Thursday, May 28, 2009

Jual Mahal Berkali Ganda : Bolehkah?

Menjadi seorang peniaga bukan semudah mengira 1,2,3 tetapi memerlukan ilmu berkenaan bidang tersebut terutama ilmu muamalat di mana kita perlu tahu tentang hukum dan panduan berjual-beli yang digariskan dalam Islam. Teringat ana akan satu peristiwa bersama sahabat-sahabat di kampus.

"Alhamdulillah kita dapat profit margin yang besar dengan menjual barang ini. Modal hanya RM 1.80 tetapi kita boleh jual dengan harga RM 10..." ujar seorang muslimin dengan penuh semangat.

Tiba-tiba satu suara lain mencelah, "Boleh ke kita berjual-beli dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada modal yang kita keluarkan? Bukan ke untung yang diambil tidak boleh lebih daripada 30%? ".

Di sini ana kongsikan satu artikel menarik dari laman web Ustaz Zaharudin yang menyentuh isu ini.

Jual Mahal Berkali Ganda : Bolehkah ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Ramai bertanya sama ada terdapat dalil khusus yang menghadkan keuntungan halal dalam transaksi jual beli.

Jawapan ringkasnya ; tiada dalil khusus dalam hal ini sebagai contoh tiada penyataan dalam nas atau dalil yang melarang kadar untung tidak boleh melebihi 20 %, 30 % dari modal atau lain-lain peratusan. Ini kerana penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi tersebut dari memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.

Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.

Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah :-

  • a- diterima harga pasaran.
  • b- Jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia MESTI mempunyai sesuatu add value atau tambahan nilai unik pada kualiti barangan itu, contohnya, harga pasaran bagi jualan sebuah rumah teres tiga bilik dengan keluasan 22 x 75 kaki adalah RM250,000. Namun penjual mahu menjualnya dengan harga RM 400,000 disebabkan renovation dalamannya yang begitu cantik.
  • c- Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran.

untung

Tatkala itu, harga jualannya yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran rumah sejenis adalah HALAL disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.

Hasil usaha beserta modal tadilah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.

Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan dikhabar satu ketika dahulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 ( jika tidak silap saya). Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang. Namun, jika berjaya dibuktikan nasi yang dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti katanya, harga ikan yang digunakan, minyak zaitun atau apa jua yang lain. Ia adalah harus dan halal, namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran , para ulama berbeza pendapat.

Jelas bahawa, jikalau barang yang dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau telah ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.

Adapun bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanyalah nilai tambah yang kecil seperti :

Rumah teres tadi hanya dicat baru sahaja. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi dari harga pasaran.

Bagi aset atau barang yang tiada sebarang perbezaan tambah nilai, para ulama berbeza pendapat, terdapat mereka yang membenarkan tidak lebih dari 1/6 dari harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 (pandangan ulama Maliki), ½ dan lain-lain.

Bagaimanapun, menurut tahqiq atau analisa terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, PANDANGAN TERKUAT DALAM HAL INI ADALAH TERSERAH KEPADA URUF atau suasana setempat. Semua kadar-kadar yang diberikan tadi semuanya tidak disokong oleh dalil khusus.

BAGAIMANA JIKA ANDA PENENTU HARGA PASARAN.?

Jika inilah kesnya, keadaannya berbeza dan anda boleh menentukan harga sendiri dan ia akan diikuti oleh yang lain sehingga diterima sebagai 'harga pasaran'.

Namun demikian perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, sudah tentu :-

  • 1) Sebuah syarikat amat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat-syarikat lain,
  • 2) Anda akan terikat dengan kepakaran menilai atau 'evaluation' harga kualiti khidmat ditawar atau barang yang dijual, agar ia bertepatan dengan 'Thaman al-Mithl' ( harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang). Justeru itu, sekiranya anda meningkatkan harga melambung-lambung tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini. Wibawa menjadi hilang juga.

Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, namun masih terikat dengan proses-proses penentuan harga yang lain seperti :-

  • a- Demand and supply
  • b- kesukaran memperolehinya,
  • c- ia dari jenis barang asasi atau tidak
  • d- Pihak yang membeli secara berhutang atau tunai,
  • e- matawang yang digunakan dan lain-lain.
  • f- Jenis transaksi dan lain-lain.

Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga. Al ini banyak dibincangkan dalam perbincangan ekonomi Islam dan juga pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah dan lain-lain.

NISBAH UNTUNG DAN DALIL

Bagi mereka yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati Shariah), berikut antaranya :-

Keharusan mengambil untung lebih dari 100 % asalkan ia :-

1) Dari hadis berikut :-

أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

2) Sebuah lagi dalil adalah :-

Apa yang dilakukan oleh sahabat bernama Zubayr Al-‘Awwam r.a di mana beliau telah membeli sekeping tanah hutang dengan harga 170,000 dan kemudian beliau menjualnya kepada Abdullah Bin Zubayr dengan harga 1,600,000. Ini bermakna beliau telah menjualnya dengan Sembilan kali ganda harga asalnya.

Walaupun hadis ini mawquf, namun tanah ini telah dijual kepada sahabat lain seperti Mu'awiyah, Abdullah bin Jaffar dan lain-lain sahabat masih hidup tatkala itu, transaksi ini dibuat di zaman Sayyidina Ali k.w. Para ulama menyatakan, persetujuan para sahabat di zaman itu menjadikannya sebagai ijma' sahabat, yang boleh menjadi satu dalil kukuh akan keharusannya.

Namun demikian, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga secara tidak sihat, melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli tentang harga pasaran atau lain-lain kezaliman, maka harga yang tinggi tadi menjadi haram.

BANK-BANK ISLAM CAJ HARGA LEBIH HARGA PASARAN ATAU TIDAK?

Dalam hal bank-bank Islam yang menjalankan transaksi jual beli ( sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah dan Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya. Bank-bank ini kerap dikatakan menjual semula rumah tadi dengan harga yang terlalu mahal contonya seperti : Pembiayaan sebanyak RM 200,000. Namun jumlah harga yang perlu dibayar semula oleh pelanggan adalah RM 400,000 dalam tempoh 25 tahun sebagai contoh.

Apa hukumnya?. Hukumnya masih harus dan halal kerana itulah harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 - 30 tahun. Buktinya ia harga pasaran adalah cubalah anda melihat tawaran dari bank-bank lain. Malah jika anda punyai pengalaman bekerja dengan bank konvensional atau bank Islam, anda akan mengetahui itulah juga nilai yang dijangka diperolehi oleh bank konvensional sepanjang tempoh 25 - 30 tahun itu walaupun jangkaan harga yang diharapkan oleh bank konvensinoanl sentiasa naik turun berdasarkan BLR.

Jika ingin dibuat perbandingan; sebuah rumah, kebiasaannya nilai semasanya cukup mudah untuk naik dalam beberapa tahun, seorang kenalan saya di Bukit Damansara pernah menyatakan ia membeli rumahnya di kawasan tersebut sekitar 20 tahun lalu dengan arga RM 100,000 ke RM 200,000 sahaja, hari ini nilai rumahnya tanpa sebarang renovation pun sudah mencecah RM 1 juta.

Adakah kita ingin pihak bank menjadikan jangkaan harga selepas 25 tahun itu sebagai harga pasarannya? Sudah tentu tidak rasanya. Justeru, jika pihak bank menawarkan sesuatu harga yang puratanya hanya melebihi 50% - 100% dari harga asal rumah, saya kira itu masih reasonable kerana dalam tempoh 25 - 30 tahun, harga rumah tersebut boleh meningkat jauh dari itu, tidak dinafikan ia boleh juga menurun.

Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawar kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati-hati oleh pihak bank, ia bukanlah melihat sangat kepada harga aset dalam tempoh akan datang, namun ia mempunyai pelbagai aspek kos mengurus minima (cost of fund). Juga melihat kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Bagaimana pula kereta yang harganya tidak naik selepas 5 tahun tetapi turun.? Telah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh pihak bank, kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan oleh BNM dan Cost of Fund bank terbabit. Justeru, harga pasarannya adalah melihat kepada harga tawaran oleh bank-bank lain, termasuk bank konvensional. Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya akan dikenakan 1% penalti tanpa 'compounding' berbanding 3 - 5 % penalti bagi bank konvensional yang bersifat compounding.

Sukar untuk saya terangkan semua fakta dan formula kira-kira di sini, namun sebahagiannya telah saya terangkan di artikel-artikel lain di web ini.

Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran. Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga adalah pelanggan, namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di hadapan mata, kerana ia masih dalam ruang lingkup HARUS menurut Shariah.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Monday, May 25, 2009

Karya Seni 2

Tambahan karya baru...
Khas untuk sahabat, Laina Sufia sempena hari jadinya yg ke-22

Atas permintaan seorang sahabat a.k.a boss a.k.a adik
Hopefully ok



Percubaan

Sunday, May 24, 2009

Keindahan Senja

Sekadar berkongsi gambar yang diambil ketika waktu senja di Masjid An-Nur... MasyaAllah...sgt indah...

Katakanlah, "Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia Tuhan yang Maha Esa, Maha Perkasa"

(Ar-Ra'd : 16)


Pemandangan dari bahagian wuduk muslimat


Pemandangan di luar masjid

Saturday, May 16, 2009

Qana'ah Dengan Hasil Bukan Dengan Usaha


Baru sahaja menghabiskan Chapter 4 subjek Human Resource Management. Saya suka exam week sebab waktu inilah saya dapat menghayati subjek-subjek yang lecturer ajarkan saban hari sepanjang lecture week. Perlu sambung perjuangan membaca buku International Business pula selepas ini. Qana'ah dengan hasil bukan dengan usaha...All the best Al-Farashah! All the best utk sahabat-sahabat juga! (^___^)

Thursday, May 14, 2009

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah

Belajar atau mengulangkasji pelajaran merupakan perkara utama yang sepatutnya dilakukan dalam ‘study week’ dan ‘exam week’ ini. Namun amanah sebagai naqibah masih perlu dijalankan sebagai salah satu usaha menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada mad’u. Pengisian usrah yang dibawa kali ini menyentuh tentang UKHUWWAH. Teringat akan satu ungkapan apabila berbicara tentang perkara ini.


Bila cinta kerana Allah

Bertemu tidak jemu

Berpisah tidak gelisah


Kenangan 'Pokok Getah' bersama sahabat-sahabat

Syukran atas kenangan indah ini :)


Ungkapan yang begitu menyentuh hati lebih-lebih lagi apabila menjelang saat-saat perpisahan. Tertarik untuk saya berkongsi satu petikan dari buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Fathi Yakan cetakan 2005 oleh Pustaka Salam yang bertajuk Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah. Mari kita hayati apakah kewajipan dan tanggungjawab Ukhuwwah terutama bagi mereka ingin mengecapi nikmat ukhuwwah sebenar.



KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB UKHUWWAH


Ukhuwwah dalam Islam merupakan satu jalinan aqidah yang mempertautkan umat Islam antara satu sama lain. Ia merupakan ikatan rabbani yang mengikat antara hati mereka dan merupakan jalinan yang erat untuk taqarrub kepada Allah. Persaudaraan merupakan ikatan iman yang paling erat sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:


“Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad daripada Al-Bara’ Ibn Azib)


Dalam Islam, persaudaraan merupakan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha untuk memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara pennganutnya.


Gerakan Islam amat memerlukan supaya ikatan persaudaraan dapat diperdalamkan semoga dengan ingatan persaudaraan yang mendalam ini gerakan Islam dapat menjadi satu bangunan yang kuat yang saling taut menaut antara satu sama lain atau menjadi satu jasad yang akan mengadu kesakitan apabila salah satu anggotanya diserang penyakit.


Untuk menjamin persaudaraan ini dapat memainkan peranannya yang diharap-harapkan dalam jamaah, Islam telah menjelaskan hak-hak dan kewajipan persaudaraan yang praktik seperti berikut, sehingga hak dan kewajipan-kewajipan ini dapat dilihat sebagai satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan hanya setakat kata-kata dibibir atau teorinya sahaja.

1. Persaudaraan mestilah dapat menolong usaha-usaha melakukan taat kepada Allah sebagai membenarkan apa yang telah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan Allah akan memberikannya rezeki seorang teman karib yang saleh. Seandainya beliau lupa (temannya itu) akan memperingatkan dan apabila temannya itu memperingatkannya beliau akan menolongnya.”


Inilah juga yang telah dibayangkan oleh Omar bin Khattab dalam katanya: “Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur. Hiduplah dalam lingkungan mereka, kerana mereka merupakan perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesukaran.”

2. Persaudaraan merupakan kerjasama di sudut kejiwaan, merasakan keperluan-keperluan saudaranya dan berusaha untuk menunaikan keperluan tersebut, sebagai memenuhi tuntutan sabda Rasulullah s.a.w.:


“Sekiranya seorang daripada kamu berjalan bersama saudaranya dalam usaha untuk menunaikan keperluannya (dan Baginda memberi isyarat dengan jejarinya), adalah lebih baik baginya daripada berikhtikaf di masjidku ini selama dua bulan.” (Hadis riwayat Hakim dan Tabarani daripada Ibn. Abbas)

3. Persaudaraan yang kerjasama di bidang kebendaan, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Siapa yang melapangkan seorang muslim daripada satu kesusahan dunia Allah akan melapangkannya daripada satu kesusahan pada hari kiamat. Siapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berkepayahan Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat. Siapa yang menjaga rahsia seorang muslim di dunia, Allah akan menjaga rahsianya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong hamba-Nya selagi hamba-Nya itu menolong saudaranya. ” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa’I, Tirmizi dan Ibn. Majah)

4. Persaudaraan merupakan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi beberapa kewajipan yang ringkas. Yang terpenting daripada tanggungjawab itu ialah apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:


“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim adalah enam perkara: Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah memberi salam. Apabila beliau menjemputmu hendaklah engkau menunaikan jemputannya. Apabila beliau meminta nasihatmu hendaklah engkau menasihatinya. Apabila beliau bersin dan menyebut Alhamdulillah hendaklah engkau menyebut yarhamkallah. Apabila beliau sakit hendaklah engkau menziarahinya dan apabila beliau meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya.” (Hadis riwayat Muslim. Bukhari menyebut lima hak sahaja)

5. Persaudaraan dalam Islam merupakan satu kemesraan, kasih sayang dan saling membantu. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Janganlah kamu memutuskan silaturrahim , jangan kamu berpaling memberi belakang, jangan kamu benci-membenci, jangan kamu hasad dengki. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak harus bagi Muslim meninggalkan tegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.” (Riwayat Malik, Abu Daud, Nasa’i dan Tirmizi, Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis sepertinya)


“Jangan kamu memandang rendah sebarang kebaikan, walaupun dengan hanya kamu menemui saudaramu dengan muka yang manis.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Darr)


“Setiap perkara kebaikan itu sedekah dan sesungguhnya diantara kebaikan itu kamu menemui saudaramu dengan manis muka dan menuangkan (air) daripada bejanamu ke dalam bejana saudaramu.” (Riwayat Tirmizi dan Ahmad dan Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan Sahih. Muslim meriwayatkan sebahagian daripadanya)


“Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kelak kamu akan berkasih sayang dan hilanglah permusuhan.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Abu Ya’la)

6. Persaudaraan dalam Islam merupakan keghairahan dan kesetiaan. Dalam hubungan ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:


“Sesiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya, Allah akan menjauhkan api daripada mukanya di hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat Tirmizi daripada Abu Darda)


“Doa seorang saudara terhadap saudaranya di luar pengetahuan (saudara tersebut) adalah doa yang diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang diwakilkan. Setiap kali beliau mendoakan kebaikan utk saudaranya malaikat yang diwakilkan itu berkata : Amin dan bagimu juga seperti itu.” (Hadith riwayat Muslim daripada Abu Darda)



Dihujung-hujung semester akhir di kampus merupakan waktu yang amat bermakna bagi diri saya. Mungkin ini sahajalah masa yang tinggal untuk berukhuwwah dengan sahabat-sahabat dan adik-adik. Mungkin ini sahajalah masa yang ada untuk saya tunaikan tanggungjawab dan kewajipan ukhuwwah. Faktor inilah yang menyebabkan saya lebih menghabiskan masa dengan adik-adik yang selama ini mungkin terlalu sibuk untuk bersama. Antum semua akan sangat dirindui kelak.


P/s: Syukran jazilan kepada Cik M dan Cik F sebab sudi meluangkan masa dengan akak bersiar-siar di tasek semalam… (^___^)

Saturday, May 09, 2009

Ada apa pada Istiqamah

Salam'alaik...

Sedang mencari-cari ayat utk diletakkan dalam gift card gathering tengah hari ini...terjumpa satu post menarik tentang ISTIQAMAH...jom jom kita baca petikan post dibawah...

Gift card yg berjaya disiapkan

_________________________________________________________________________________________________
Istiqamah vs Proaktif

Oleh:
Abdul Rahim Bin Mohd Ali
URL: http://karimzaidan.blogspot.com/

Ya Allah berikanlah aku hidayah agar thabat dalam lorong perjuangan suci ini. Bagaimana penelitian kita terhadap doa ini. Lalu saya timbulkan persoalan ini untuk saya dan sidang pembaca.

Adakah timbul naik dalam perjuangan seorang dai’e dikiraistiqamah?

Adakah berniat selama – lamanya di barisan belakang disifatkan kebersamaan dalam medan dakwah?

Adakah pilihanraya yang acap kali bertemu, masa itu dipulunsungguh- sungguh sepenuhnya dikira proaktif dalam menyeru kepada mengesakan Allah.

Takrifannya yang bagaimana? Lain atau berbeza? Ada pandangan yang lain?

Opps..proaktif? istiqamah dan proaktif sebenarnya definisi yang seiring. Kalau kita membuka kepada maksud istiqamah dimana kalimah asal ialah قام = berdiri. Dalam kaedah qowaid kalimahistiqamah diambil dari استفعال yang menyatakan berterusan dalam melakukan sesuatu. Jadi, استقامة hasil dari masdar استفعال. Maka takrifnya ialah berterusan dalam berdiri.

Takkan kita hendak tafsirkan dengan selalu berdiri dijelmakan dalam kondisi medan dakwah? Oleh yang demikian makna yang sesuai adalah proaktif dalam perjuangan.

Saya teringat kata seorang tuan guru yang menyebut dalam ceramahnya berbunyi“ Dato’ Fadzil Nor Mantan Presiden Pas telah menunjukkan keistiqamahannya dalam bumi perjuangan dakwah sehingga bertemu ajalnya, tetapi saya tidak menjamin adakah istiqamah itu kekal dalam jiwa sehingga saya dipanggil Allah kelak “ Itu ucapan tok guru!

Saya yang mendengar penuh tekun sebak tidak terkata. “ Aku bagaimana Ya Allah?

Setelah berfikir sejenak maka, saya melihat kata – kata itu dalam terjemahan kepada dua keadaan yang berlainan.

1. Usaha yang berpanjangan dalam menuntut istiqamah sangat tinggi dan penuh ranjau bagi ruang kehidupan seorang pendakwah.

2. Sealim mana pun kita, ‘sealmari’ mana pun ilmu bidang ,babistiqamah ini perlu dijadikan tatapan muhasabah seharian hidup.

Bila keadaan kita dalam keadaan penuh lemparan ujian, akan terasa sifat kebersamaan Allah selalu bersama. Kerana jiwa hamba yang inginkan pautan. Lalu kita mencari ketenangan melalui hubungan dengan Allah. Jadi, dalam keadaan kita dipenuhi limpahan rezeki apa pertahanan kita menghadapinya. Sebagaimana ingatan Allah yang hikmah dan tegas dalam Surah Ibrahim pada ayat ke 6 sebagai formulanya bermaksud :

7. Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".

Jawapanya ialah tatkala penuh kenikmatan jalannya bersyukur. Waktu dikelilingi ranjau, Alhamdulillah kita indah bersama – sama dengan Sang Pencipta. Bersyukur dikala Allah memberikan sedikit nikmat – Nya kepada kita sesuai sorotan proaktif masih bersama kita sehingga bila - bila.

“ Ah, orang hebat tarbiah pun gugur jugak” sapa sahabat saya bila diberitahu berita yang terkejut beruk dibuatnya. Dulu bukan kepalang kencangnya proses pentarbiahan zaman kampus dan alam realiti yang inginkan panas sampai ke petang tapi hujan tiba di tengah hari. Terkenal dengan jolokan orang hebat dikala itu. Tapi ghuyub secara tiba – tiba.

Itu saya katakan sebentar tadi setinggi manapun nilai ilmu serta kehebatan, tapi soal istiqamah jatuh kecundang jangan dianaktirikan. Kita bukan menilai gambaran luar apa yang pada diri kita, bahkan nilaian hati seorang akan menampakkan berterusan ataupun separuh jalan ketika pintu perjuangan baru melangkah masuk.

Perkara ini telah pun dikemukakan dan diperbincangkan secara meluas dalam menanganinya oleh sesuatu jamaah Islam. Selalu bersama jemaah dan ukhwah yang berpanjangan sehingga bila – bila Insya Allah permasalahan ini akan kurang.

Ya Allah, berat sungguh laluan perjalanan realiti dakwah ini sehingga ke akhirnya ”
_________________________________________________________________________________________________

Semoga bermanfaat... (^__^)

Taubat yang Syaratnya Gagal Dipenuhi

Ingin berkongsi satu artikel menarik diambil dari Slot Agama & Wanita di www.harakahdaily.net

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Fri | May 08, 09 | 1:02:22 pm MYT



Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.

Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.

Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=20649&Itemid=1