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga secara tidak sihat, melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli tentang harga pasaran atau lain-lain kezaliman, maka harga yang tinggi tadi menjadi haram.

BANK-BANK ISLAM CAJ HARGA LEBIH HARGA PASARAN ATAU TIDAK?

Dalam hal bank-bank Islam yang menjalankan transaksi jual beli ( sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah dan Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya. Bank-bank ini kerap dikatakan menjual semula rumah tadi dengan harga yang terlalu mahal contonya seperti : Pembiayaan sebanyak RM 200,000. Namun jumlah harga yang perlu dibayar semula oleh pelanggan adalah RM 400,000 dalam tempoh 25 tahun sebagai contoh.

Apa hukumnya?. Hukumnya masih harus dan halal kerana itulah harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 - 30 tahun. Buktinya ia harga pasaran adalah cubalah anda melihat tawaran dari bank-bank lain. Malah jika anda punyai pengalaman bekerja dengan bank konvensional atau bank Islam, anda akan mengetahui itulah juga nilai yang dijangka diperolehi oleh bank konvensional sepanjang tempoh 25 - 30 tahun itu walaupun jangkaan harga yang diharapkan oleh bank konvensinoanl sentiasa naik turun berdasarkan BLR.

Jika ingin dibuat perbandingan; sebuah rumah, kebiasaannya nilai semasanya cukup mudah untuk naik dalam beberapa tahun, seorang kenalan saya di Bukit Damansara pernah menyatakan ia membeli rumahnya di kawasan tersebut sekitar 20 tahun lalu dengan arga RM 100,000 ke RM 200,000 sahaja, hari ini nilai rumahnya tanpa sebarang renovation pun sudah mencecah RM 1 juta.

Adakah kita ingin pihak bank menjadikan jangkaan harga selepas 25 tahun itu sebagai harga pasarannya? Sudah tentu tidak rasanya. Justeru, jika pihak bank menawarkan sesuatu harga yang puratanya hanya melebihi 50% - 100% dari harga asal rumah, saya kira itu masih reasonable kerana dalam tempoh 25 - 30 tahun, harga rumah tersebut boleh meningkat jauh dari itu, tidak dinafikan ia boleh juga menurun.

Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawar kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati-hati oleh pihak bank, ia bukanlah melihat sangat kepada harga aset dalam tempoh akan datang, namun ia mempunyai pelbagai aspek kos mengurus minima (cost of fund). Juga melihat kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Bagaimana pula kereta yang harganya tidak naik selepas 5 tahun tetapi turun.? Telah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh pihak bank, kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan oleh BNM dan Cost of Fund bank terbabit. Justeru, harga pasarannya adalah melihat kepada harga tawaran oleh bank-bank lain, termasuk bank konvensional. Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya akan dikenakan 1% penalti tanpa 'compounding' berbanding 3 - 5 % penalti bagi bank konvensional yang bersifat compounding.

Sukar untuk saya terangkan semua fakta dan formula kira-kira di sini, namun sebahagiannya telah saya terangkan di artikel-artikel lain di web ini.

Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran. Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga adalah pelanggan, namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di hadapan mata, kerana ia masih dalam ruang lingkup HARUS menurut Shariah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Monday, May 25, 2009

Karya Seni 2

Tambahan karya baru...
Khas untuk sahabat, Laina Sufia sempena hari jadinya yg ke-22

Atas permintaan seorang sahabat a.k.a boss a.k.a adik
Hopefully ok



Percubaan

Sunday, May 24, 2009

Keindahan Senja

Sekadar berkongsi gambar yang diambil ketika waktu senja di Masjid An-Nur... MasyaAllah...sgt indah...

Katakanlah, "Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa"

(Ar-Ra'd : 16)


Pemandangan dari bahagian wuduk muslimat


Pemandangan di luar masjid

Saturday, May 16, 2009

Qana'ah Dengan Hasil Bukan Dengan Usaha


Baru sahaja menghabiskan Chapter 4 subjek Human Resource Management. Saya suka exam week sebab waktu inilah saya dapat menghayati subjek-subjek yang lecturer ajarkan saban hari sepanjang lecture week. Perlu sambung perjuangan membaca buku International Business pula selepas ini. Qana'ah dengan hasil bukan dengan usaha...All the best Al-Farashah! All the best utk sahabat-sahabat juga! (^___^)

Thursday, May 14, 2009

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah

Belajar atau mengulangkasji pelajaran merupakan perkara utama yang sepatutnya dilakukan dalam ‘study week’ dan ‘exam week’ ini. Namun amanah sebagai naqibah masih perlu dijalankan sebagai salah satu usaha menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada mad’u. Pengisian usrah yang dibawa kali ini menyentuh tentang UKHUWWAH. Teringat akan satu ungkapan apabila berbicara tentang perkara ini.


Bila cinta kerana Allah

Bertemu tidak jemu

Berpisah tidak gelisah


Kenangan 'Pokok Getah' bersama sahabat-sahabat

Syukran atas kenangan indah ini :)


Ungkapan yang begitu menyentuh hati lebih-lebih lagi apabila menjelang saat-saat perpisahan. Tertarik untuk saya berkongsi satu petikan dari buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Fathi Yakan cetakan 2005 oleh Pustaka Salam yang bertajuk Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah. Mari kita hayati apakah kewajipan dan tanggungjawab Ukhuwwah terutama bagi mereka ingin mengecapi nikmat ukhuwwah sebenar.



KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH


Ukhuwwah dalam Islam merupakan satu jalinan aqidah yang mempertautkan umat Islam antara satu sama lain. Ia merupakan ikatan rabbani yang mengikat antara hati mereka dan merupakan jalinan yang erat untuk taqarrub kepada Allah. Persaudaraan merupakan ikatan iman yang paling erat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:


“Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad daripada Al-Bara’ Ibn Azib)


Dalam Islam, persaudaraan merupakan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha untuk memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara pennganutnya.


Gerakan Islam amat memerlukan supaya ikatan persaudaraan dapat diperdalamkan semoga dengan ingatan persaudaraan yang mendalam ini gerakan Islam dapat menjadi satu bangunan yang kuat yang saling taut menaut antara satu sama lain atau menjadi satu jasad yang akan mengadu kesakitan apabila salah satu anggotanya diserang penyakit.


Untuk menjamin persaudaraan ini dapat memainkan peranannya yang diharap-harapkan dalam jamaah, Islam telah menjelaskan hak-hak dan kewajipan persaudaraan yang praktik seperti berikut, sehingga hak dan kewajipan-kewajipan ini dapat dilihat sebagai satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan hanya setakat kata-kata dibibir atau teorinya sahaja.

1. Persaudaraan mestilah dapat menolong usaha-usaha melakukan taat kepada Allah sebagai membenarkan apa yang telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang saleh. Seandainya beliau lupa (temannya itu) akan memperingatkan dan apabila temannya itu memperingatkannya beliau akan menolongnya.”


Inilah juga yang telah dibayangkan oleh Omar bin Khattab dalam katanya: “Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesukaran.”

2. Persaudaraan merupakan kerjasama di sudut kejiwaan, merasakan keperluan-keperluan saudaranya dan berusaha untuk menunaikan keperluan tersebut, sebagai memenuhi tuntutan sabda Rasulullah s.a.w.:


“Sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dalam usaha untuk menunaikan keperluannya (dan Baginda memberi isyarat dengan jejarinya), adalah lebih baik baginya daripada berikhtikaf di masjidku ini selama dua bulan.” (Hadis riwayat Hakim dan Tabarani daripada Ibn. Abbas)

3. Persaudaraan yang kerjasama di bidang kebendaan, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Siapa yang melapangkan seorang muslim daripada satu kesusahan dunia Allah akan melapangkannya daripada satu kesusahan pada hari kiamat. Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berkepayahan Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Siapa yang menjaga rahsia seorang muslim di dunia, Allah akan menjaga rahsianya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya. ” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmizi dan Ibn. Majah)

4. Persaudaraan merupakan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi beberapa kewajipan yang ringkas. Yang terpenting daripada tanggungjawab itu ialah apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim adalah enam perkara: Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah memberi salam. Apabila beliau menjemputmu hendaklah engkau menunaikan jemputannya. Apabila beliau meminta nasihatmu hendaklah engkau menasihatinya. Apabila beliau bersin dan menyebut Alhamdulillah hendaklah engkau menyebut yarhamkallah. Apabila beliau sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila beliau meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya.” (Hadis riwayat Muslim. Bukhari menyebut lima hak sahaja)

5. Persaudaraan dalam Islam merupakan satu kemesraan, kasih sayang dan saling membantu. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Janganlah kamu memutuskan silaturrahim , jangan kamu berpaling memberi belakang, jangan kamu benci-membenci, jangan kamu hasad dengki. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak harus bagi Muslim meninggalkan tegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.” (Riwayat Malik, Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi, Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis sepertinya)


“Jangan kamu memandang rendah sebarang kebaikan, walaupun dengan hanya kamu menemui saudaramu dengan muka yang manis.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Darr)


“Setiap perkara kebaikan itu sedekah dan sesungguhnya diantara kebaikan itu kamu menemui saudaramu dengan manis muka dan menuangkan (air) daripada bejanamu ke dalam bejana saudaramu.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad dan Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan Sahih. Muslim meriwayatkan sebahagian daripadanya)


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kelak kamu akan berkasih sayang dan hilanglah permusuhan.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Abu Ya’la)

6. Persaudaraan dalam Islam merupakan keghairahan dan kesetiaan. Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


“Sesiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya, Allah akan menjauhkan api daripada mukanya di hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat Tirmizi daripada Abu Darda)


“Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan (saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali beliau mendoakan kebaikan utk saudaranya malaikat yang diwakilkan itu berkata : Amin dan bagimu juga seperti itu.” (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Darda)



Dihujung-hujung semester akhir di kampus merupakan waktu yang amat bermakna bagi diri saya. Mungkin ini sahajalah masa yang tinggal untuk berukhuwwah dengan sahabat-sahabat dan adik-adik. Mungkin ini sahajalah masa yang ada untuk saya tunaikan tanggungjawab dan kewajipan ukhuwwah. Faktor inilah yang menyebabkan saya lebih menghabiskan masa dengan adik-adik yang selama ini mungkin terlalu sibuk untuk bersama. Antum semua akan sangat dirindui kelak.


P/s: Syukran jazilan kepada Cik M dan Cik F sebab sudi meluangkan masa dengan akak bersiar-siar di tasek semalam… (^___^)